Dari Sulaman Identiti ke Puncak Tamadun
Dalam lembaran sejarah dunia, kelangsungan sesebuah negara tidak pernah berdiri atas kekuatan ketenteraan semata-mata, tetapi melalui pembinaan tamadun, identiti, dan keupayaan sesebuah bangsa mengurus hubungan dengan dunia luar. Inilah asas kenegaraan yang relevan sepanjang zaman jika dilihat daripada episod ekspedisi maritim Zaman Dinasti Ming hingga kepada perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat di abad ke-21. Dalam konteks kenegaraan moden, Malaysia perlu terus menjunjung nilai-nilai yang menjadikan negara ini terus teguh dengan perpaduan, diplomasi, integriti, inovasi, serta kemampuan memadukan warisan dengan kemajuan.
Malaysia merupakan negara majmuk yang unik di rantau ini, menggabungkan kepelbagaian etnik, budaya dan agama sebagai tunggak kekuatan. Kontrak sosial, Rukun Negara, dan Perlembagaan Persekutuan telah membentuk rangka asas untuk memelihara keharmonian, keadilan dan hak pelbagai komuniti. Namun, dalam era globalisasi yang penuh cabaran dengan kehadiran kecerdasan buatan, geopolitik ketidaktentuan, persaingan ekonomi, dan fenomena media sosial menjadikan nilai kenegaraan perlu digilap semula agar tidak sekadar retorik, tetapi menjadi panduan hidup warga negara. Di sinilah wujud keperluan untuk memahami bahawa pembinaan negara bukan hanya tugas kerajaan, tetapi amanah seluruh rakyat.
Salah satu prinsip utama kenegaraan ialah keteguhan identiti nasional. Identiti Malaysia tidak terhad pada simbol seperti Jalur Gemilang atau lagu Negaraku, tetapi pada makna yang lebih mendalam seperti semangat kebersamaan. Nilai ini perlu dipupuk melalui pendidikan, naratif sejarah yang inklusif, dan pengukuhan bahasa kebangsaan sebagai medium penyatuan. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang maruah dan tanda kedaulatan negara. Namun, penguasaan bahasa kebangsaan tidak harus menafikan penguasaan bahasa asing seumpama bahasa Inggeris untuk keantarabangsaan, bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan agama, dan bahasa Mandarin serta Tamil sebagai warisan budaya. Negara yang berjaya bukan yang meminggirkan bahasa, tetapi yang mampu menyeimbangkan semua lingua dengan identiti nasional yang utuh.
Di samping identiti, pembangunan negara memerlukan keteguhan moral dan integriti. Sejarah membuktikan bahawa tamadun besar runtuh bukan kerana kemiskinan atau musuh luar, tetapi kerana keruntuhan akhlak, rasuah dan ketidakadilan. Malaysia perlu terus memperkukuh institusi penguatkuasaan, memperkemas tadbir urus, dan menyara budaya politik matang. Sikap keterbukaan kepada semakan, akauntabiliti, dan tatakelola baik bukan sekadar slogan, tetapi syarat untuk memacu Malaysia sebagai negara progresif dan dipercayai. Dalam konteks ini, integriti warganya yang terdiri daripada penjawat awam hingga rakyat biasa adalah benteng pertahanan moral bagi kelangsungan negara.
Seterusnya, diplomasi dan hubungan antarabangsa merupakan elemen penting dalam kenegaraan moden. Malaysia sejak merdeka terkenal sebagai negara yang mengangkat diplomasi damai, mengelakkan penjajahan ideologi luar, dan memperjuangkan prinsip keadilan global. Konsep ‘suara kecil yang berpengaruh besar’ bukan sekadar metafora, tetapi manifestasi kebijaksanaan negara ini dalam forum antarabangsa. Malaysia memainkan peranan dalam Organisation of Islamic Cooperation (OIC), Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) dan Non-Aligned Movement (NAM), serta mempromosikan solidariti dunia Islam dan negara membangun. Dalam dunia pascapandemik dan era aliran kuasa global yang berubah, Malaysia perlu terus menjadi jambatan dialog yang menjadi suara kesederhanaan, keadilan, dan keamanan.
Namun, diplomasi tidak hanya berlaku di peringkat negara namun ia juga hidup dalam interaksi antara rakyat. Keupayaan rakyat Malaysia menunjukkan toleransi, menerima perbezaan, dan menghormati satu sama lain merupakan bentuk diplomasi domestik yang menyumbang kepada kekuatan negara. Kesedaran sivik, kepekaan sosial dan budaya, serta sikap tidak ekstrem menjadi asas kepada negara stabil yang dihormati.
Selain itu, kemajuan sains, teknologi dan pendidikan merupakan nadi pembinaan negara maju. Malaysia tidak boleh bergantung pada kekayaan sumber alam semata-mata namun negara maju bertahan melalui kepintaran rakyatnya. Universiti, pusat penyelidikan, sekolah teknik, TVET dan institusi profesional harus menjadi kilang idea yang melahirkan jurutera, cendekiawan, saintis dan teknokrat yang bukan sahaja mahir, tetapi beretika dan berjiwa besar. Pendidikan bukan sekadar proses mendapatkan sijil, tetapi alat membina insan yang mampu memimpin, mencipta dan memajukan negara. Malaysia memerlukan masyarakat berfikiran kritis, celik teknologi, dan mempunyai jati diri moral.
Seiring itu, pembangunan ekonomi inklusif menggariskan bahawa tiada rakyat harus tertinggal. Agenda membasmi kemiskinan, memperluas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, melahirkan usahawan digital, serta merapatkan jurang bandar-luar bandar akan memastikan kestabilan negara. Ekonomi yang makmur mendorong keamanan; dan keamanan membuka jalan kepada pelaburan, inovasi dan peluang. Kemakmuran bukan milik sesuatu kaum saja, tetapi hak semua warga negara.
Akhirnya, semangat patriotik ialah teras kepada kenegaraan. Patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera, tetapi kesanggupan mempertahankan negara dengan ilmu, bakat, masa dan integriti. Anak muda perlu merasakan bahawa Malaysia ialah tanah masa depan mereka dan bukan sekadar tempat lahir, tetapi tempat mereka berjuang, membina impian dan mencipta nama. Negara yang kuat terhasil apabila rakyatnya percaya pada nilai bersama, saling menghormati, dan berkongsi visi kolektif.
Kesimpulannya, kenegaraan ialah satu perjalanan panjang yang menuntut kebijaksanaan, pengorbanan dan perpaduan. Malaysia berdiri hari ini sebagai negara berdaulat kerana asas yang dibina generasi lalu, namun masa depan negara bergantung kepada generasi kini dan akan datang. Dengan menjaga identiti nasional, memelihara integriti, mengangkat diplomasi, memajukan ilmu, serta membina ekonomi inklusif maka Malaysia bukan sahaja kekal berdaulat, tetapi mampu muncul sebagai negara contoh yang dihormati dunia.

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 15 views
Reports by: