Skip to main content
Dapur Siswa MADANI UMPSA, Mengisi Perut, Meringankan Beban

Dapur Siswa MADANI UMPSA, Mengisi Perut, Meringankan Beban

Ada mahasiswa yang perlu memikirkan baki wang untuk pengangkutan dan bahan pembelajaran ketika mengatur belanja makan, dan apabila wang yang sama perlu memenuhi pelbagai keperluan sepanjang bulan, bantuan makanan dapat memberikan kelegaan yang besar. Bagi Afiqah Junaidi, wakil Perwakilan Mahasiswa Luar Kampus (PMLK) Pekan merangkap pelajar tahun tiga Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, keadaan itulah yang menjadikan Dapur Siswa MADANI di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) begitu bermakna kerana tanggungan mahasiswa luar kampus turut merangkumi sewa rumah dan pengangkutan. 

Menurutnya, ada kalanya perbelanjaan makanan perlu dikurangkan supaya wang yang ada mencukupi hingga hujung bulan, justeru kemudahan Dapur Siswa dapat membantu mereka menjimatkan belanja makan dan menggunakan wang tersebut untuk keperluan pembelajaran atau perjalanan ke kampus. “Walaupun nampak seperti bantuan kecil, kemudahan ini sebenarnya boleh memberikan kelegaan kepada pelajar yang perlu menguruskan kewangan dengan berhati-hati,” katanya yang berharap akses kepada makanan yang mencukupi dapat membantu pelajar memberikan lebih banyak tumpuan kepada kuliah, tugasan dan peperiksaan.

Sokongan terhadap keperluan harian ini mendapat perhatian menerusi peluncuran Dapur Siswa MADANI Lounge dan Siswa Mall UMPSA pada 21 Oktober 2026 yang disempurnakan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin  Hassim, dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman. Pada hari yang sama, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan memasyhurkan Dewan Tuanku Canselor UMPSA di Pekan, manakala menurut laporan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEOA) UMPSA, KPT menyalurkan RM396,589.79 bagi pelaksanaan Dapur Siswa MADANI serta RM58,795.14 bagi inisiatif Kampus Pantri.

 

Bagi mahasiswa, manfaat sokongan tersebut dapat dilihat melalui perkara yang dekat dengan rutin mereka, seperti yang dinyatakan oleh Wakil Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 5 (PEKA5), Nayli Darwisyah Ismadi Fazli, yang menumpukan perhatian kepada harga makanan dan saiz hidangan yang diperoleh dengan bajet terhad. Pelajar tahun dua Sains Komputer di Fakulti Komputeran itu memberikan contoh penyediaan nasi dan telur setiap hari oleh pelajar Job on Campus (JoC), yang menurutnya makanan asas secara percuma membolehkan mahasiswa membeli lauk tambahan mengikut kemampuan, sekali gus mengurangkan kos membeli satu hidangan lengkap. Nayli turut melihat potensi dapur sebagai ruang yang mempertemukan mahasiswa serta berharap hubungan sesama pelajar dapat dieratkan dan semangat mengambil berat terhadap rakan yang memerlukan terus dipupuk.

Dalam masa yang sama, aspek pemakanan seimbang turut menjadi keutamaan apabila Wakil Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman 6 (PEKA6), Muhammad Hishamuddin Mohd Hanafiah, menyuarakan harapan agar pilihan makanan yang disediakan bukan sahaja berkhasiat dan seimbang, malah lebih pelbagai serta ditawarkan pada harga yang berpatutan bagi memenuhi keperluan mahasiswa. Beliau menyambut baik usaha yang memudahkan pelajar mendapatkan makanan serta mengurangkan kebimbangan terhadap perbelanjaan harian, selain berharap penambahbaikan berterusan dapat membantu mahasiswa menjalani kehidupan kampus dengan lebih selesa dan memberikan tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran. 

Sementara itu, Putri Balqish Qistina Mohammad Hamidi, pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) yang turut terlibat dalam JoC, melihat kemudahan tersebut dari sudut mengurus bajet makan sepanjang berada di kampus. Bagi Putri Balqish Qistina, cabaran utama ialah menguruskan perbelanjaan harian supaya cukup untuk makan sepanjang berada di kampus.  Beliau turut menyifatkan penyediaan makanan dan peralatan memasak sebagai satu inisiatif yang melegakan mahasiswa kerana membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian, khususnya dalam mengurus keperluan makanan mengikut bajet sedia ada, sekali gus memberi manfaat besar kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya golongan B40.

Bagi memastikan manfaat itu dapat dikongsi secara berpanjangan, Putri menekankan tanggungjawab pengguna untuk mengambil makanan mengikut keperluan dan menjaga kebersihan dapur bagi mengelakkan pembaziran serta memastikan ruang berkenaan selesa digunakan bersama. Persoalan tentang kelangsungan kemudahan ini turut membawa Nayli kepada kepentingan menjaga kebajikan mahasiswa yang membantu menguruskannya melalui cadangan pembentukan pasukan khusus dengan elaun, ganjaran atau manfaat bersesuaian, di samping penyediaan jadual penggunaan yang sistematik, peraturan yang jelas serta penyelenggaraan berkala.

Dalam usaha memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan, Afiqah pula bersedia menyampaikan maklumat mengenai Dapur Siswa kepada pelajar luar kampus melalui peranannya sebagai wakil PMLK Pekan sambil berharap bekalan makanan sentiasa mencukupi, kebersihan terpelihara dan kemudahan mudah diakses. Bagi Afiqah, kelegaan itu perlu dapat dirasai secara berterusan menerusi kerjasama pelbagai pihak dan pengurusan yang baik agar mahasiswa yang berdepan kesukaran kewangan terus mendapat sokongan untuk memenuhi keperluan paling asas mereka. Malah, beliau berharap tiada pelajar yang perlu mengabaikan keperluan makanan mereka hanya kerana kekangan kewangan.

dapur

Oleh: Neellesh Ram Saravanan

E-mel: tb25046@adab.umpsa.edu.my


 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri