Skip to main content

Menawan Awan, Menjulang Jalur Gemilang: Wira UMPSA takluk Kinabalu

Kemerdekaan Malaysia bukanlah satu perjuangan yang mudah, tetapi hasil usaha tanpa lelah, pengorbanan, dan kerjasama seluruh rakyat. Semangat inilah yang dibawa oleh pasukan pendaki  Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam misi mengibarkan bendera universiti di Gunung Kinabalu pada 21 dan 22 Ogos 2025. Dipimpin oleh Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Mohd Hanafiah, Dekan Pusat Sains Matematik (PSM), Profesor Madya Dr. Mohd Sham Mohamd, Eksekutif Kanan, Jabatan Pendaftar, Mohd Izzat Shafie@Mohd Alias, Pembantu Belia dan Sukan, Pusat Sukan, Muhamad Syafarin Samsuri dan Mohd Khairul Jasri Salleh, setiap langkah mendaki mencerminkan disiplin, sokongan dan kekuatan pasukan.

Menawan Awan, Menjulang Jalur Gemilang: Wira UMPSA takluk Kinabalu

Persiapan untuk misi ini hanya mengambil masa selama 30 hari. Tempoh singkat ini menuntut strategi latihan yang rapi dengan sokongan Pusat Sukan. Pelan latihan disesuaikan mengikut kemampuan setiap pendaki, kelengkapan diperiksa teliti, risiko cuaca dianalisis, dan peranan pasukan diagihkan secara jelas. Setiap ahli memainkan peranan masing-masing, daripada penjagaan masa hingga pengurusan peralatan dan penyuntikan semangat. Taklimat keselamatan bukan sekadar formaliti, tetapi sentiasa menjadi keutamaan.

Ramalan cuaca menjangkakan hujan sepanjang pendakian, memerlukan bukan sahaja persediaan fizikal, malah kekuatan mental. Pada 20 Ogos, pasukan tiba di Sutera Sanctuary Lodge, kaki Gunung Kinabalu dalam keadaan hujan lebat yang berlarutan hingga ke tengah malam.

Menawan Awan, Menjulang Jalur Gemilang: Wira UMPSA takluk Kinabalu

Manakala pada 21 Ogos, pendakian bermula dari Timpohon Gate dalam keadaan hujan renyai dan menamatkan pendakian hari pertama di Panalaban. Keesokan harinya iaitu pada 22 Ogos, pendakian ke puncak dimulakan seawal jam 2:40 pagi dalam cuaca berkabus, berangin, dan hujan berterusan. Namun, di KM8 pada ketinggian 3,929 meter, cuaca semakin buruk, hujan semakin lebat, angin bertiup kencang dan laluan licin. Atas arahan pemandu gunung, semua pendaki diarahkan berpatah balik kerana cuaca di puncak tidak selamat. Keputusan ini dibuat secara sepakat, membuktikan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya pada puncak yang ditawan, tetapi pada keberanian, kepercayaan dan solidariti pasukan.

Menawan Awan, Menjulang Jalur Gemilang: Wira UMPSA takluk Kinabalu

Pendakian ini bukan sekadar menawan puncak, tetapi menjadi saksi pelajaran berharga bahawa ketahanan lahir daripada perancangan rapi dan sokongan bersama; kekuatan pasukan terserlah melalui kepercayaan serta komunikasi yang utuh; dan kejayaan sebenar bukan hanya pada destinasi yang digapai, tetapi pada perjalanan yang ditempuhi bersama.

Menawan Awan, Menjulang Jalur Gemilang: Wira UMPSA takluk Kinabalu

Kepulangan pasukan ke Timpohon Gate pada jam 2:50 petang disambut oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Bendahari, Dato’ Zainudin Othman, dan Pengarah Pusat Sukan, Mohd Aznorizamin Ismail. Misi ini membuktikan bahawa walaupun cuaca menghalang langkah, semangat juang UMPSA tidak pernah goyah. Gunung Kinabalu menjadi saksi tekad warga UMPSA yang tidak mudah mengalah, sentiasa bersatu hati, dan bersedia menggalas cabaran demi memacu kecemerlangan universiti tercinta.

Selamat Ulang Tahun Ke-68 Kemerdekaan Malaysia!

Semoga semangat kemerdekaan terus menjadi obor perjuangan untuk UMPSA melangkah lebih jauh, melahirkan generasi unggul dan membina masa depan bangsa dengan kebijaksanaan dan keberanian.

Dr. Mohd Hanafiah Ahmad

Oleh: Dr. Mohd Hanafiah Ahmad 
E-mel: hanafiah@umpsa.edu.my

Penulis adalah Dekan, Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Staf Bersekutu Graduate Engineering and Technological Business School, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri