UMPSA perkasakan program teknikal kukuhkan ekosistem Pendidikan TVET – Naib Canselor
GAMBANG, 29 Oktober 2024 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, seiring dengan genapnya usia 22 tahun, UMPSA terus melangkah maju mencapai kecemerlangan dan kegemilangan selaras dengan visinya untuk menjadi universiti teknologi terunggul.
“Sebagai salah sebuah universiti teknikal, agenda utama UMPSA adalah memperkasakan program-program teknikal yang ditawarkan, khususnya yang berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi, bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi di Malaysia selari dengan New Industrial Master Plan 2023 bagi melahirkan graduan yang komprehensif, relevan dengan keperluan industri, dan berdaya saing di peringkat nasional serta global.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, UMPSA turut memantapkan pelaksanaan Work-Based Learning (WBL), pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning).
“Program pendidikan fleksibel dirancang bagi membolehkan pelajar dari pelbagai latar belakang dan usia terus meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka agar sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa kini,” ujarnya.
Katanya lagi, UMPSA turut mencatatkan pencapaian membanggakan dalam aspek kebolehpasaran graduan.
“UMPSA mencapai kadar kebolehpasaran graduan 97.3% pada tahun 2023, antara yang tertinggi di Malaysia dan ini membuktikan graduannya menjadi pilihan utama majikan.
“Setakat ini, UMPSA telah melahirkan 48,376 alumni, terdiri daripada 47,297 alumni tempatan dan 1,079 alumni antarabangsa yang berkhidmat di seluruh dunia.
“Dalam aspek penarafan pula, UMPSA terus unggul dalam QS World University Rankings 2025, apabila berada di kedudukan 741-750 dunia, terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan mencapai kedudukan 601-800 dalam Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) serta di kedudukan 201-300 dalam Times Higher Education Impact Rankings (THEIR),” katanya.
Malah katanya, kecemerlangan dalam penyelidikan UMPSA juga turut membanggakan apabila seramai 20 penyelidik disenaraikan dalam World's Top 2% Scientist oleh Elsevier BV dan Stanford University.
“Saya juga ingin berkongsi bahawa dua orang pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) telah berjaya disenaraikan dalam senarai World's Top 2% Scientist.
“Di samping itu, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan pensyarah FTKEE yang telah merangkul gelaran juara bagi Kategori Pembelajaran Imersif (Maya) dalam Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) baru-baru ini.
“Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan fakulti kita sebagai peneraju dalam penyelidikan dan inovasi, tetapi juga memperteguhkan komitmen UMPSA terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan bertaraf dunia.
“Hal ini termasuklah menyokong pendidikan untuk golongan inklusif agar univerisiti ini menjadi pilihan utama destinasi menyambung pengajian peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, berharap semua graduan akan menjadi individu yang kukuh berpegang pada nilai kemanusiaan, etika, dan integriti.
“Ingatlah, kejayaan sebenar diukur melalui sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.
“Kita, kini berada dalam era VUCA atau Volatile, Uncertain, Complex, dan Ambiguous, era yang penuh cabaran, yang memerlukan keberanian, ketangkasan, dan kebijaksanaan.
“Justeru, saya menyeru kepada semua agar kekal rendah hati, teguh mempertahankan integriti, dan tidak pernah jemu memperkaya diri dengan ilmu serta kemahiran baharu.
“Dunia hari ini tidak hanya menuntut kepakaran teknikal dan kecerdasan minda, tetapi juga nilai moral yang tinggi, jiwa yang besar, dan komitmen teguh untuk berbakti demi kesejahteraan bersama.
Beliau menambah, graduan pada hari ini adalah agen perubahan dan pemimpin masa hadapan, oleh itu, jadilah pemimpin yang peka, proaktif, yang mengambil tanggungjawab dalam membina masyarakat yang inklusif, harmoni, serta adil.
“Siapa pun anda selepas ini, seorang jurutera, saintis, teknologis, pendidik atau pempengaruh sekalipun, jadilah duta kecil yang membanggakan UMPSA dan pastikan legasi kecemerlangan ini sentiasa mekar dalam setiap langkah dan pencapaian anda di masa hadapan,” ujarnya.
Pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 itu, seramai 5,115 graduan yang menerima ijazah masing-masing menerusi enam sesi, termasuk 100 graduan antarabangsa daripada 19 negara di seluruh dunia serta 1,717 graduan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Pada sesi kelima ini, seramai 430 adalah graduan dari FTKEE dan 629 adalah graduan Sarjana Eksekutif, UMPSA Advanced telah berjaya bergraduasi
Manakala pada sesi keenam pula, seramai 667 graduan Bacelor Eksekutif dan 421 graduan Diploma Profesional juga dari UMPSA Advanced menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
- 40 views