Yana Samsudin dalam Berpantang Naik Pentas Konvokesyen UMPSA
GAMBANG, 10 November 2025 - Walau sedang berpantang di hari yang ke-30 selepas melahirkan anak ketiga tidak menghalang pelakon, pengarah, penulis skrip, penerbit dan penyanyi, Norliana Samsudin yang dikenali sebagai Yana Samsudin untuk hadir menerima Ijazah Master Eksekutif Pengurusan Korporat sempena Majlis Konvokesyen UMPSA ke-20 semalam.
Yana hadir bersama ibu dan suaminya, Fadhil Zahari meraikan detik bermakna apabila berjaya menamatkan pengajian.
Beliau menerima ijazah sarjana daripada Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Dr Yatimah Alias, pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA di sini, bagi sesi kelima.
Yana berkata, meskipun keadaan fizikal belum pulih sepenuhnya, beliau tetap hadir ke majlis itu kerana mahu menghargai usaha dan pengorbanan sepanjang mengikuti pengajian berkenaan.
“Saya berharap kehadiran ini akan menjadi kenangan manis bukan saja buat diri saya tetapi juga anak dan suami suatu hari nanti.
“Sepatutnya tarikh hari ini merupakan tarikh bersalin namun, disebabkan ditakdirkan bersalin awal memberikan saya peluang naik ke pentas konvokesyen dengan memakai jubah,” ujarnya ditemui di lobi dewan.
Beliau menghargai sokongan suami dan keluarga sepanjang pengajian. Mereka sentiasa memberi semangat, menjadikan segala kepayahan itu berbalas dengan kejayaan ini.
Sepanjang mengikuti pengajian, beliau agak sibuk dengan penggambaran, perniagaan dan anak-anak masih kecil. Namun, beliau kuatkan hati.
“Terima kasih buat suami yang banyak membantu dan keluarga yang sentiasa menyokong,” tambahnya.
Beliau turut memberi nasihat buat wanita di luar sana dan para pelajar yang sedang mengikuti pengajian agar kuatkan semangat dan terus berjuang sehingga mencapai cita-cita untuk kepuasan diri dan peningkatan kerjaya dalam berdepan era teknologi yang semakin mencabar dewasa ini.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 12 views
Reports by: