Memperkasakan Pendidikan TVET: Mencerna Pemahaman Masyarakat
Sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat perhatian di dalam setiap belanjawan saban tahun. Peningkatan peruntukan bertambah dari jutaan ringgit ke bilion dengan membolehkan kerajaan menggerakkan langkah yang proaktif untuk memperkasakan TVET negara.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, sektor Pendidikan TVET terus menjadi tumpuan dengan memperhebat agenda pemerkasaan melalui pelbagai inisiatif. Sejak tumpuan memperhebat TVET negara, hampir setiap masa maklumat berkenaan TVET mewarnai latar informasi, sama ada di ruang maya, akhbar-akhbar dan juga kertas polisi, tetapi sejauh manakah pemahaman kita berkaitan dengan pemerkasaan TVET ini?.
Definisi memperkasakan TVET tidak terlalu terikat dengan ‘technicalness’, ‘systemness’ dan ‘technologicalness’ semata-mata. Ia sebenarnya melangkaui maksud yang tegar dan fragmented. Memperkasakan TVET bagi pemahaman umum adalah dari aspek keharmonian governan, kebolehpasaran graduan, libat sama industri dan juga penjenamaan semula imej TVET yang lebih positif di samping beberapa isu seperti skim perjawatan yang lebih dinamik dan juga skim gaji yang standard.
TVET sebagai pilihan utama pengajian
TVET bukanlah pilihan kepada ramai orang terutamanya golongan muda kerana persepsi pendidikan kelas kedua mendahului potensi yang disediakan bagi laluan ini. Asosiasi di antara mereka yang tidak berapa cerdik dan mereka yang tidak mempunyai pencapaian akademik yang bagus sering menjadi mainan bagi populariti serta pilihan pengajian diperingkat seterusnya. Tanyalah kepada ibu bapa atau penjaga, apakah rata-rata impian yang disimpan bagi anak-anak mereka? Tentunya mereka mempunyai cita-cita untuk melorongkan anak-anak mereka kepada profesion sebagai doktor, jurutera, arkitek dan lain-lain pekerjaan yang dirasakan berkelas tinggi.
Jarang sekali kita mendengar ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi pekerja mahir seperti pekerja hotel, jurukimpal, tukang jahit, pereka fesyen dan lain-lain lagi pekerjaan yang dikatakan tidak mempunyai status. Berapa ramai dalam kalangan masyarakat kita yang sebenarnya tahu bahawa pekerjaan ini adalah profesion yang diiktiraf profesional di luar negara dengan memperoleh bayaran gaji yang lumayan. Pekerjaan berteraskan kemahiran TVET ini juga membuka ruang yang luas kepada laluan keusahawanan.
Malaysian Technology Network University (MTUN) yang dianggotai oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) adalah salah satu pendokong utama dalam agenda TVET Malaysia. Malah peranan MTUN juga adalah untuk pemerkasaan TVET di dalam program-program pengajian tinggi bagi mengalih pemahaman golongan muda bahawa fokus kepada kerjaya tidak lagi melihat kepada pekerjaan formal tetapi kepada bekerja sendiri dengan minda keusahawanan dan berkemahiran tinggi serta kapasiti membangunkan empayar perniagaan. Ini juga adalah bersesuaian dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menyasarkan graduan TVET berkemahiran tinggi bagi menyumbang kepada produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.
Dahulu TVET menemui jalan buntu kepada mereka yang memilih laluan ini. Ia bukanlah berada dalam pendidikan arus perdana yang mempunyai pelbagai cabang dalam mengembangkan potensi pelajar. Malahan, jika ada konsultansi bagi laluan untuk melanjutkan pengajian, bidang TVET tentunya tidak tersenarai sebagai laluan yang ideal untuk melanjutkan pengajian. Namun, stigma ini semakin terpadam beberapa tahun kebelakangan ini. Peningkatan bagi enrolmen pelajar di dalam program TVET semakin lama semakin meningkat dengan menyaksikan TVET adalah di antara laluan pengajian yang menjadi pilihan. Beberapa set data enrolmen pelajar ke dalam program aliran TVET yang disediakan oleh penyedia pengajian pendidikan TVET seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menunjukkan peningkatan setiap tahun. Pelbagai kejayaan mereka di dalam dan luar negara mendapat liputan meluas dan ia memberi impak yang baik kepada imej TVET itu sendiri. Ibu bapa mula membuka mata bahawa bidang TVET mempunyai masa depan yang cerah di dalam dunia pekerjaan.
Keharmonian governan
Segmentasi pengurusan pendidikan TVET dibahagikan kepada beberapa pecahan. Banyak pihak yang memberi tawaran pendidikan TVET tanpa melihat kepada standard yang telah sedia ada. Kesan dari pelbagai pengurusan ini menyebabkan masing-masing saling bersaing untuk menawarkan program tanpa merujuk kepada badan atau agensi tertentu bagi mendapatkan pengiktirafan yang standard serta penyeragaman kursus. Penyatuan badan penyedia Pendidikan TVET dilihat ideal oleh sesetengah pihak tetapi bagi pihak yang lain ia seakan merencam perjalanan governan mereka. Perkara ini dari semasa ke semasa sentiasa diharmonikan bagi mencapai kata sepakat terutamanya dalam usaha pengakreditan, perakuan dan penandaarasan kualiti dalam program-program TVET. Penyeragaman standard kelayakan TVET negara akhirnya disepakati dengan terbitnya ‘Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET’ pada tahun 2019 yang dibangunkan bersama oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Malaysia Board of Technologist (MBOT) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Penyedia Pendidikan TVET Malaysia mengguna pakai sistem jaminan ini bagi menyelaraskan kualiti dan standard penyampaian Pendidikan TVET dalam masa yang sama memberikan persaingan positif kepada semua penyedia latihan TVET dan meningkatkan keboleh pasaran graduan. Melalui sistem jaminan tunggal ini, laluan pendidikan graduan TVET diberikan pengukuhan dengan mode fleksibiliti mengikut tahap kemajuan dan kompetensi lulusan TVET.
Laluan ini tidak lagi buntu dan mati di tahap-tahap tertentu iaitu pada waktu dahulu sesiapa yang mengambil TVET hanya akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Kemahiran (DKM), tetapi kini keadaan ini telah berubah dengan naik taraf tahap pendidikan. Mereka berupaya untuk melanjutkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari universiti terpilih. Rasionalisasi skim perkhidmatan dalam kerajaan juga memberi ruang dan peluang kepada mereka yang berkelayakan SKM diiktiraf sebagai setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan membolehkan pemegang sijil SKM mejawat jawatan kerajaan. MTUN contohnya, telah membuka laluan kepada pelajar lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) Kolej Vokasional untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi mulai tahun 2020.
Libat sama Indusri
Pemerkasaan TVET juga tertumpu dalam libat sama industri bagi menyemak kerelevanan kurikulum dan penyampaian praktikal dalam menjamin kebolehpasaran graduan TVET. Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) telah diperkenalkan bagi tujuan memberikan pelajar TVET pengetahuan dan kemahiran praktikal selari dengan amalan industri. Libat sama ini amat signifikan dalam mewujudkan tenaga pakar baharu selari dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang membolehkan graduan TVET bersedia dengan mempelajari teknologi terkini bagi penyediaan tenaga berkemahiran tinggi.
Antara inisiatif strategik bagi libat sama industri yang telah dilaksanakan seperti Structured Internship (SIP), Reskilling, Upskilling & Crossskilling, dan Finishing School. Pendidikan dan latihan berkemahiran yang berkualiti tinggi dapat memastikan modal insan yang dihasilkan kekal relevan dengan kehendak pasaran dan industri bagi mendepani cabaran dan persaingan antarabangsa.
Penjenamaan Semula
Inisiatif dalam menjenamakan semula TVET adalah salah satu kaedah mempromosi laluan ini sebagai karier pilihan. Pengiktirafan ahli teknologi (technologist) sebagai profesional termasuklah menyampaikan maklumat berkaitan visi TVET dan peluang yang terhidang pada masa hadapan turut digiatkan. Tidak ramai yang ingin mencebur diri dalam bidang TVET kerana mereka beranggapan kerjaya ini tidak menjamin masa depan. Jika di luar negara, pekerjaan di dalam sektor TVET mampu untuk meraih gaji yang lumayan sehinggakan perumpamaan pada gaji graduan berkemahiran tinggi ini berbanding gaji seorang doktor gigi.
Netizen mula membuka mata apabila banyak kejayaan graduan TVET dipaparkan di dada-dada akhbar. Kempen secara meluas di dalam media nasional sama ada stesen TV dan radio serta media sosial giat digerakkan bagi memaparkan sisi positif laluan kerjaya ini. Antaranya adalah graduan TVET dari Kolej Vokasional yang berjaya menjadi jurukimpal wanita pertama dalam air di Malaysia dengan bayaran lumayan, kejayaan usahawan graduan MARA dari perniagaan berskala kecil sehinggalah berskala besar yang mewujudkan rantaian ekonomi mapan, lestari, dan hasil produk serta inovasi yang berjaya dipasarkan di dalam dan luar negara. Kerajaan juga dari semasa ke semasa menilai semula sistem pengajian, skim perjawatan dan skim kenaikan pangkat terhadap pekerja berkemahiran yang menyandang posisi perjawatan di dalam kerajaan. Ternyata, penyetaraan gaji bagi bidang TVET ini semakin lama semakin bertambah baik dengan sifat cakna para pejuang aliran TVET.
Antara strategi lain adalah kelayakan bagi pengajar kemahiran diisi oleh mereka yang berkemahiran tinggi. Mekanisme ini dijalankan melalui pengambilan pengajar yang mempunyai pengalaman industri dengan kemahiran praktikal bekerja. Organisasi seperti Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) diwujudkan bagi melatih, membimbing dan menjadikan pengajar ini pengajar kelas dunia bepandukan kurikulum yang telah diperkayakan dengan kehendak industri serta diselarikan dengan National Occupational Skills Standard.
Kesimpulannya, dalam mendokong aspirasi TVET negara, pemahaman terhadap pemerkasaan TVET perlu dicerna dengan baik agar para penyedia Pendidikan TVET dan masyarakat secara umumnya jelas dengan maksud dan matlamat agenda TVET negara, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan situasi endemik ini. Mekanisme bagi mengatasi dilema pemerkasaan ini telah lama dijalankan dan memerlukan lebih tumpuan dalam mengurangkan impak endemik agar Pendidikan TVET berterusan dan kekal daya tahan.
Dr. Hadijah Ahmad ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Profesor Madya Ts. Dr. Badaruddin Ibrahim ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Vokasional, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
e-mel: hadijah@ump.edu.my dan badar@uthm.edu.my