Skip to main content
Mendidik Manusia Menjadi Manusia

Mendidik Manusia Menjadi Manusia

Dewasa ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai isu kemanusiaan seperti peperangan, pembunuhan secara terbuka oleh etnik-etnik tertentu, penyiksaan , konflik agama, bencana alam dan yang terkini serangan virus Covid-19. Semua ini berlaku disebabkan satu perkara sahaja iaitu hilangnya nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia pada hari ini. Secara amnya, dunia sekarang adalah lebih moden jika dibandingkan dengan zaman-zaman terdahulu. Moden kerana manusia mampu mencipta pelbagai teknologi untuk memudahkan kehidupan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.  Kini manusia mampu untuk bergerak dalam masa yang pantas, memudahkan manusia berkomunikasi dalam jarak beribu batu, pendidikan menggunakan alam maya, pengeluaran bertambah dengan wujudnya mesin dan jentera dalam sektor perindustrian dan sebagainya. Pendek kata, zaman ini ilmu hanya di hujung jari. Namun, adakah kita sedar, kemajuan teknologi dilihat tidak seiring dengan nilai kemanusiaan. Bagi menjadikan sesuatu bangsa itu bertamadun, sebaiknya teknologi dan nilai kemanusiaan itu berjalan seiring agar ia mampu memberikan kesejahteraan kepada bumi dan manusia sejagat. Tetapi, apa yang kita dapat lihat pada hari ini manusia hanya maju pada luaran sahaja, tapi dalaman manusia masih kurang bertamadun dan beretika.

Seseorang yang dilahirkan ke muka bumi ini memerlukan pendidikan bagi menjadikannya manusia. Antara pendidikan yang sangat penting bagi mendidik jiwa manusia menjadi manusia yang baik dan beretika adalah pendidikan kemanusiaan. Persoalannya bagaimanakah untuk menjadikan manusia itu manusia? Persoalan ini timbul kerana ada dalam kalangan manusia pada hari ini walaupun dia telah dilahirkan sebagai manusia, kelakuan dan etika mereka tidak mencerminkan bahawa mereka itu adalah manusia. Ini terjadi kerana perbuatan mereka ada kalanya dilihat tidak berperikemanusiaan, membuat sesuatu di luar batas kemanusiaan, tidak mengenal apa yang baik dan apa yang buruk, apa yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan, melanggar hak asasi manusia serta hak-hak alam sejagat yang saling memerlukan. Tugas manusia adalah menjaga keharmonian alam, bukan memusnahkan alam akibat tangan-tangan manusia itu sendiri.

Antara perkara serius yang melanda dunia pada hari ini adalah penyakit bawaan Virus Covid-19 yang telah meragut nyawa penduduk dunia termasuklah di Malaysia. Virus ini telah merebak ke hampir seluruh dunia. Seluruh penduduk dunia menerima tempiasnya sehingga mencatatkan angka kematian. Tidak keterlaluan jika manusia hari ini berada dalam ketakutan akibat serangan virus ini. Sebelum merebaknya atau wujudnya virus ini, kita telah melihat melalui media sosial tentang kehidupan dan gaya hidup sesetengah masyarakat di sesuatu tempat yang dilihat amat jijik dan tidak berperikemanusiaan. Mengapa dikatakan begini? Adakah Virus Covid-19 ini ada kaitan dengan perbuatan mereka? Walaupun masih berlaku perdebatan tentang pembawa virus ini, kita telah menyaksikan ada manusia  yang memakan kelawar sebagai hidangan sup dan bermacam haiwan eksotik seperti tikus, lipas, kucing, anjing, monyet, ular dan sebagainya. Perbuatan memakan binatang eksotik seperti ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru di Wuhan, China malahan ada manusia di beberapa buah negara lain juga mempunyai selera eksotik. Perbuatan mereka yang memakan binatang tersebut hidup-hidup, memasak binatang hidup-hidup untuk dijadikan santapan mereka adalah sangat tidak berperikemanusiaan. Malahan tidak baik untuk kesihatan. Persoalan yang timbul adalah, apakah manusia tersebut sudah tiada bekalan makanan untuk dimakan? Mengapakah haiwan-haiwan ini dijadikan makanan sedangkan negara mereka mempunyai bekalan makanan yang cukup untuk rakyatnya? Apakah selera manusia kini sudah berubah kepada sesuatu yang eksotik? Apakah manusia sudah tidak boleh mengenal mana makanan yang baik untuk kesihatan dan apa yang tidak? Adakah manusia hari ini sudah tiada nilai-nilai kemanusiaan? Mengapa ini berlaku? Tidak keterlaluan jika dikatakan akibat perbuatan manusia yang tidak beretika dan berperikemanusiaan inilah yang menyebabkan bumi yang kita diami ini mengalami masalah, turunnya bala, bencana alam dan banyak lagi perkara yang tidak baik berlaku di seluruh dunia.

Selain dari perbuatan manusia yang memakan makanan yang tidak sepatutnya, kita juga dikejutkan dengan perbuatan manusia yang menyiksa binatang, membunuh binatang demi kepuasan dan kegilaan mereka. Ia berlaku di mana-mana sahaja sekarang ini. Rakyat Malaysia juga dikejutkan dengan perbuatan segelintir individu yang membunuh kucing dalam mesin basuh, menembak monyet yang diletakkan di dalam sangkar, meracuni binatang, memotong anggota badan binatang dan sebagainya. Undang-undang negara tidak mampu membendung masalah seperti ini, kerana ia masih dianggap masalah terpencil berbanding dengan masalah besar yang dihadapi oleh negara. Dengan kata lain, kita tidak boleh bersandar kepada undang-undang dan hukuman semata-mata, pendidikan kemanusiaan perlu memainkan peranan untuk mendidik masyarakat. Walaupun perbuatan ini dianggap kecil, namun jika dibiarkan ia boleh menjadi barah dan masyarakat tidak lagi mempunyai sifat kemanusiaan.

Perbuatan manusia yang tidak berperikemanusiaan juga dapat dilihat dengan wujudnya kes-kes pembunuhan kejam yang pernah berlaku dalam negara baru-baru ini. Kita telah melihat pembunuhan kejam terhadap manusia yang tidak berdosa yang bersolat di masjid di luar negara, kanak-kanak yang berjalan untuk ke sekolah, orang tua yang berjalan ke masjid, pengeboman kediaman serta pembunuhan dan penyiksaan terhadap penganut agama Islam di Uyghur. Di Malaysia pula, wujud pembunuhan dengan membakar mayat, membunuh untuk mendapatkan organ manusia, memotong mayat dan simen mayat untuk menyembunyikan perbuatan mereka. Inilah tanda-tanda kehilangan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia pada hari ini.

Apa yang ingin dirungkaikan di sini adalah, di manakah nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia hari ini? Akibat hilangnya nilai kemanusiaan, ekologi turut berubah kerana manusia telah merubah habitat atau kitaran kehidupan asal yang sepatutnya dipelihara kewujudannya. Ini disebabkan kepupusan sesetengah binatang kerana ia telah menjadi sasaran santapan manusia. Manusia yang rakus tidak ada rasa belas kasihan dan binatang mati tanpa pewaris. Sebagai balasan kepada manusia yang memakan apa sahaja, tanpa mengambil kira khasiat dan kebaikan, kesannya nyawa melayang. Untuk mendidik generasi baru akan pentingnya ilmu kemanusiaan untuk menjadi manusia, maka pendidikan kemanusiaan tidak harus dikesampingkan dalam sistem pendidikan yang kini sangat menekankan kepada sains, teknologi dan industri. Kita memerlukan tenaga pakar yang seimbang antara fizikal dan kemanusiaan. Generasi baru perlu dididik dengan nilai-nilai kemanusiaan agar seluruh penduduk bumi hidup dalam kesejahteraan. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah ilmu fizikal itu perlu sama pemberatnya dengan ilmu kemanusiaan barulah manusia yang dilahirkan itu lebih seimbang. Justeru itu, dalam konteks negara Malaysia, pendidikan seperti pendidikan moral, agama, sejarah, etika dan peradaban perlu seiring dengan ilmu yang lain iaitu sama pemberatnya 50-50. 

Mendidik Manusia Menjadi Manusia

Artikel ini disediakan oleh Dr Hasnah Binti Hussiin, Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) Universiti Malaysia Pahang (UMP) Emel : hasnah@ump.edu.my

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri