Skip to main content

Merdeka Bukan Sekadar Sambutan, Tapi Penghayatan Sejarah

Takrifan yang mudah tentang kemerdekaan adalah kebebasan daripada penjajahan, kurungan atau penaungan. Secara amnya, biasanya kemerdekaan difahami sebagai kebebasan sesebuah negara daripada penjajahan asing. Ia juga merujuk kepada negara yang berdaulat, yang mempunyai kuasa dan bebas menentukan pemerintahan serta hala tuju negara sendiri. Secara tuntas, kemerdekaan adalah kebebasan dari sebarang bentuk penindasan atau kawalan pihak luar ke atas sesuatu negara dari semua aspek seperti pemerintahan, ekonomi, politik dan juga sosial. 

Sudah menjadi kebiasaan setiap 31 Ogos, negara kita Malaysia akan mengadakan sambutan kemerdekaan sama ada pada peringkat nasional atau kebangsaan. Acara sambutan kemerdekaan di negara ini terdiri dari malam sambutan kemerdekaan, perarakan, persembahan patriotik seperti bacaan sajak dan puisi kemerdekaan, penulisan esei kemerdekaan, tayangan filem patriotic, hiasan kemerdekaan, ceramah kemerdekaan dan sebagainya. Tajuk ‘Merdeka Bukan Sekadar Sambutan, Tapi Penghayatan Sejarah’ membawa maksud kemerdekaan tidak seharusnya terbatas kepada perayaan atau upacara semata-mata, sebaliknya perlu difahami dan dihayati sejarah perjuangan nenek moyang terdahulu yang telah membentuk negara bangsa yang merdeka pada hari ini.  Apa yang ingin ditekankan di sini adalah pentingnya memahami dan menghayati nilai sejarah di sebalik kemerdekaan, dan bukan sekadar merayakannya secara simbolik.

Sejarah Malaysia memperlihatkan negara ini (Tanah Melayu) yang pada asalnya kerajaan Melayu yang kuat dan digeruni oleh kuasa luar khususnya pada awal abad ke-15. Tidakkah kita terfikir apakah rahsia di sebalik penjajahan kuasa asing (Portugis, Belanda, British dan Jepun) ke atas Tanah Melayu? Dalam hal ini kita perlu melihat bagaimanakah keadaan atau apa yang sedang berlaku di Tanah Melayu sebelum kedatangan kuasa penjajah tersebut. Dari peringkat awal lagi, sejak jatuhnya kerajaan Melaka ke tangan Portugis disebabkan rakyatnya berpecah belah. Keadaan ini berkesinambungan sehinggalah semasa British mula nak mengintai menjejakkan kaki ke bumi Melayu pada awal abad ke-18. Pada abad ke-18 sehinggalah ke awal abad ke 19, masyarakat Tanah Melayu, masih wujud konflik di antara pembesar dengan konflik dalam kalangan bukan Melayu. Keadaan ini sebenarnya lebih menyenangkan British untuk campur tangan dalam hal ehwal Tanah Melayu. 

Menghayati kemerdekaan bererti mengajak kita mengingati dan menghargai pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan. Nama-nama seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Kenali dan Datuk Bahaman adalah nama-nama pejuang Melayu yang terkenal dalam sejarah penentangan terhadap pemerintahan British di Tanah Melayu. Selain daripada mereka, masih ramai lagi pejuang yang tidak didendangkan telah bermati-matian mempertahankan tanah air. Malah ada yang terkorban dan dipenjarakan demi membebaskan tanah air yang tercinta. Perjuangan mereka boleh ditonton melalui filem-filem, dokumentari serta buku-buku tulisan penulis tempatan yang menceritakan tentang sejarah perjuangan mereka. Penghayatan terhadap perjuangan ini boleh menyemai semangat patriotisme dalam diri generasi muda. Fahamilah, siapa pun mereka pada waktu itu, perjuangan dilakukan atas dasar mempertahankan negara bukannya untuk kepentingan diri.

Pendudukan Jepun ke atas Tanah Melayu 1942-1945 tidak harus menjadi teks yang hanya memenuhi silibus pendidikan sejarah. Ia perlu dihayati oleh generasi baharu akan tragisnya penjajahan Jepun di negara ini. Walaupun penjajahan Jepun berlangsung tidak lama seperti British, namun ia memberi kesan yang mendalam kepada penduduk Tanah Melayu. Pendudukan Jepun mengajar penduduk Tanah Melayu merasai kebuluran dan penyeksaan. Percayalah ini benar-benar menguji kesabaran dan kesetiaan penduduk. Mereka rela disakiti dan diseksa demi tanah air tercinta. 

Gambar menunjukkan pasukan tentera Jepun berbasikal selepas kemenangan menakluki Tanah Melayu
Gambar menunjukkan pasukan tentera Jepun berbasikal selepas  kemenangan menakluki Tanah Melayu

Semasa pendudukan Komunis pula 1948-1960, mereka telah menggunakan ramai rakyat tempatan untuk bekerjasama dengan mereka. Memang tidak dapat dinafikan ada juga segelintir antara rakyat negara ini pada masa itu yang terpengaruh dengan dakyah mereka. Tetapi disebabkan sebahagian besar masyarakat Tanah Melayu mempunyai ketaatan yang tinggi kepada negaranya, menyebabkan Komunis tidak berjaya mempengaruhi rakyat negara ini. Selain itu, kita juga dapat melihat peranan Ibrahim Yaakub dan rakan-rakannya yang mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan merekalah yang berperanan menyedarkan masyarakat Melayu pada waktu itu untuk mengusir penjajah British. Walaupun mereka pernah ditangkap oleh pihak British, perjuangan mempertahankan tanah air tidak pernah padam dalam jiwa mereka. Buku tulisan Ibrahim Yaakub yang terkenal adalah Melihat Tanah Ayer. 

Perbuatan khianat pengganas komunis mengeluarkan kereta api dari landasan semasa darurat
Perbuatan khianat pengganas komunis mengeluarkan kereta api dari landasan semasa darurat

Sejarah kemerdekaan mencerminkan identiti dan perjalanan bangsa. Tanpa penghayatan sejarah, rakyat mudah alpa terhadap asal-usul dan nilai yang membina negara. Tidak ada jalan yang mudah untuk negara mencapai kemerdekaan dan pembebasan daripada cengkaman kuasa asing. Lihat saja pada peranan Tunku Abdul Rahman yang sanggup turun padang dan berunding dengan British untuk membebaskan negara ini dari belenggu penjajahan. Pertemuan ini yang berlaku pada tahun 1956 telah berjaya mendapatkan persetujuan British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu melalui Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu 1956. 

Hasilnya Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957, Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk merangka Perlembagaan Tanah Melayu, berlangsungnya pilihan raya umum bagi memilih kerajaan sendiri dan Raja-raja Melayu dan rakyat Tanah Melayu bersetuju terhadap konsep kerajaan sendiri yang demokratik.

Merdeka Bukan Sekadar Sambutan, Tapi Penghayatan Sejarah

Sambutan kemerdekaan juga mengajak rakyat untuk menghayati perjuangan Tunku Abdul Rahman yang menubuhkan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Peristiwa penubuhan Malaysia ini sebenarnya memperlihatkan sikap pemimpin Tanah Melayu waktu itu yang ingin menubuhkan satu pertubuhan yang lebih besar dan kuat di Asia. Walau apa pun, yang lebih penting ialah tindakan menubuhkan Malaysia sebenarnya adalah satu usaha dalam merealisasikan konsep kerjasama dalam skop yang lebih besar dan tidak hanya untuk kepentingan sesuatu kumpulan sahaja. Keadaan ini menunjukkan sikap kerajaan Tanah Melayu waktu itu di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman mengetepikan sikap untuk menjaga kepentingan diri sendiri. Kini bukan setakat dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia juga telah dikenali di seluruh dunia sebagai negara masyarakat majmuk yang terkenal dengan kepelbagaian agama, budaya, pemikiran tetapi mampu mengekalkan keamanan dan perpaduan kaum. 

Merdeka bukan sekadar perayaan, tetapi penghayatan terhadap sejarah dan perjuangan bangsa. Setiap rakyat wajar menyelami makna sebenar di sebalik kemerdekaan agar kita terus menghargai dan mempertahankannya. Harapan agar semangat merdeka terus mekar dalam jiwa generasi kini dan akan datang. Kemerdekaan tidak wajar dijadikan sekadar perayaan setahun sekali, sebaliknya perlu dijadikan semangat yang terus hidup sepanjang masa. Menghayati sejarah adalah kunci kepada menghargai kemerdekaan. Marilah kita semua menjadi rakyat yang bukan hanya meraikan, tetapi benar-benar memahami erti Merdeka dalam erti kata sebenar.

Merdeka Bukan Sekadar Sambutan, Tapi Penghayatan Sejarah

 

DR. HASNAH HUSSIIN

Oleh:  DR. HASNAH HUSSIIN

E-mel:  hasnah@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim