Skip to main content

Mendidik masyarakat fahami politik

Tidak lama lagi Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Sememangnya di sana sini anda akan melihat poster dan ceramah politik yang berbagai warna dan ragam. Media sosial menjadi medan pertempuran ideologi dan manifesto parti-parti bertanding. Mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang memahami itulah politik. Politik yang mereka nampak adalah pilihan raya, calon, kempen dan yang menang tubuhkan kerajaan. 

Politik: Untuk Siapa dan Untuk apa?

Persoalan ini perlu diajukan kepada masyarakat di luar sana bagi memastikan mereka celik politik dan tahu apa peranan politik itu kepada mereka. Politik lahir bukan untuk individu atau orang perseorangan apatah lagi Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi sudah pasti, dari rakyat dan kembali untuk rakyat juga. Pemerintah dilantik oleh rakyat, bukan beliau yang melantik diri sendiri tetapi atas kapasiti beliau sebagai pemimpin untuk semua rakyat.

Politik kita ibarat ‘garam dengan masinnya’, ‘gula dengan manisnya’ dan ‘bagai aur dengan tebing’. Perumpamaan ringkas ini sangat kena dengan negara Malaysia yang mempunyai identiti yang unik dan tersendiri. Ini bermakna, apa sahaja yang berlaku, ia mencerminkan negara itu sendiri. Dalam hal ini, politik itulah wajah kita. Politik yang mencorakkan siapa kita semalam, hari ini dan hari esok. Politik mencorakkan pembangunan dan sosioekonomi negara. Jangan kata politik tiada kaitan dengan diri kita, politik hanya untuk orang politik, kita buat kerja kita. Ini salah. 

Yang betulnya adalah siapa pun kita, pentadbir, pekerja, pelajar, pengutip sampah, penggubal dasar dan sebagainya, semua adalah dibentuk oleh politik negara kita. Contoh yang mudah adalah hari ini kamu pergi ke pasar untuk membeli barang dapur. Berapa yang kamu habiskan untuk membeli barangan dapur tersebut? Siapa yang tentukan harga barangan, kenapa sebelum ini kamu beli dengan harga yang murah, tiba-tiba hari ini harga sudah naik? Begitu juga dengan pelajar, apa yang kamu dapat sebagai pelajar di Malaysia selain mendapat ilmu? Semestinya pelajar boleh memohon biasiswa atau tajaan, diskaun pembelian buku dan alat tulis, pendidikan percuma dan sebagainya. Siapa yang menentukan polisi seumpama ini? Sudah tentu pemerintah, pemerintah yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya dan banyak contoh lagi. Itulah yang dikatakan politik kita adalah untuk kita, kita yang pilih pemerintah semasa pilihan raya, maka kita akan mendapat manfaat dari pilihan tersebut sama ada ia akan menguntungkan kita atau sebaliknya. 

Semua harus bermula dari kestabilan politik. Tanpa kestabilan politik, mustahil akan berlaku pertumbuhan ekonomi, keamanan dan keselamatan negara. Justeru, tugas paling utama sesebuah parti yang dilantik menjadi pemimpin adalah memastikan kestabilan politik sentiasa terjamin. Kekuatan Malaysia sejak merdeka adalah kestabilan politiknya. Malaysia telah berjaya merangka rancangan pembangunan negara dalam masa yang singkat walaupun secara perlahan-lahan. Persefahaman dan tolak ansur antara kaum telah menjadikan negara ini mampu mengorak langkah memajukan negara. Kestabilan politik ini telah menyebabkan negara mampu mencapai kejayaan yang membanggakan dalam pelbagai bidang. Kestabilan politik di Malaysia ketika ini telah membolehkan kerajaan menumpukan kepada usaha memulihkan kembali ekonomi negara terutama dalam menarik pelaburan baharu. Perkara paling pokok atau penting dalam politik kita adalah untuk pembangunan ekonomi rakyat dan negara. 

Kestabilan politik dengan kemenangan 2/3 majoriti akan meyakinkan pelabur luar negara dan dalam negeri. Salah satu prasyarat untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi adalah melalui pelaburan dalam dan luar negeri. Pelaburan dilihat menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi di mana ia akan menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan serta meningkatkan eksport. Iklim pelaburan yang kukuh serta kestabilan politik akan memastikan Malaysia dapat terus menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.

Parti yang memerintah seharusnya memberikan teladan yang baik, walaupun mereka bukan pilihan rakyat di beberapa buah negeri atau kawasan, tanggungjawab sebagai pemerintah adalah untuk semua rakyat tanpa mengenal pemikiran politik dan pilihan parti. Dengan kata lain, parti pemerintah dan pembangkang perlu bekerjasama bagi memastikan pembangunan negara dapat diagihkan sama rata. Jika ini dapat dilakukan ia memberikan imej yang baik kepada negara luar. Rakyat juga akan lebih percaya kepada parti pemerintah.

Kerajaan yang bertanggungjawab juga perlu memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa dilindungi. Ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan negara datangnya dari dalam dan juga luar negara. Walaupun Malaysia telah diakui kedaulatan dan diiktiraf kemerdekaannya, namun ia bukan tiket untuk Malaysia tidak terancam. Sebagaimana yang telah diketahui umum, Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang terdiri dari pelbagai kaum, agama, budaya dan kepercayaan. Sejak merdeka sehingga kini, tidak dinafikan isu etnik sentiasa ada walaupun ia tidak besar. Justeru itu, isu perpaduan dan integrasi etnik perlu sentiasa diberi perhatian oleh pemerintah. Ini memandangkan keharmonian dan kestabilan politik tanah air memainkan peranan penting bagi membentuk sebuah negara yang aman dan maju. Sedar atau tidak perpaduan kaum juga merupakan satu ancaman kepada Malaysia jika ia tidak diuruskan dengan baik.

Walaupun negara Malaysia berbeza kaum, agama dan kepercayaan, namun Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang aman damai tanpa konflik dan pertumpahan darah. Perpecahan masyarakat akan ternampak hanya apabila ia membabitkan parti-parti politik. Apabila tiba musim pilihan raya, bibit-bibit perpecahan akan terserlah apabila berlakunya tuduh-menuduh, fitnah memfitnah bagi meraih undi rakyat. Politik yang sepatutnya membela nasib rakyat, rakyat yang memilih akhirnya berputih mata kerana mereka tidak mendapat apa yang mereka perlu dapatkan. Menjawab persoalan kepada politik kita untuk siapa, untuk apa? Politik kita adalah untuk rakyat kita dan politik yang bagus itu adalah untuk pembangunan negara, agama dan bangsa.

Dr. Hasnah Hussiin
  Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
e-mel:  hasnah@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News