IPT sebagai Medan Pembinaan Integriti Generasi
Isu integriti sememangnya tidak boleh dipandang ringan. Ia perlu dibincangkan secara terbuka dan telus. Namun, dalam keghairahan membongkar kelemahan, kita tidak boleh hilang pertimbangan. Menilai keseluruhan institusi hanya berdasarkan beberapa kes terpencil bukan sahaja tidak tepat, malah berisiko membentuk persepsi yang menyimpang terhadap ekosistem pendidikan tinggi negara.
Hakikatnya, dalam mana-mana organisasi yang melibatkan manusia, kesilapan tetap boleh berlaku. Namun, kesilapan segelintir tidak wajar dijadikan asas untuk menghukum keseluruhan sistem.

Menteri Pendidikan Tinggi sendiri menegaskan bahawa sebarang salah laku perlu ditangani dengan tegas tanpa kompromi. Dalam masa yang sama, pelabelan IPT sebagai ‘lubuk rasuah’ adalah tidak wajar kerana ia memberi gambaran seolah-olah keseluruhan sistem pendidikan tinggi berada dalam keadaan gagal.
Di sinilah letaknya keseimbangan yang sering terlepas pandang iaitu
tegas terhadap salah laku, tetapi adil dalam menilai institusi. Untuk memahami isu ini dengan lebih jernih, kita perlu membezakan antara kes terpencil dan gambaran sebenar dalam organisasi. Tidak semua kes mencerminkan budaya. Tidak semua kesalahan individu menggambarkan kerosakan sistem.
Sebaliknya, tindakan penguatkuasaan yang berjalan termasuk siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa mekanisme kawalan masih berfungsi. Sistem masih bergerak, dan yang perlu diperbaiki ialah kelemahan tertentu, bukannya keseluruhan struktur.
IPT sebagai Ekosistem Pembangunan Mahasiswa
Institusi pengajian tinggi (IPT) tidak boleh dilihat sekadar sebagai organisasi yang dikawal melalui peraturan dan pemantauan. Lebih daripada itu, universiti adalah medan membentuk manusia iaitu tempat nilai diasah, kepimpinan dilatih dan tanggungjawab dipelajari.
Memang benar, universiti tertakluk kepada pelbagai mekanisme kawalan seperti audit, pematuhan kewangan dan pemantauan kementerian. Namun, hakikat yang lebih penting ialah di sebalik semua itu, universiti sedang menjalankan satu peranan yang jauh lebih besar, iaitu membina generasi masa depan yang berintegriti.
Di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), pembangunan mahasiswa digerakkan secara terancang melalui pendekatan yang menggabungkan pengalaman sebenar, pembelajaran sosial dan pendedahan kepada situasi kepimpinan. Mahasiswa tidak hanya hadir sebagai peserta, tetapi dilibatkan sebagai penggerak yang merancang program, mengurus sumber, membuat keputusan dan memikul amanah.
Di sinilah proses penting berlaku. Integriti tidak diajar secara teori semata-mata, tetapi dibina melalui pengalaman yang dilalui sendiri. Apa yang kelihatan sebagai ‘aktiviti pelajar’ sebenarnya adalah latihan kehidupan iaitu ruang untuk mahasiswa memahami akauntabiliti, ketelusan dan tanggungjawab dalam konteks sebenar.
Dengan pendekatan ini, universiti bukan sekadar melahirkan graduan yang berpengetahuan, tetapi individu yang mampu membuat keputusan dengan nilai dan prinsip yang jelas.
Pembangunan Mahasiswa sebagai Benteng Integriti
Peranan IPT tidak terhad kepada penyampaian ilmu akademik semata-mata. Lebih daripada itu, universiti adalah ruang membentuk manusia, tempat nilai dibina, kepimpinan diasah dan tanggungjawab dipelajari.
