Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya: Peranan Guru Pendidikan Prasekolah dalam Menyemai Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-kanak
Peribahasa Melayu yang terkenal, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, bukan sahaja menyifatkan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, malah ia menggarisbawahi peranan kritikal fasa permulaan kehidupan dalam membangun jati diri serta potensi cemerlang mereka.
Pendidikan prasekolah berperanan sebagai asas yang kukuh bagi perkembangan intelektual, emosional, sosial, dan fizikal. Di samping itu, ia juga membuka jalan luas kepada literasi dan pemikiran tahap tinggi dari usia yang begitu muda. Dalam kerangka ini, pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, dan institusi pendidikan mengembangkan peranan proaktif dan kolaboratif melalui pelaksanaan program sokongan guru prasekolah yang efektif serta inovatif dan memastikan anak-anak kita dilengkapi untuk menghadapi dunia yang penuh cabaran.
Kecerdasan Pelbagai: Menghargai Keunikan Setiap Anak
Berasaskan kepada teori revolusioner Howard Gardner, setiap kanak-kanak dianugerahkan dengan kecerdasan unik yang terukir dalam pelbagai bidang seperti linguistik, logik-Matematik, Muzik, dan sebagainya. Gardner (1983) mula mengemukakan teorinya dalam buku beliau yang bertajuk Frames of Mind: The Theory of Multiple Intelligences. Beliau mencadangkan bahawa setiap individu mempunyai pelbagai jenis ‘kecerdasan’ yang berbeza. Guru prasekolah yang berwawasan perlu bijak dalam mengenal pasti kecenderungan istimewa ini melalui pemerhatian yang mendalam dan teliti. Misalnya, kanak-kanak yang menunjukkan bakat visual akan terpikat oleh aktiviti mewarna dan membaca buku bergambar yang penuh ilustrasi menarik. Kaedah pengajaran yang disesuaikan secara strategik bukan sahaja mampu merangsang malah memacu daya fikir dan kreativiti mereka ke tahap yang lebih tinggi. (M.K & Puteri, 2023)
Penguasaan literasi dan pengajaran bahasa Inggeris yang betul pada awal usia merupakan asas kukuh terhadap kejayaan cemerlang dalam pendidikan formal. Literasi awal bukan sekadar permulaan, ia adalah nadi yang menghidupkan pembelajaran sepanjang hayat. Ini merangkumi pengajaran bahasa Inggeris secara fonetik yang dinamik, menekankan kejelasan sebutan yang tepat, pembinaan ayat yang berfungsi serta efektif, serta penggunaan konteks semula jadi yang mendorong pemahaman secara pelajar secara lebih mendalam.
WarnaKids Reading Series, sebuah karya unggul terbitan Warnakids Studio dihasilkan oleh penulis dan penyelidik yang berpengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Penggunaan buku berstruktur fonik adalah diharapkan dapat membantu para pendidik prasekolah dalam merangka pelan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai mengikut sukatan kurikulum prasekolah. Siri ini menjanjikan pengalaman pembelajaran yang berstruktur dan mudah untuk diguna pakai oleh para pendidik awal kanak-kanak. Bahan pengajaran ini juga boleh diperkukuh dengan capaian multimedia yang boleh membantu para pendidik dalam penyampaian yang lebih berkesan.
Pendidikan prasekolah adalah penentu kritikal hala tuju masa depan anak-anak kita. Guru prasekolah memainkan peranan yang sangat penting dan tidak dapat dinafikan dalam membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berkemahiran tinggi dan bermoral. Peranan mereka perlu disokong menerusi program latihan yang berkualiti tinggi, bahan bantu yang memberikan impak, serta pemahaman yang mendalam tentang perkembangan kanak-kanak. Dalam era globalisasi yang sedang berkembang pesat kini, penguasaan bahasa Inggeris fonetik dari usia yang muda membuka laluan luas kepada komunikasi yang efektif dan daya saing yang luar biasa di pentas global. Sama seperti pepatah terkenal ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, kita memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap rebung ini membesar dengan akar yang kukuh dan cabang yang berkembang maju. Semoga bahan pengajaran WarnaKids Reading Series dari Warnakids Studio dapat membantu pendidik awal kanak-kanak dalam melaksanakan tugas mulia ini.
Gardner, H. (1983). Frames of Mind: A Theory of Multiple Intelligences. New York: Basic Books.
M.K, Q. R., & Puteri, S. (2023). Pengembangan Buku Cerita Bergambar Digital Untuk Meningkatkan Kemampuan Membaca Permulaan Kelas 2 B Sdn 01 Halim. Jurnal Wahana Pendidikan, 10(1), 169. https://doi.org/10.25157/jwp.v10i1.9582

Oleh: Dr. Ezihaslinda Ngah
E-mel: ezi@umpsa.edu.my
Pensyarah
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Hajah Noor Azlinda Zainal Abidin
E-mel: azlinda@umpsa.edu.my
Guru Bahasa Kanan
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Profesor Madya Dr. Noor Raha Mohd Radzuan
Profesor Madya
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
E-mel: nraha@umpsa.edu.my
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 150 views
Reports by: