Buku: Sisi yang Tampak Hilang dalam Sumbangan Keilmuan
Di universiti-universiti di seluruh dunia, kejayaan akademik sering diukur melalui beberapa petunjuk lazim: bilangan artikel penyelidikan yang diterbitkan, jumlah sitasi, nilai h-index, geran penyelidikan dan pembentangan hasil penyelidikan di persidangan. Penanda aras ini memberi pengaruh besar terhadap reputasi institusi dan kenaikan pangkat. Akibatnya, artikel jurnal telah menjadi mata wang utama dalam dunia akademik. Namun, di sebalik fokus terhadap penerbitan penyelidikan, satu bentuk sumbangan keilmuan yang penting dilihat semakin terpinggir, iaitu buku, khususnya buku akademik dan teknikal. Walaupun penerbitan artikel penyelidikan terus meningkat, ramai pelajar masih bergantung kepada nota kuliah atau buku teks import yang boleh dikatakan kurang mencerminkan konteks tempatan. Pengamal industri pula sukar mendapatkan rujukan yang berpaksikan amalan Malaysia atau serantau. Ahli akademik baharu pula mengambil alih tanggungjawab pengajaran tanpa bahan rujukan yang tersusun. Dalam masa yang sama, ahli akademik kanan bersara dengan puluhan tahun pengalaman dan kepakaran yang tidak dibukukan. Keadaan ini menimbulkan satu isu penting: artikel penyelidikan semata-mata tidak mencukupi untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kualiti pengajaran dan memindahkan ilmu dengan berkesan. Pada masa yang sama, buku sering dipandang rendah walaupun ia tunjang penting dalam sumbangan keilmuan.
Artikel penyelidikan dan buku memainkan peranan yang berbeza dalam ekosistem akademik. Artikel jurnal amat penting untuk memajukan pengetahuan khusus. Ia membolehkan penyelidik melaporkan dapatan baharu dan menyumbang kepada wacana ilmiah global. Artikel penyelidikan diindeks dan dirujuk oleh penyelidik lain yang membawa kepada pengiktirafan pihak luar dan seterusnya meningkatkan keterlihatan universiti hingga ke peringkat antarabangsa. Artikel juga digunakan bagi menyokong permohonan geran penyelidikan dengan menunjukkan kesinambungan dan kepakaran penyelidikan. Buku pula berfungsi pada skala yang lebih luas dan mendalam. Sebuah buku akademik yang baik menghimpunkan teori, prinsip, kajian kes dan aplikasi secara menyeluruh dan bersepadu. Dimensi perbincangan dalam buku ada kalanya lebih luas berbanding ruang terhad artikel penyelidikan. Pada masa yang sama, banyak artikel penyelidikan mempunyai jangka hayat yang singkat kerana kepesatan perkembangan penyelidikan itu sendiri, berbanding buku yang kekal relevan untuk tempoh yang lebih lama. Sebuah buku teknikal mampu menyokong pelbagai ambilan pelajar, membimbing pensyarah di pelbagai institusi dan menjadi rujukan kepada pengamal industri dan masyarakat lebih lama berbanding artikel penyelidikan.
Artikel penyelidikan dan buku sering dianggap sebagai hasil yang bersaing, terutamanya kerana hanya satu daripadanya diberi ganjaran besar dalam sistem penilaian akademik. Anggapan ini adalah tidak tepat, bahkan kedua-duanya saling melengkapi. Artikel penyelidikan menunjukkan produktiviti yang membuktikan seseorang ahli akademik aktif menyumbang pengetahuan baharu. Buku pula menunjukkan penguasaan iaitu keupayaan menyepadukan dapatan penyelidikan, pengalaman pengajaran dan amalan profesional menjadi satu himpunan ilmu yang tersusun. Artikel penyelidikan membina keterlihatan dalam komuniti penyelidikan yang khusus; buku membina autoriti dalam kalangan khalayak yang lebih luas, termasuk masyarakat umum, profesional industri dan pembuat dasar. Yang lebih penting, buku membentuk legasi akademik. Walaupun kenaikan pangkat sering dipengaruhi oleh hasil artikel penyelidikan, identiti intelektual jangka panjang seseorang ahli akademik lazimnya ditentukan oleh buku yang ditulis.
Dalam bidang teknikal dan gunaan seperti kejuruteraan, teknologi dan sains gunaan, keperluan terhadap buku adalah lebih mendesak. Bidang-bidang ini memerlukan penerangan terperinci seperti contoh pengiraan, aliran proses dan rasional reka bentuk yang jarang dapat dimuatkan dalam artikel penyelidikan. Pelajar bukan sahaja perlu memahami formula dan model, tetapi juga andaian, batasan dan kekangan dunia sebenar. Selain itu, terdapat jurang pengetahuan tempatan yang ketara. Sebagai contoh, Malaysia dan Asia Tenggara mempunyai industri dan persekitaran operasi yang tersendiri, seperti pemprosesan kelapa sawit dan getah serta industri petrokimia dan pemanfaatan biojisim. Banyak buku teks luar negara tidak dapat menangani konteks ini dengan baik disebabkan jurang ilmu tersebut. Sudah semestinya buku yang ditulis oleh ahli akademik tempatan dapat merapatkan jurang ini dengan memasukkan contoh dan kajian kes serantau secara langsung ke dalam bahan pengajaran.
Dari sudut institusi, buku menyumbang secara langsung kepada kualiti dan keseragaman pengajaran. Sebuah buku teks atau modul pembelajaran dengan kandungan yang tersusun dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan rujukan yang pelbagai, menyokong keperluan pendidikan berasaskan hasil dan membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih berfokus. Buku juga memperkukuh ekosistem universiti dalam meningkatkan penjenamaan institusi, menyumbang kepada aset harta intelek, menyokong proses akreditasi dan mencerminkan budaya akademik yang matang. Penerbitan akademik yang kukuh menunjukkan komitmen universiti bukan sahaja terhadap penyelidikan, tetapi juga pendidikan dan penyebaran ilmu.
Bagi memperkukuh sumbangan keilmuan, ahli akademik perlu mengamalkan pendekatan penerbitan yang seimbang. Artikel penyelidikan kekal penting untuk memajukan sains dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kenaikan pangkat. Buku pula sama penting untuk membentuk pendidikan, memantapkan kepakaran dan memelihara pengetahuan institusi. Buku melambangkan kematangan intelektual dan kedalaman ilmu yang merupakan kualiti yang tidak dapat diperoleh secara automatik. Ketidakseimbangan penghasilan artikel penyelidikan dan buku ini mewujudkan satu sisi yang nampak hilang dalam sumbangan keilmuan. Dengan menulis buku, ahli akademik memastikan bahawa hasil kerja mereka memberi manfaat bukan sahaja kepada rakan penyelidik, tetapi juga kepada pelajar, industri dan masyarakat. Masa depan pendidikan tinggi adalah milik sarjana yang menulis, bukan sekadar untuk dipetik dalam rujukan, tetapi untuk dibaca, diajar dan dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat.

Oleh: TS. DR. ROZAIMI BIN ABU SAMAH
E-mel: rozaimi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pengarah, Penerbit UMPSA dan Pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 15 views