Skip to main content

Hubungan erat Malaysia-Rusia: Apakah manfaatnya?

Hubungan di antara Malaysia dengan Rusia bukanlah baharu tetapi telah terjalin sejak sekian lama semenjak tahun 1967 iaitu Malaysia dan Kesatuan Soviet menjalinkan kerjasama diplomatik secara rasmi. Walau bagaimanapun, hubungan ini dilihat terbatas kerana terdapat perbezaan ideologi dan pengaruh geopolitik semasa. Sekitar tahun 1991 sehingga 1999, Rusia telah menggantikan Kesatuan Soviet dan hubungan berada pada tahap sederhana tetapi lebih terbuka kesan perubahan landskap geopolitik global.

Pada sekitar tahun 2000-an telah berlaku pengukuhan hubungan strategik di antara Malaysia dengan Rusia dalam pelbagai kerjasama antaranya pada tahun 2003 lawatan bersejarah Presiden Rusia, Vladimir Putin ke Malaysia dan juga merupakan lawatan sulungnya ke negara ASEAN. Selain itu pada tahun 2005, hasil kerjasama pertahanan Malaysia telah membeli 18 pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada Rusia. Seterusnya pada tahun 2007, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, rakyat Malaysia pertama ke angkasa dengan bantuan Rusia melalui program Roscosmos melalui Program Angkasawan Malaysia. Hasil projek ini mengukuhkan lagi hubungan erat bersama Rusia serta simbol keakraban kerjasama dalam bidang sains dan teknologi. Keakraban antara kedua-dua negara terus berkembang sehingga ke hari ini apabila berlakunya kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan ekonomi, pendidikan dan diplomasi ASEAN.

Gambar Presiden Rusia, Vladimir Putin bersalaman dengan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Vladivostok, Rusia pada 4 September 2024. Sumber: Reuters

Hasil hubungan erat yang telah lama terjalin apakah manfaat yang boleh diperoleh Malaysia? 

Antara manfaat strategik dan praktikal kepada kedua-dua negara khususnya Malaysia boleh dilihat dalam pelbagai sudut, pertamanya menyerlahkan lagi kepimpinan Perdana Menteri Malaysia. YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi ASEAN. Hasil hubungan erat yang ditonjolkan oleh YAB Perdana Menteri semasa lawatannya bersama delegasi Malaysia ke Rusia mampu memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kewibawaan memimpin negara. Selain itu, dari sudut kepentingan negara, ia mampu menjana keyakinan pelabur untuk meningkatkan pelaburan dalam negara. Seperti sedia maklum, pelabur asing sangat menitik beratkan kestabilan politik dan kepimpinan pentadbiran sesebuah negara sebelum melakukan pelaburan. Oleh itu, hasil lawatan YAB Perdana Menteri sedikit sebanyak telah dapat meyakinkan pelabur untuk terus melabur di dalam negara. 

Kedua, hubungan erat di antara Malaysia dengan Rusia perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi, pertahanan, pendidikan, sains, dan teknologi dan lain-lain.  Pada tahun 2023, jumlah dagangan di antara Malaysia dengan Rusia adalah sekitar 2.5 Bilion USD. Malaysia mengeksport minyak sawit, produk getah, barangan elektronik, dan makanan halal ke Rusia, manakala barangan import Malaysia dari Rusia adalah baja, logam, produk petroleum, mesin, dan teknologi. Jumlah dagang ini dilihat masih rendah berbanding jumlah dagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat, China dan ASEAN. Oleh itu, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan erat ini untuk meningkatkan lagi jumlah dagang antara kedua-dua negara selain mengembangkan lagi kerjasama daripada pelbagai sektor. Perkembangan ini dilihat mampu membawa impak positif dalam mengukuhkan lagi ekonomi dan meningkatkan lagi pendapatan negara.

Ketiga, membuka ruang kerjasama dalam bidang kepakaran Rusia. Seperti sedia maklum Rusia jauh ke hadapan dalam bidang teknologi pertahanan aeroangkasa, tenaga nuklear dan teknologi tenaga, industri berat dan kejuruteraan, teknologi pertanian dan baja serta banyak lagi. Malaysia perlu mencari jalan yang terbaik dalam meningkatkan lagi kerjasama bagi sektor-sektor berkenaan. Sebagai contoh tenaga nuklear, Malaysia berpotensi meningkatkan kerjasama dari segi pembangunan tenaga nuklear bagi tujuan perubatan, penyelidikan dan mungkin penjanaan tenaga pada masa hadapan. Sekiranya kerjasama ini dapat dilaksanakan ia mampu memberikan manfaat besar dalam pembangunan perubatan di Malaysia. begitu juga penerokaan ilmu baharu yang lain yang dapat memberikan perubahan dan impak positif kepada negara.

Akhir sekali, hasil hubungan erat Malaysia dan Rusia telah membuktikan bahawa Malaysia sentiasa mengamalkan dasar luar negara yang bebas dan berkecuali dalam melaksanakan diplomasi dan hubungan serantau. Perkara ini membolehkan Malaysia menjalinkan hubungan yang baik dan seimbang dengan kuasa-kuasa besar dunia termasuk negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, serta kuasa Timur seperti China, India dan Rusia. Pendekatan ini memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menjadi jambatan diplomatik antara blok kuasa dunia yang sering bersaing, dan menempatkan Malaysia sebagai rakan dialog yang dipercayai di peringkat global.

Dalam konteks hubungan dengan Rusia, pendekatan berkecuali ini membolehkan Malaysia mengukuhkan hubungan dua hala tanpa terikat dengan tekanan geopolitik dari mana-mana pihak. Ini memberi ruang kepada Malaysia untuk berunding secara terbuka dan strategik dalam bidang perdagangan, pertahanan, teknologi, dan pendidikan tanpa menggugat hubungan sedia ada dengan negara lain.

Tuntasnya, hasil hubungan era tantara Malaysia dan Rusia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia dalam meningkatkan kerjasama pelbagai sektor. Strategi jangka pendek dan panjang perlu dirangka oleh pihak berkepentingan bagi memastikan segala perancangan dapat disusun dengan baik seterusnya mampu memberikan manfaat besar dan berimpak kepada kedua-dua negara.

Dr. Abdul Hadi Samsi
Dr. Abdul Hadi Samsi

E-mel: hadisamsi@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik dan Kerajaan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Admin UMP News