Skip to main content
Melahirkan generasi acuan Malaysia

Melahirkan generasi acuan Malaysia

Usia kemerdekaan negara telah pun memasuki usia 66 tahun. Sudah pastinya negara kita telah mampu melahirkan generasi yang celik huruf celik, celik teknologi, berwawasan, beretika, berfikiran kreatif, berinovasi dan berpandangan jauh. Ini sangat berbeza dengan masyarakat kita sebelum merdeka dahulu yang kebanyakannya buta huruf dan tidak berpendidikan, jika ada sangat sedikit dan itu pun hanya pada peringkat rendah.  

Salah satu tugas yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan adalah memastikan generasi baharu Malaysia yang dilahirkan menjadi cerminan masyarakat pada masa kini iaitu generasi yang beragama, berilmu, beradab, beretika, menyanjung Perlembagaan dan undang-undang negara, bertoleransi serta mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. 
 

 

Generasi Acuan Malaysia
                                        Generasi Acuan Malaysia

Semua rakyat Malaysia berhak mendapatkan pendidikan sama ada percuma atau menggunakan duit sendiri, pilihan tetap ada bagi yang mementingkan pendidikan. Pendidikan adalah asas kepada kemajuan sesuatu bangsa dan ia melambangkan pencapaian ketamadunan sesuatu negara bangsa. Sememangnya bangsa yang berilmu tidak sama dengan bangsa yang tiada ilmu. Pada masa kini, dapat dilihat setiap negara berlumba-lumba bagi menyediakan sistem pendidikan terbaik untuk anak bangsa mereka. Oleh itu, generasi muda perlu merebut peluang ini kerana tanpa ilmu mereka tidak mampu mengemudi kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Negara juga akan rugi kerana tiada tenaga pakar untuk membangun dan melaksanakan pembangunan negara. 

Pengantarabangsaan dalam institusi Pendidikan tinggi di Malaysia mampu melahirkan mahasiswa yang matang dan berfikiran luar kotak
Pengantarabangsaan dalam institusi Pendidikan tinggi di Malaysia  mampu melahirkan mahasiswa yang matang dan berfikiran luar kotak

Antara bait pertama dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan. Ini melambangkan Malaysia adalah negara yang mendokong agama sebagai asas kepada semua aspek kehidupan masyarakat pelbagai.  Agama juga adalah pegangan yang akan menghindar seseorang individu itu melakukan sesuatu yang tidak baik kepada negara. Kepelbagaian agama di Malaysia bukan sahaja satu keunikan bahkan ia menjadi alat penyatu kepada semua bangsa di Malaysia. Melalui agama mereka juga dapat mengenali di antara satu sama lain dan melambangkan Malaysia mengamalkan toleransi terhadap agama lain. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah setiap generasi baharu perlu menghayati agama dan melaksanakan ajaran agama bagi membentuk individu yang bersih, amanah dan jujur dalam setiap pekerjaan. 

Sebagaimana yang telah sedia maklum, zaman globalisasi dengan berlakunya kemasukan pengaruh dan anasir luar, telah sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku dan perbuatan generasi muda kini. Negara menghadapi cabaran untuk memastikan generasi Malaysia mengamalkan dan mengekalkan adat-adab Timur, kesopanan dan kesusilaan. Semuanya terangkum dalam etika dan adab kita orang Malaysia. Justeru, kerajaan dari semasa ke semasa perlu memastikan ilmu adab dan etika sentiasa diterapkan dari peringkat sekolah, menengah dan institusi pengajian tinggi. Kajian juga perlu dilakukan bagi melihat sejauh mana pengamalan etika dan adab dipatuhi oleh generasi muda semasa mereka berada dalam persekitaran pendidikan. 

Seiring dengan perkembangan era globalisasi, antara elemen yang perlu dipertahankan oleh sesebuah negara adalah penghormatan terhadap undang-undang dan Perlembagaan Negara. Kewujudan pemikiran liberal menyebabkan timbulnya pandangan ‘segalanya bebas’ telah secara tidak langsung memberi kesan kepada pemikiran masyarakat di negara ini bahawa kebebasan itu adalah mutlak. Mereka mula melupakan ajaran agama, adab-adab orang Timur, budaya masyarakat kepelbagaian, serta Perlembagaan Negara. Justeru itu lahirnya individu yang mempersoalkan hak kebebasan individu, hak bersuara, hak beragama dan sebagainya. Ini dapat dibuktikan melalui timbulnya golongan yang mempersendakan agama sendiri dan agama orang lain, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap perkara-perkara dalam Perlembagaan Negara, menghina pemimpin dan negara dan sebagainya. Ini merupakan cabaran yang besar kepada negara apabila undang-undang negara dicabar oleh individu yang cetek pengetahuannya tentang undang-undang dan Perlembagaan Negara, agama Islam sebagai agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. 

Kata pepatah Melayu, ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri’. Pepatah ini membawa masyarakat kita untuk berfikir adakah kita perlu mengorbankan tanah air sendiri demi mengejar kesenangan di negara orang. Dalam konteks ini, generasi baharu yang telah berjaya menggenggam segulung ijazah perlu menyumbang tenaga untuk negara, walaupun peluang di negara orang sentiasa terbuka. Generasi baharu perlu menjadi warganegara yang berasa bertanggungjawab kepada negara, kerana kerajaan dan negara telah memberikan mereka peluang untuk menimba ilmu, jadi sebaiknya jadilah warganegara yang mengenang budi kepada negara kerana tanpa mereka, mungkin negara kehilangan satu permata yang mampu memancarkan aura pembangunan negara. 

Generasi muda perlu sokongan moral daripada masyarakat dan negara
Generasi muda perlu sokongan moral daripada masyarakat dan negara

Adalah menjadi satu kejanggalan apabila masyarakat telah menerima pendidikan dengan sempurna, maju dalam pelbagai bidang, tetapi kesedaran untuk menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara sukar untuk ditunaikan. Di sinilah letaknya peranan generasi muda yang berpendidikan tinggi untuk memberi sumbangan kepada negara dengan memilih siapa yang sepatutnya memerintah negara. 

Generasi muda harus mempunyai kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab dengan tahap patriotisme yang tinggi. Masyarakat sebelum merdeka mempunyai nilai patriotisme yang tinggi, justeru rasa kebertanggungjawaban terhadap negara adalah tinggi. Dewasa ini kita dapat lihat peratus pengundi adalah jauh berbeza dengan jumlah penduduk yang sebenar, jumlah pengundi yang berdaftar dengan yang keluar mengundi juga sangat berbeza. Tidak salah jika kita mengaitkan kurangnya semangat patriotisme menyebabkan kurangnya kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara.  Masa depan dan hala tuju pembangunan negara banyak bergantung kepada peranan rakyatnya, jadi kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mereka perlu sentiasa disematkan agar negara bangsa Malaysia sentiasa relevan sebagai sebuah negara yang demokratik dan disegani. Patriotisme adalah tanggungjawab, jika anda ada ini, maka anda adalah generasi yang mempunyai kecintaan yang tinggi kepada negara.

     Wajah-wajah undi 18 yang teruja pertama kali membuang undi Wajah-wajah undi 18 yang teruja pertama kali membuang undi

                           Wajah-wajah undi 18 yang teruja pertama kali membuang undi

Generasi muda juga harus sedar, masa depan negara banyak dipengaruhi oleh siapa yang memimpin. Siapa pun yang memimpin tetap akan memberikan kesan kepada kehidupan seharian kita. Siapa pun anda, golongan tua atau golongan muda semuanya tertakluk kepada apa yang negara bakal berikan kepada anda. Generasi muda jangan pula merasakan politik tidak ada kaitan dengan mereka. Apabila berbicara tentang politik, maka kita boleh bertanya apa yang negara boleh bagi pada kita? Dalam hal ini, tetapi apakah yang kita akan bagi pada negara suatu masa nanti? Ayuh bangkitlah anak muda, anda adalah generasi pewaris negara, maka anda yang  perlu ke hadapan dan tunjukkan bahawa anda adalah yang akan mewarnai negara pada masa akan datang iaitu generasi acuan Malaysia.

 

Generasi muda pewaris bangsa dan negara. Sayangilah mereka
     Generasi muda pewaris bangsa dan negara. Sayangilah mereka

 

 

Dr. Hasnah Husiin

Dr. Hasnah Hussiin 

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

e-mel: hasnah@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News