Kepentingan Perisytiharan Harta
Perisytiharan harta merupakan satu kewajipan dan tanggungjawab bagi setiap pekerja terutamanya di dalam sektor awam. Ia merupakan satu proses di mana pegawai kerajaan, pegawai swasta dan pegawai badan berkanun membuat perisytiharan bagi harta-harta yang mereka miliki sama ada harta alih dan harta tidak alih.
Kewajipan mengisytihar harta telah dinyatakan di dalam Peraturan 9 Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) yang mana peraturan tersebut mewajibkan untuk setiap pegawai yang dilantik ke perkhidmatan sesuatu badan berkanun atau pada bila-bila masa selepas itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga (badan berkanun itu sendiri) mengisytiharkan secara bertulis kepada Jawatankuasa Tatatertib yang berkenaan melalui Ketua Jabatannya, segala harta yang dipunyai olehnya atau oleh isteri atau suaminya atau anaknya atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya atau bagi pihak isteri atau suaminya atau anaknya.
Sekiranya pegawai tersebut tidak mempunyai apa-apa harta, pegawai tersebut hendaklah membuat perisytiharan secara bertulis kepada Jawatankuasa Tatatertib juga sebagai rekod dan simpanan organisasi.
Semua pegawai dikehendaki membuat perisytiharan harta sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun. Tempoh perisytiharan harta dikira berdasarkan tarikh akhir perisytiharan harta dibuat. Sekiranya dalam tempoh perisytiharan harta yang ditetapkan itu seseorang pegawai tidak memperolehi apa-apa harta tambahan atau tidak melupuskan apa-apa harta, makan pegawai masih lagi bertanggungjawab untuk mengisytiharkan semula harta dengan pengakuan tiada perubahan mengenai pemilikan harta dengan membuat perisytiharan di dalam Sistem HRMIS atau menggunakan borang seperti di Lampiran A di dalam Garis Panduan Pemilikan dan Perisytiharan Harta Pegawai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi staf lantikan kontrak dan sementara.
Antara harta-harta yang perlu diisytiharkan sebagaimana yang tertakluk di dalam Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 Akta 605 adalah seperti harta alih contohnya, wang tunai, simpanan bank, saham, unit Amanah, kenderaan, barang kemas, barang-barang perniagaan dan sebagainya. Selain itu, definisi harta juga termasuk harta tidak alih seperti rumah, tanah, kebun, ladang, bangunan pejabat dan sebagainya.

Salah satu kepentingan utama perisytiharan harta ialah untuk mencegah rasuah dan salah guna kuasa. Dalam sesebuah organisasi, penjawat awam diberi akses kepada maklumat penting dan kuasa membuat keputusan. Tanpa kawalan yang rapi, kuasa ini boleh disalahgunakan untuk mengaut keuntungan peribadi. Melalui perisytiharan harta, rekod kekayaan seseorang pegawai dapat dipantau dari semasa ke semasa. Jika terdapat pertambahan harta yang mendadak atau tidak selari dengan pendapatan rasmi, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan siasatan dengan serta-merta. Langkah tegas seperti ini mampu mengekang budaya rasuah yang boleh merencatkan pembangunan negara.
Selain itu, perisytiharan harta turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem pentadbiran organisasi. Ketelusan ialah nilai yang amat penting dalam memastikan rakyat percaya kepada sesebuah institusi. Apabila pegawai kerajaan atau pemimpin mengisytiharkan harta mereka, orang ramai dapat melihat bahawa mereka benar-benar bersikap terbuka dan tidak menyembunyikan sebarang kekayaan yang mencurigakan. Ini bukan sahaja meningkatkan imej organisasi, malah membantu membina kepercayaan orang ramai terhadap setiap keputusan yang dibuat.
Di samping itu, perisytiharan harta turut membantu mencegah konflik kepentingan dalam kalangan penjawat awam dan pemimpin politik. Konflik kepentingan berlaku apabila seseorang pegawai membuat keputusan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya sendiri, ahli keluarganya atau pihak tertentu yang mempunyai hubungan peribadi dengannya. Dengan mengisytiharkan harta, organisasi dapat mengenal pasti sama ada pegawai tersebut mempunyai kepentingan dalam mana-mana syarikat atau aset yang boleh mempengaruhi profesionalisme mereka dalam membuat keputusan. Misalnya, jika seorang pegawai memiliki saham dalam sebuah syarikat pembinaan, maka dia tidak wajar terlibat dalam membuat keputusan tender projek kerajaan bagi mengelakkan ketidakadilan. Oleh itu, perisytiharan harta berfungsi sebagai langkah pencegahan awal sebelum berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.
Tambahan pula, perisytiharan harta dapat memudahkan proses audit dan pemantauan kewangan, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan pentadbiran. Dokumen perisytiharan harta yang kemas dan tersusun akan memudahkan pihak audit dalaman atau agensi penguatkuasaan menilai status kewangan seseorang pegawai. Dengan pemantauan berkala, pihak berkuasa dapat mengesan sebarang kelemahan dalam sistem atau prosedur kewangan dan seterusnya mengambil tindakan pembetulan. Amalan sebegini sangat penting dalam organisasi besar, termasuk kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang mempunyai tanggungjawab menguruskan dana awam dalam jumlah besar.
Akhir sekali, perisytiharan harta juga dapat menggalakkan budaya integriti dalam organisasi dan masyarakat. Apabila pemimpin menunjukkan teladan yang baik melalui perisytiharan harta, ia akan mendorong pegawai bawahan dan masyarakat umum untuk mencontohi nilai yang sama. Budaya integriti yang kukuh dapat membentuk masyarakat yang membenci rasuah dan menyokong amalan ketelusan. Dalam jangka masa panjang, budaya ini akan melahirkan generasi pemimpin yang jujur, amanah dan bertanggungjawab.
Kesimpulannya, perisytiharan harta memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pentadbiran organisasi berjalan dengan telus, bebas daripada rasuah dan konflik kepentingan. Amalan ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan terhadap institusi, malah mampu memperkukuh integriti seluruh sistem pentadbiran. Oleh itu, semua penjawat awam wajar mengutamakan perisytiharan harta sebagai satu tanggungjawab moral serta profesional demi memastikan kemajuan dan kesejahteraan negara terus berkekalan.

Oleh: Siti Nur Fatimaton Abdul Manan
E-mel: fatimaton@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pegawai, Unit Integriti dan Pematuhan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 49 views
Reports by: