Skip to main content

UMPSA raikan 94 graduan Doktor Falsafah dalam Majlis Hooding penuh makna

KUANTAN, 7 November 2025 – Seramai 94 graduan Doktor Falsafah (Ph.D.) diraikan sempena Hooding Ceremony for Ph.D. Graduands 2025 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Swiss-Belhotel, Kuantan. 

Majlis turut menghimpunkan 83 penyelia yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan para graduan dalam menamatkan pengajian di peringkat tertinggi.

Majlis yang diadakan bersempena dengan Konvokesyen UMPSA Ke-20 itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dengan kehadiran barisan pengurusan universiti termasuk Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pengarah Kanan Pembangunan Strategik dan Akademik, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya.

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Yatimah menzahirkan rasa bangga terhadap para graduan Ph.D. yang telah menunjukkan ketabahan luar biasa sepanjang tempoh pengajian.

UMPSA raikan 94 graduan Doktor Falsafah dalam Majlis Hooding penuh makna

“Hari ini bukan sekadar satu majlis, tetapi satu perayaan terhadap impian yang terlaksana, cabaran yang diatasi dan permulaan baharu yang menanti. 

“Setiap daripada anda mempunyai kisah perjuangan tersendiri, namun yang paling penting, anda tidak pernah berputus asa,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa bimbingan para penyelia yang sentiasa berdedikasi membimbing pelajar dalam penyelidikan dan pembangunan ilmu.

Ujarnya, kepada para penyelia, terima kasih atas kesabaran, panduan dan komitmen anda dalam membentuk bukan sahaja ilmuwan yang berwibawa, tetapi juga insan yang berjiwa besar dan berbakti kepada masyarakat,” tambahnya.

Tahun ini menyaksikan UMPSA melahirkan seramai 243 graduan pascasiswazah terdiri daripada 94 orang graduan Ph.D., 84 orang graduan sarjana penyelidikan, 56 orang graduan sarjana kursus dan sembilan orang sarjana mod campuran.

Majlis turut memberikan penghargaan khas kepada graduan Ph.D. Fakulti Komputeran, Dr. Siti Hawa Apandi, yang merupakan simbol ketabahan dan keberanian luar biasa. 

Beliau, seorang OKU fizikal yang memulakan perjalanan akademik di UMPSA sejak tahun 2007 pada peringkat Diploma Sains Komputer, tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Sebagai tanda penghormatan, ibu dan bapa Dr. Siti Hawa, Zaidah Tamjis dan Apandi Abdul Aziz naik ke pentas bagi mewakili beliau menerima sijil hooding dan sumbangan khas bernilai RM500 yang disampaikan oleh Naib Canselor.

Profesor Dr. Yatimah menambah, Dr. Siti Hawa seorang OKU fizikal yang memulakan perjalanan akademik di UMPSA sejak tahun 2007 pada peringkat diploma, tidak dapat hadir atas faktor kesihatan dan diwakili oleh ibunya, Zaidah Tamjis.

UMPSA raikan 94 graduan Doktor Falsafah dalam Majlis Hooding penuh makna

“Kisah Dr. Siti Hawa mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada apa yang terlihat, tetapi pada semangat dan keazaman dalam diri,” ujarnya. 

Hooding Ceremony for Ph.D. Graduands 2025 turut menjadi simbol penghormatan terhadap perjalanan panjang dan usaha gigih para graduan, selain memperkukuh hubungan antara penyelia dan pelajar dalam melahirkan sarjana berjiwa penyelidik yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara dan dunia.

Naib canselor mengingatkan, bawalah ilmu dengan rendah hati, jadilah pemimpin berjiwa besar dan gunakan kejayaan anda untuk membuka jalan kepada orang lain. 

“Anda bukan sekadar graduan UMPSA, tetapi pewaris legasi kecemerlangan dan harapan masa depan,” katanya.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim