Mentaliti terhadap kebersihan tandas awam perlu diubah segera
Malaysia sedang bergerak pantas ke arah menjadi sebuah negara maju, namun masih ada perkara asas yang kerap diabaikan oleh sebahagian masyarakat. Antaranya ialah kebersihan tandas awam. Keadaan tandas awam yang kotor, berbau, dan tidak terurus masih menjadi kelaziman di beberapa buah tempat seperti stesen bas, masjid, surau, stadium, dewan orang ramai dan pusat komuniti. Hal ini mencerminkan satu bentuk kegagalan dalam aspek budaya sivik dan mentaliti masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan tempat awam.
Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menitikberatkan kebersihan sebagai sebahagian daripada iman, amat mendukacitakan apabila terdapat tandas awam di kawasan masjid dan surau yang begitu menjijikkan iaitu lantai basah, najis tidak disiram, kertas tisu bertaburan dan bau hancing yang meloyakan. Ia bukan sahaja tidak mencerminkan nilai-nilai Islam yang murni, malah membuka ruang kepada pelbagai jangkitan penyakit seperti cirit-birit, jangkitan saluran kencing dan penyebaran bakteria merbahaya seperti Escherichia coli (E. coli), Salmonella, dan lain-lain.
Masalah utama yang dikenal pasti ialah mentaliti masyarakat yang menganggap bahawa tandas adalah tempat kotor dan tidak perlu dijaga kebersihannya. Khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar, masih terdapat anggapan bahawa tandas hanya digunakan untuk membuang najis dan tidak perlu terlalu bersih kerana fungsinya sememangnya ‘kotor’. Ini adalah satu fahaman yang silap dan bertentangan dengan prinsip kebersihan dalam Islam, di mana Rasulullah SAW sendiri mengajarkan bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Islam mendidik umatnya untuk menjaga kebersihan diri, pakaian, tempat ibadah serta persekitaran termasuklah tandas.
Masalah ini tidak hanya berkaitan sikap pengguna semata-mata, tetapi juga sistem penyelenggaraan yang lemah. Banyak fasiliti awam tidak mempunyai sistem pembersihan berkala, kekurangan pekerja kebersihan, serta kekurangan bahan asas seperti sabun, tisu dan air bersih. Ketiadaan sistem pemantauan dan penguatkuasaan juga menjadikan keadaan lebih teruk.
Maka, sudah tiba masanya untuk semua pihak iaitu pengguna, pengurus fasiliti, pihak berkuasa tempatan dan badan agama untuk memainkan peranan yang lebih aktif serta bertanggungjawab.
Berikut adalah beberapa langkah yang wajar dipertimbangkan:
1. Pendidikan Sivik dan Kesedaran Awam
Kempen kesedaran harus dilakukan secara menyeluruh, bukan sahaja di sekolah tetapi juga melalui khutbah Jumaat, ceramah komuniti, serta platform media sosial. Mentaliti “asal boleh” perlu diganti dengan rasa tanggungjawab terhadap kemudahan awam.
2. Etika Penggunaan Tandas Awam
Masyarakat perlu dididik tentang etika asas penggunaan tandas seperti membilas selepas digunakan, tidak membuang tisu atau sampah ke dalam mangkuk tandas serta tidak membasahkan lantai dengan berlebihan. Perlu juga diwujudkan poster-poster pendidikan yang ringkas dan mudah difahami di setiap fasiliti awam.
3. Peningkatan Piawaian Penyelenggaraan
Pihak berkuasa tempatan dan pengurus fasiliti perlu meletakkan kebersihan tandas awam sebagai keutamaan dengan jadual pembersihan berkala, penyelenggaraan peralatan, serta pemantauan berterusan.
4. Penguatkuasaan dan Denda
Undang-undang kecil yang melibatkan vandalisme dan kekotoran di tandas awam harus dikuatkuasakan secara serius. Pengguna yang merosakkan atau mengotorkan tandas secara sengaja perlu dikenakan tindakan.
Kebersihan tandas awam bukan sekadar soal estetika atau keselesaan, tetapi melibatkan kesihatan awam, imej negara, dan yang lebih penting mencerminkan akhlak serta nilai masyarakat. Negara maju bukan hanya diukur dari segi bangunan pencakar langit dan teknologi canggih, tetapi juga sejauh mana masyarakatnya berdisiplin serta menghormati ruang awam.
Justeru, jika Malaysia ingin benar-benar melangkah ke arah kemajuan yang holistik, aspek kebersihan khususnya kebersihan tandas awam perlu diletakkan sebagai satu indikator penting dalam pembentukan budaya bangsa yang bertamadun.

Penulis adalah Profesor di Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel : hasanahmad@umpsa.edu.my
- 160 views