Meneliti dan Menangani Kerancuan Bahasa Melayu
Dalam satu memo rasmi, ayat ‘Perkara di atas adalah dirujuk.’ masih digunakan seolah-olah tepat. Lebih membimbangkan, kesalahan ini bukan datang daripada orang awam, tetapi daripada organisasi yang sepatutnya menjadi model penggunaan bahasa yang betul. Di ruang awam pula, papan tanda seperti ‘jangan parking’ terus dipamerkan tanpa rasa janggal. Jika kesalahan asas seperti ini pun tidak dibetulkan, apakah makna kita sebagai rakyat Malaysia mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa rasmi negara?
Fenomena kerancuan bahasa Melayu merujuk kepada kekacauan, kekeliruan, ketidaktepatan dan ketidakseragaman dalam penggunaan tatabahasa, ejaan, istilah, serta laras bahasa. Masalah ini bukan sekadar kecuaian teknikal tetapi mencerminkan sikap sambil lewa terhadap disiplin berbahasa. Dalam konteks akademik dan pentadbiran, kerancuan bahasa bukan sahaja mengaburkan makna, malah menjejaskan kredibiliti penulis dan institusi.
Rencana ini meneliti punca utama kerancuan bahasa Melayu, menghuraikan bentuk kesalahan yang lazim berlaku, serta mencadangkan langkah praktikal untuk memperkukuh ketepatan bahasa dalam penulisan.
Punca Utama Kerancuan Bahasa
Kerancuan bahasa Melayu berpunca daripada gabungan kelemahan individu dan kelonggaran sistem.
1. Penguasaan tatabahasa yang longgar.
Ramai penulis bergantung kepada intuisi, bukan peraturan. Akibatnya, bentuk seperti memperolehi, para-para pelajar, dan ini kerana terus digunakan walaupun jelas menyalahi sistem bahasa. Ini bukan isu tidak tahu semata-mata, tetapi kegagalan menyemak dan memperbaiki.
2. Pencampuran laras bahasa secara tidak terkawal.
Bahasa media sosial yang bersifat ringkas dan santai telah meresap ke dalam penulisan rasmi. Frasa seperti ‘please refer lampiran’ atau ‘kindly update segera’ bukan sahaja janggal, malah menunjukkan kekeliruan antara dua sistem bahasa yang berbeza.
3. Pengaruh langsung bahasa asing tanpa penyesuaian.
Dalam banyak dokumen rasmi, istilah seperti online, submit, dan approval digunakan tanpa usaha penterjemahan. Lebih parah, struktur ayat bahasa Inggeris diterjemah bulat-bulat ke dalam bahasa Melayu sehingga menghasilkan ayat yang canggung dan tidak alami.
Bentuk Kerancuan yang Ketara
Kerancuan bahasa tidak berlaku secara rawak. Ia boleh dikenal pasti melalui beberapa pola kesalahan yang berulang.
Kerancuan Tatabahasa
Kesalahan tatabahasa sering dianggap remeh tetapi sebenarnya memberi kesan besar terhadap ketepatan makna.
Contoh paling lazim ialah penggunaan ‘di kalangan’ yang sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kesalahan ini bukan sekadar salah ejaan tetapi menunjukkan kegagalan memahami fungsi kata sendi nama.
Begitu juga dengan kekeliruan antara ‘ialah’ dan ‘adalah’. Ayat seperti ‘Perkara di atas adalah dirujuk.’ kerap digunakan walaupun tidak menepati tatabahasa. Kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama, manakala ‘adalah’ hadir di hadapan frasa adjektif atau frasa sendi nama, dan kedua-duanya tidak digunakan sebelum kata kerja. Oleh itu, ayat yang lebih tepat ialah ‘Perkara di atas dirujuk.’ Kesalahan yang kelihatan kecil ini, apabila berulang dalam dokumen rasmi, mencerminkan kelemahan asas dalam penguasaan bahasa.
Kerancuan Istilah dan Makna
Dalam dunia pentadbiran dan akademik, kerancuan istilah berlaku apabila penulis memilih jalan mudah iaitu menggunakan istilah asing tanpa penyesuaian.
Sebagai contoh, penggunaan ‘online’ masih meluas walaupun padanan ‘dalam talian’ telah lama diterima. Dalam laporan pula, istilah seperti ‘validation’ digunakan tanpa membezakan antara ‘pengesahan’ dan ‘pengesahihan’. Ini bukan sekadar isu bahasa, tetapi isu ketepatan konsep.
Lebih membimbangkan, terdapat kecenderungan untuk menganggap istilah Inggeris lebih ‘profesional’, sedangkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat sebenarnya lebih jelas dan berwibawa.
Kerancuan Ejaan
Kesalahan ejaan ialah bentuk kerancuan paling asas tetapi paling kerap diabaikan.
Perkataan seperti samada, maklumbalas, dan tengahari masih muncul dalam surat rasmi, laporan, malah bahan akademik. Ini menunjukkan bahawa proses pembacaan pruf tidak dilakukan dengan serius.
Lebih ironik, kesalahan ini berlaku dalam dokumen yang melalui pelbagai peringkat semakan. Ini menimbulkan persoalan: adakah proses semakan benar-benar dilaksanakan, atau sekadar formaliti?
Memperbaiki Keadaan: Disiplin Pembacaan Pruf
Masalah ini tidak akan selesai dengan kesedaran semata-mata. Ia memerlukan disiplin.Prinsip 3C dan IP perlu diamalkan secara konsisten, bukan sekadar difahami secara teori. Tanpa ketepatan (correctness), teks kehilangan kredibiliti. Tanpa kejelasan (clarity), mesej gagal difahami. Tanpa keringkasan (conciseness), pembaca hilang fokus.
Dalam masa yang sama, integriti penulisan (IP) menuntut penulis memilih kata yang tepat, menggunakan tanda baca dengan betul dan mematuhi laras bahasa yang sesuai dengan konteks.
Amalan pembacaan pruf juga perlu lebih sistematik. Membaca secara perlahan, membaca dengan kuat dan menyemak ejaan satu per satu bukan pilihan tambahan tetapi keperluan. Tanpa proses ini, kesalahan asas akan terus terlepas dan berulang.
Kesimpulannya, kerancuan bahasa Melayu bukan sekadar isu linguistik tetapi isu sikap. Selagi penulis menganggap kesalahan bahasa sebagai perkara kecil, selagi itu masalah ini akan berterusan.
Bahasa yang dibiarkan rancu ibarat bangunan tanpa asas. Dari luar kelihatan kukuh tetapi sebenarnya rapuh menunggu runtuh. Dalam konteks ilmu dan pentadbiran, keruntuhan ini bermula dengan satu kesalahan kecil yang tidak dibetulkan.
Oleh itu, usaha memugar integriti bahasa Melayu tidak boleh bersifat kosmetik. Ia menuntut disiplin, kesedaran dan keberanian untuk membetulkan kesalahan, walaupun sekecil penggunaan satu kata sendi.
Kalau bahasa pun kita tidak jaga dengan cermat, sukar untuk kita mendakwa bahawa kita sedang membina budaya ilmu yang benar-benar kukuh.
Nota
Rencana ini diolah berdasarkan kandungan Bengkel Pembacaan Pruf yang diadakan pada 10 Oktober 2025 anjuran Penerbit UMPSA.

Oleh: Ahmad Ibrahim
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 44 views
Reports by: