Skip to main content

Hegemoni Intelektual dan Ketahanan Masa Depan Institusi Pendidikan Tinggi dari Kaca Mata Naib Canselor UMPSA

Kekuatan institusi pengajian tinggi, dalam kancah dunia yang berpusaran laju, bukan lagi sauh yang tertambat pada tugu fizikal atau mahkota akademik semata. Sebaliknya, kekuatan mutlak terpancar dari hegemoni intelektual yang memiliki roh kebijaksanaan yang ditempa oleh kepimpinan masa hadapan. Ia haruslah denyutan nadi yang strategik mindanya, bernilai jiwanya, dan berjiwa insan martabatnya dengan menjadikannya mercu suar yang merentasi ombak perubahan zaman. Dari kaca mata Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Yatimah Alias, kerangka kepimpinan masa depan bukan sebuah slogan, tetapi sebuah perjalanan yang menuntut iltizam, keberanian dan keupayaan membina ketahanan institusi dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks.

UMPSA melangkah sebagai sebuah universiti TVET bertaraf tinggi dengan berteraskan teknologi kejuruteraan bukan sahaja mahu menjadi pemain domestik tetapi aspirasi jangka jauhnya adalah menjadi Hab TVET ASEAN, setanding dengan institusi seperti NTU yang telah lama menguasai ekosistem inovasi serantau. Untuk sampai ke tahap itu, asasnya perlu bermula dengan pembangunan kolam bakat UMPSA sebagai nadi transformasi. Kepimpinan tidak lahir dalam ruang kosong namun, ia tumbuh melalui ekosistem mentor yang berkualiti sebagaimana falsafah yang sering ditekankan untuk menjadi pemimpin yang baik, seseorang perlu terlebih dahulu dipimpin dengan baik.

Kerangka kepimpinan masa depan harus dibina secara leadership by design iaitu suatu bentuk kepimpinan yang tidak bergerak secara reaktif, tetapi digerakkan dengan prinsip, hala tuju yang jelas dan tindakan yang boleh dilaksanakan. Seorang pemimpin perlu memfokuskan perjalanan ke hadapan, menggerakkan pasukan sebagai satu tubuh, dan tidak pernah terperangkap dalam idealisme tanpa realiti. Kepimpinan adalah seni menyusun naratif masa depan dan kemudian menggerakkan manusia yang berada di dalamnya.

Budaya organisasi pula menjadi teras ketahanan institusi. Nilai hanya akan hidup apabila ia diamalkan, bukan sekadar dipaparkan. Oleh itu, budaya keterbukaan dan keberanian melontar pandangan perlu subur dalam setiap warga universiti. Seorang pemimpin harus mampu menggunakan visibilitinya sebagai instrumen perubahan dan bukan untuk menonjolkan diri, tetapi untuk mengangkat potensi seluruh warga. Contohnya, apabila bidang Kejuruteraan Maritim tersedia namun tidak diterokai, maka menjadi tanggungjawab institusi untuk memulakannya, kerana masa depan tidak menunggu sesiapa.

Kepimpinan masa depan juga mensyaratkan budaya ingin tahu. Institusi tinggi hanya akan kekal hidup apabila warganya berani bereksperimen, berfikir di luar kelaziman dan merasa selamat untuk mengambil risiko intelektual. Universiti yang hebat ialah universiti yang memberikan ruang untuk mencuba kerana daripada percubaan lahirlah inovasi dan daripada inovasi terbina ketahanan.

Dalam kerangka ini, empowerment menjadi tunjang. Memimpin bukan bererti memusatkan kuasa, tetapi menyemarakkan kepimpinan dalam diri setiap individu. Apabila ahli pasukan diberi ruang untuk memimpin, mereka akan mengambil pemilikan terhadap sesuatu inisiatif; dan daripada pemilikan itu lahir kesungguhan, kreativiti dan motivasi. Pemimpin yang mampu memanfaatkan kekuatan dan minat warganya telah pun menyelesaikan separuh daripada cabaran perubahan.

Namun, dunia kepimpinan masa kini tidak linear. Seorang pemimpin perlu selesa berada dalam ruang yang kompleks dan kabur. Ketidakpastian bukan ancaman, tetapi medan untuk menilai daya tahan. Dalam suasana yang sentiasa berubah, pemimpin perlu bijak menimbang maklumat, membuat keputusan dengan hikmah, serta memiliki keanjalan mental dan emosi. Ketahanan institusi bermula daripada ketahanan pemimpin yang mampu berdiri teguh dalam badai dan tidak goyah apabila berdepan ambiguiti.

Selain itu, proses refleksi dan penyesuaian menjadi syarat utama. Pemimpin perlu sentiasa menilai gaya kepimpinan sendiri, mencari maklum balas, dan menyesuaikan pendekatan. Di sinilah datangnya hikmah yang sering dilupakan dalam dunia moden iaitu doa dan restu ibu. Sebuah kejayaan yang hakiki tidak pernah berdiri hanya atas kebijaksanaan strategik, tetapi juga pada kekuatan spiritual yang menjadi pelindung dalam perjalanan memimpin.

Dalam mendefinisikan kejayaan kepimpinan, Profesor Dr. Yatimah Alias turut menggariskan tiga nilai emas. Pertama, keikhlasan melahirkan keikhlasan. Manusia tidak terinspirasi oleh siapa diri kita secara luaran, tetapi oleh niat dan tujuan yang menggerakkan tindakan kita. Apabila hati ikhlas, tindakannya menyentuh hati orang lain.

Kedua, perbezaan besar antara authority dan akhlaq. Kuasa boleh memaksa, tetapi akhlak menambat jiwa. Pemimpin yang hanya memimpin dengan authority mungkin dituruti, tetapi pemimpin yang memimpin dengan akhlak akan dihormati, disayangi dan diikuti.

Ketiga, kepimpinan adalah tindakan memelihara, bukan menguasai. Leadership is not about being in charge but taking care of those in your charge. Inilah falsafah yang membina organisasi yang tahan lasak apabila manusia dalam organisasi merasakan mereka dilindungi, dihargai, dan didorong, mereka akan membina institusi yang lebih kuat daripada mana-mana dasar atau sistem.

Akhirnya, hegemoni intelektual UMPSA tidak akan dibina dalam masa sehari. Ia adalah sebuah perjalanan panjang yang menggabungkan visi, nilai, strategi dan jiwa. Namun, dengan kerangka kepimpinan masa depan yang progresif, pemberdayaan bakat, budaya ingin tahu, dan ketahanan moral, UMPSA bukan sahaja mampu berdiri sebagai institusi pendidikan tinggi yang kukuh, tetapi mampu menjadi mercu ilmu di rantau ASEAN dengan menuju sebuah universiti yang tidak sekadar bertahan menghadapi masa depan, tetapi membentuk masa depan itu sendiri.

 

Baihaqi

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Guru Bahasa Kanan 
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

 

ruhil

 

Oleh: Dr. Ruhil Amal Azmuddin
E-mel: ruhilamal@umpsa.edu.my
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah)
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri