Yunalis Amani dinobatkan penerima Anugerah Profesor Dato' Dr. Mashitah Mohd. Yusof
GAMBANG, 22 Oktober 2023 – ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah perumpamaan yang boleh diungkap buat anak kelahiran Dungun, Terengganu, Yunalis Amani Abd Rashid, 24 apabila dipilih merangkul Anugerah Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusof.
Menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.71, Yunalis hanya membayangkan akan menerima hadiah fakulti sahaja.
Namun, graduan Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data dengan Kepujian itu berpandangan inilah hasil untuk segala pengorbanan dan penat lelahnya.
“Saya tidak tahu bahawa program yang ditawarkan merupakan program baharu yang diperkenalkan di UMP (pada ketika itu) pada tahun 2019.
“Cabaran yang saya hadapi pastinya untuk memahami subjek yang dipelajari tambahan ia merupakan subjek yang pertama kali diajar di UMP.
“Oleh itu, saya perlu berusaha lebih gigih bagi mendapatkan kefahaman dan menyelesaikan kerja-kerja kursus,” katanya.
Saya dan rakan-rakan juga banyak melakukan perbincangan dalam talian untuk berkongsi pendapat dan pengetahuan,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.
Anak kepada pasangan Abdul Rashid Saip dan Hanisah Hassan, 58 itu menyatakan mahasiswa seharusnya diberikan peluang untuk menganjur dan mengendalikan program.
“Penglibatan ini sedikit sebanyak dapat mengasah dan meningkatkan kemahiran insaniah para mahasiswa,” ujarnya.
Berkhidmat sebagai pelatih Data Engineer di Avanade Malaysia Sdn Bhd., Yuhanis menyatakan penyumbang terbesar kejayaannya adalah kedua ibu bapa.
“Saya bersyukur kerana mempunyai kedua ibu bapa dan adik-beradik yang sentiasa mendoakan saya serta memberikan sokongan dalam apa jua cara sekalipun.
“Tidak ketinggalan ucapan terima kasih buat para pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang berada di UMP.
“Segalanya merupakan rezeki daripada Allah SWT,” katanya.
Berkongsi prinsip hidupnya, setiap takdir itu baik dan sentiasalah bersangka baik dengan pemberi takdir.
Beliau mengharapkan agar dapat menjadi insan yang berjaya dan memberi manfaat hasil dari kepakarannya untuk membangunkan negara Malaysia.
Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat
- 165 views