Skip to main content

Kekal istiqamah di akhir Ramadan

Kita  telah  pun  berada  di fasa yang  terakhir Ramadan. Biar pun kita masih diuji dengan  kehadiran virus Covid-19, namun ia bukanlah penghalang untuk  kita terus kekal cemerlang dalam menyempurnakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat  lain  khususnya di akhir Ramadan ini. 

Oleh itu, apa jua bentuk ujian yang kita lalui ketika ini, semestinya ujian tersebut menjadikan  diri kita lebih bersemangat untuk kita merealisasikan makna ketakwaan diri dan membangunkan jiwa rabbani di sebalik penunaian ibadat puasa ini. Justeru, adalah penting bagi kita membina kekuatan jiwa dan mental  berteraskan iman secara konsisten agar tujuan puasa ini benar-benar dapat direalisasikan. Nabi SAW bersaba:
“Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya akan  diampuni dosa-dosanya  yang  telah lalu.”
(Riwayat Imam al-Nasai’e) 

Secara  jelas, hadis Nabi SAW ini menegaskan  bahawa  iman semestinya  menjadi  pegangan kita dalam melaksanakan kewajipan ibadat puasa kerana dengan keimanan, kita mampu  beristiqamah dan yakin  terhadap  setiap janji Allah SWT khususnya untuk kita meraih anugerah  malam lailatul al-Qadr yang dijanjikan Allah SWT pada sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadan ini. Nabi SAW bersabda:
“Carilah malam lailatulqadar pada malam ganjil iaitu pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.”   
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan itu, istiqamah adalah suatu perkara yang semestinya perlu dipertingkatkan oleh kita kerana ia merupakan manifestasi dan lambang keteguhan jiwa untuk  kita  terus  melakukan  sesuatu  amalan ketaatan  serta  meninggalkan  apa jua  perbuatan yang bertentangan dengan syarak secara konsisten. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang yang mengatakan Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada pula  berdukacita.”
(al-Ahqaf: 13)

Untuk melahirkan sifat istiqamah, semestinya kita perlu memperbaharui komitmen keimanan setiap hari seiring dengan kita berusaha  untuk menundukkan  pengaruh hawa nafsu  melalui proses perjuangan diri yang berterusan. Kedua- dua aspek ini seharusnya diterapkan dalam pengamalan ibadat puasa kita sejak dari awal Ramadan lagi dan berterusan sehingga akhir Ramadan. Sebenarnya perkara ini tidak mudah dilakukan sekiranya kita tidak mempunyai tekad dan keazaman diri yang bersungguh-sungguh untuk memperbaiki prestasi ibadat kita di sepanjang bulan Ramadan ini. 

Untuk menjayakan hasrat ini pula, kita haruslah  sedar  bahawa  ibadat  puasa yang sedang  kita laksanakan  ketika ini merupakan suatu  amanah  yang cukup besar dan puasa tersebut telah diwakilkan kepada diri kita tanpa  ada pengawasan dari sesiapa pun kecuali Allah SWT. Oleh itu, apabila kita berpuasa, kita seharusnya  sanggup bersabar  untuk  tidak melakukan  sebarang perkara atau  perbuatan  yang direstui oleh hawa nafsu  dan  tabiat ini hendaklah sentiasa diulangi oleh kita setiap masa sehingga lahirnya perasaan takut kepada Allah SWT. 

Sekiranya perkara  ini dapat dilaksanakan, maka  tanpa diragui lagi, ibadat  puasa kita  akan   meningkat ke suatu tahap yang lebih tinggi  dan kita akan  berada  dalam barisan   orang-orang  yang bertakwa kepada Allah SWT. Oleh itu, kita berhak untuk meraikan  kemenangan dan kegembiraan di akhir bulan Ramadan melalui Hari Raya Aidilfitri  kerana  kita sebenarnya telah  dapat  mengembalikan diri  kita kepada fitrah yang asal.  Jadi, marilah sama- sama  kita beristiqamah  untuk  terus memperbaiki prestasi dan kualiti  ibadat puasa dan segala  bentuk ibadat ketaatan khususnya pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan ini bagi  memenuhi keberhasilan utama ibadat  puasa  kita sebagaimana  firman Allah SWT: 
 

“Wahai orang- orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu dapat bertakwa.  (al-Baqarah: 183)

Kekal istiqamah di akhir Ramadan

Penulis ialah  Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
Oleh : Dr. Mohd. Suhardi Mat Jusoh
e-mel: suhardi@ump.edu.my

 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News