Dalam konteks ini, pembangunan mahasiswa dilaksanakan secara menyeluruh melalui penglibatan dalam badan pelajar, program kesukarelawanan serta pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan sosial. Pendekatan ini memberi penekanan bahawa pembelajaran paling berkesan berlaku apabila mahasiswa berdepan sendiri dengan situasi sebenar, membuat refleksi dan belajar daripada pengalaman tersebut.
Di UMPSA, pembangunan mahasiswa tidak digerakkan secara bersifat ad hoc atau bersandar kepada program semata-mata tetapi dipandu oleh kerangka yang jelas dan sejajar dengan hala tuju strategik universiti.
Menerusi Amanat Naib Canselor 2026, UMPSA mengangkat gagasan K.I.T.A sebagai pemacu kecemerlangan berimpak yang merangkumi kelestarian, keusahawanan, inovasi, TVET termaju serta pengukuhan akademik dan jaringan global. Namun, kekuatan sebenar gagasan ini tidak terletak pada komponennya semata-mata, tetapi pada nilai yang mendasarinya iaitu kasih, intelek, tatakelola serta amanah dan akauntabiliti. Nilai-nilai inilah yang membentuk budaya kampus yang bukan sahaja cemerlang, tetapi berintegriti.
Pendekatan ini diperkukuh melalui pelaksanaan ADAB yang menekankan keseimbangan pembangunan mahasiswa dari aspek aspirasi, dinamika, kecekapan dan kesejahteraan diri. Gabungan ADAB dan K.I.T.A menjadikan pembangunan mahasiswa bukan sekadar aktiviti, tetapi satu ekosistem pembinaan insan yang menyeluruh bermula daripada cara berfikir hingga kepada cara bertindak.
Dalam kerangka ini, mahasiswa tidak dilihat sebagai peserta pasif, tetapi sebagai pemegang amanah. Mereka dilibatkan dalam pengurusan organisasi, membuat keputusan dan memikul tanggungjawab sebenar. Di sinilah perbezaannya integriti tidak dilaungkan sebaliknya ia dibentuk.
Lebih penting, proses ini bermula seawal mahasiswa melangkah ke kampus. Pelaksanaan Kem Briged Mahasiswa Negara UMPSA kepada pelajar tahun pertama adalah antara pendekatan awal yang signifikan. Program ini bukan sekadar aktiviti pengenalan, tetapi satu usaha membina jati diri, disiplin dan kesedaran kenegaraan sejak hari pertama.
Dalam kenyataan pengurusan universiti, ditegaskan bahawa pendekatan sebegini penting bagi membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi intelek, sahsiah dan nilai kenegaraan. Mahasiswa juga diharapkan dapat mengaplikasikan nilai dan pengalaman yang diperoleh dalam kehidupan seharian serta dalam peranan mereka sebagai pemimpin masa hadapan. Ini bukan program biasa. Ini adalah asas pembentukan manusia.
Sebagai siri permulaan, inisiatif ini membuka ruang kepada pelaksanaan program yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi mempunyai jati diri dan integriti yang kukuh.
Usaha ini diperkukuh melalui penglibatan mahasiswa dalam badan pelajar seperti Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN). Pendekatan ini jelas bahawa universiti tidak menunggu masalah berlaku untuk bertindak, tetapi membina kesedaran lebih awal.
Mahasiswa dididik untuk memahami nilai, membuat keputusan yang betul dan memegang amanah dengan tanggungjawab. Menurut dapatan Institut Integriti Malaysia, pendidikan nilai dan pengalaman kepimpinan dalam kalangan belia memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku beretika. Ini menunjukkan bahawa integriti tidak lahir secara kebetulan sebaliknya ia dibentuk. Dalam konteks ini, universiti sebenarnya sedang membina benteng awal menentang rasuah bukan menyuburkannya.
Inilah mesej yang perlu difahami iaitu mahasiswa tidak dibentuk secara kebetulan, tetapi melalui reka bentuk pembangunan yang tersusun dan berfasa. Pendekatan ini menjadi asas kepada pembinaan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi mempunyai prinsip dan jati diri yang kukuh. Dalam konteks ini, universiti bukan sekadar mendidik mahasiswa untuk berjaya, tetapi membentuk mereka untuk membuat keputusan yang betul walaupun tiada siapa yang melihat.
Pentadbir sebagai Pemacu Tadbir Urus Berintegriti
Selain mahasiswa, peranan pentadbir universiti juga tidak boleh dipinggirkan. Hakikatnya, kekuatan sesuatu institusi bukan hanya terletak pada dasar yang digubal, tetapi pada bagaimana dasar itu dilaksanakan secara konsisten dan telus. Di sinilah peranan pentadbir menjadi penentu.
Pentadbir bukan sekadar pelaksana arahan, tetapi arkitek kepada sistem tadbir urus yang membentuk budaya kerja sesebuah universiti. Mereka menentukan bagaimana proses dibuat, bagaimana keputusan diambil, dan bagaimana akauntabiliti dipastikan. Dalam konteks ini, integriti tidak bergantung kepada niat semata-mata, tetapi kepada reka bentuk sistem yang jelas dan sukar dimanipulasi.
Melalui garis panduan yang terperinci, pemantauan berterusan dan penambahbaikan prosedur secara berkala, pentadbir universiti berperanan menutup ruang kepada penyalahgunaan kuasa sebelum ia berlaku. Setiap proses sama ada berkaitan kewangan, kelulusan program atau pengurusan sumber ianya dibina dengan prinsip ketelusan dan tanggungjawab yang jelas.
Lebih penting, wujudnya pengasingan fungsi dan semakan berlapis dalam sesuatu proses memastikan tiada satu pihak mempunyai kawalan mutlak. Setiap keputusan melalui tapisan tertentu, setiap tindakan boleh dikesan, dan setiap kelemahan boleh diperbaiki.
Inilah asas kepada tadbir urus yang berintegriti bukan bergantung kepada individu, tetapi disokong oleh sistem yang kukuh. Namun, yang lebih penting ialah budaya yang terhasil daripada sistem tersebut. Apabila proses jelas dan dipatuhi, ia bukan sahaja mengawal tingkah laku, tetapi membentuk cara berfikir warga universiti bahawa setiap amanah perlu dipertanggungjawabkan dan setiap keputusan membawa implikasi.
Di sinilah peranan pentadbir menjadi signifikan walaupun sering tidak kelihatan. Mereka bukan sekadar mengurus, tetapi memastikan integriti hidup dalam setiap proses kerja bukan sekadar slogan, tetapi amalan harian.
Menilai dengan Adil, Membina dengan Bertanggungjawab
Ya, rasuah dalam IPT perlu ditangani dengan serius. Tiada kompromi.
Namun dalam kesungguhan itu, kita tidak boleh memilih jalan paling mudah yakni meruntuhkan kepercayaan terhadap keseluruhan institusi hanya kerana kegagalan segelintir. Pendekatan yang matang ialah melihat dengan jujur, mengakui kelemahan, memperbaiki sistem dan memperkukuh pendidikan integriti. Bukan membina naratif yang menyamaratakan.
Melabel IPT sebagai ‘lubuk rasuah’ mungkin kedengaran tegas, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah. Sebaliknya, ia menutup ruang kepada perbincangan yang lebih konstruktif dan berasaskan fakta.
Realitinya, IPT adalah ruang di mana nilai dibentuk, kepimpinan dilatih dan integriti dipupuk bahkan bukan medan untuk menormalisasikan salah guna kuasa. Jika kita benar-benar serius dalam memerangi rasuah, maka kita perlu melihat IPT sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang, bukan sasaran tuduhan yang longgar.
Kerana pada akhirnya, masa depan integriti negara tidak bermula di mahkamah atau pejabat siasatan tetapi di kampus.

Oleh: Mohd Raizalhilmy Bin Mohd Rais
E-Mel: Hilmy@Umpsa.Edu.My
Penulis ialah Pengurus Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 23 views
Reports by: