UMPSA Raikan 78 Graduan Antarabangsa pada Konvokesyen Ke-20
GAMBANG, 10 NOVEMBER 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi menzahirkan kegembiraan dan kebanggaan apabila meraikan kejayaan para pelajar antarabangsa pada Majlis Konvokesyen Ke-20 yang berlangsung pada 8 hingga 11 November 2024.
Pada tahun ini, seramai 78 orang graduan antarabangsa dari 16 buah negara berjaya menamatkan pengajian mereka, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha UMPSA mengukuhkan kedudukan sebagai institusi pendidikan bertaraf dunia.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dalam ucapannya turut menyampaikan penghargaan istimewa kepada para graduan antarabangsa yang banyak menyumbang kepada kepelbagaian budaya dan suasana global di kampus.
"Kepada semua pelajar antarabangsa, terima kasih kerana membawa warna, budaya dan keceriaan kepada UMPSA.
“Tahniah atas pencapaian anda semua.
“Kami berharap Malaysia, tanah yang telah anda anggap sebagai rumah, akan sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam hati anda kerana kamu semua sebenarnya ialah duta masa depan UMPSA di negara asal masing-masing,” katanya.
Perjalanan akademik para graduan turut dikongsi oleh wakil pelajar antarabangsa.
Dua graduan dari Yemen iaitu Ahmed Abdullah Mutahar, 26 yang kini bekerja di Syarikat Salla Jedah, Arab Saudi dan Anas Abdulwahid Qasem Ghaleb, 23 yang kini bekerja di Syarikat Smart life Riyad, Arab Saudi dari Fakulti Komputeran menyatakan bahawa pengalaman mereka di UMPSA sangat bermakna kerana bukan sahaja menimba ilmu dalam bidang masing-masing, tetapi turut mempelajari cara menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu serta memahami kepelbagaian budaya.
Mereka melahirkan rasa gembira dan syukur kerana berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya.
Sementara itu, Alkhalil Abdulhameed Saif Ahmed, 25 yang menyambung pelajaran pada peringkat sarjana dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi Pembuatan dan Mekatronik berkongsi bahawa perjalanan akademiknya penuh cabaran.
Namun segala usaha dan ketekunan akhirnya membuahkan hasil pada hari bersejarah ini.
“Perjalanan akademik saya bukanlah mudah, tetapi kejayaan hari ini adalah destinasi yang sejak dahulu saya impikan.
“Alhamdulillah, hari ini perjalanan itu berakhir dengan indah di rumah kedua saya, Malaysia, khususnya UMPSA.”
Bagi seorang lagi graduan antarabangsa, Abdelrahman Mohamed Ismail Farouk Abdelmageed Rady dari Mesir, Konvokesyen Ke-20 UMPSA ini mempunyai makna istimewa kerana beliau kembali meraikan kejayaan buat kali kedua.
“Sebelum ini saya menamatkan pengajian peringkat sarjana di sini dan tahun ini kembali sebagai graduan Doktor Falsafah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang menyempurnakan perjalanan akademiknya hingga ke peringkat tertinggi,” katanya.
Majlis Konvokesyen Ke-20 UMPSA bukan sekadar platform penganugerahan ijazah, tetapi turut menjadi simbol penghargaan kepada pengorbanan, dedikasi dan kegigihan para graduan antarabangsa sepanjang tempoh pengajian mereka.

Mereka diraikan sebagai wira ilmu yang menyinari masa depan negara asal masing-masing, seterusnya memperkukuh jaringan antarabangsa UMPSA.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran wakil penaja biasiswa dari Arab Saudi, Babaker, yang hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut.
UMPSA menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan berterusan yang diberikan oleh institusi Babaker dalam membantu pembangunan modal insan antarabangsa di universiti ini.
Dengan kejayaan ini, UMPSA terus melangkah ke hadapan dalam memartabatkan budaya ilmu, mengangkat keunggulan akademik, dan mengukuhkan peranan sebagai universiti global yang menjadi pilihan pelajar dari seluruh dunia.
Disediakan Oleh: Jamilah Bebe Mohamad Pusat Bahasa Moden (Pbm) & Nani Nurnasihah Che Morni & Nur Syafiqah Syuhada Abdul Basik, Pusat Pembelajaran Fleksibel & Micro-Credential (FLEXMC)
- 34 views
Reports by: