Merungkai Makna Di Sebalik Ungkapan Demi Agama, Bangsa dan Negara
Penulisan ini bertujuan untuk merungkai ungkapan yang kerap disebut oleh rakyat Malaysia iaitu demi agama, bangsa dan negara. Setiap lapisan masyarakat yang mengaku beliau warganegara Malaysia sudah terbiasa mendengar ungkapan ini tidak kira siapapun mereka sama ada pemimpin atau rakyat. Secara amnya, ungkapan ini digunakan oleh rakyat Malaysia untuk menggambarkan apa yang mereka lakukan semuanya adalah untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
Persoalannya, adakah kita memahami di sebalik apa yang dimaksudkan dengan demi agama, bangsa dan negara? Adakah kita menggunakan ungkapan ini hanya sebagai penyedap dalam ucapan-ucapan yang kita sampaikan kepada orang ramai? Adakah kita melaksanakannya atau hanya sekadar sebutan di mulut dan hilang begitu sahaja? Pernyataan ini sangat bertepatan sekali kerana tidak lama lagi kita akan menyambut kemerdekaan negara kita Malaysia.
Penulis cuba merungkai persoalan mengenai demi agama. Merujuk kepada Rukun Negara, perkara yang pertama sekali yang disebutkan adalah Kepercayaan Kepada Tuhan. Ini menunjukkan bahawa negara Malaysia sangat menekankan rakyatnya agar beragama kerana agama menjadi tonggak utama Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan bertamadun. Ini sangat bertepatan dengan ciri sesebuah tamadun iaitu wujudnya agama yang menjadi asas atau panduan untuk manusia hidup di muka bumi ini. Dalam hal ini, sebagai seorang yang beragama mengapa dikaitkan dengan demi agama? Sebagai warganegara yang beragama Islam adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk mempertahankan dan menjaga agamanya agar tidak dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menjatuhkan agama Islam di Malaysia. Setiap orang Islam adalah berperanan menyumbangkan tenaga untuk pembangunan Islam. Ini bertepatan dengan Perlembagaan negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Manakala bagi orang bukan beragama Islam pula, di Malaysia mereka juga harus menjaga agama dan kepercayaan mereka, diberi kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa bersikap prejudis terhadap agama lain. Setiap penganut di Malaysia perlu mempunyai sikap bertolak ansur dan memahami ajaran agama lain untuk mengelakkan berlakunya konflik perkauman. Di dalam Perlembagaan Malaysia ada menyebut bahawa walaupun agama Islam adalah agama Persekutuan, namun agama-agama lain adalah bebas untuk diamalkan dengan aman dan tenteram selagi ia tidak menganggu sensitiviti agama lain.
Untuk merungkai maksud demi bangsa pula, setiap warganegara Malaysia harus sedar bahawa kita semua adalah bangsa Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Walaupun kita datang dari bangsa yang berbeza, perlu difahami bahawa kita semua adalah rakyat negara ini dan setiap orang perlulah menghormati antara satu sama lain. Sememangnya setiap bangsa pastinya bangga dengan bangsa masing-masing iaitu orang Melayu bangga dengan bangsa Melayu, orang Cina bangga dengan bangsa Cina dan orang India bangga dengan bangsa India. Di Malaysia kita menyebut kaum berbanding bangsa. Dari satu aspek, setiap kaum perlu mempertahankan bangsa/kaum masing-masing agar budaya dan gaya hidup yang diwarisi oleh nenek moyang dahulu dapat dipertahakankan. Tetapi dalam konteks yang lebih besar, semua kaum di Malaysia adalah satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Justeru, semua kaum di Malaysia perlu memainkan peranan untuk mengekalkan identiti bangsa Malaysia, bersama-sama berganding bahu, sentiasa bekerjasama, bertolak ansur, mengamalkan toleransi dan hormat pada undang-undang negara. Setiap orang di Malaysia perlu mengikis perasaan iri hati terhadap bangsa lain. Semailah rasa sayang kita sebagai warga Malaysia. Percayalah, negara luar sangat kagum dengan kepelbagaian bangsa dan budaya yang ada di Malaysia, tetapi kita dapat hidup aman dan damai.
Ungkapan demi negara pula sangat besar maknanya. Ini memandangkan tanpa negara siapalah kita yang menumpang di bumi yang bertuah ini. Semua rakyat Malaysia, perlu menumpukan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara. Harus disedari bahawa setiap warga mempunyai tanggungjawab untuk negara, tidak kiralah apa pun pekerjaan mereka daripada pemerintah sehinggalah kepada rakyat. Semua mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dilaksanakan. Walaupun kerjaya kita berbeza, namun semuanya adalah pelengkap kepada pembangunan negara. Tidak kira sama ada seseorang itu ahli politik, pemimpin, doktor, peguam, guru, pengutip sampah, peniaga, posmen dan lain-lain lagi bertugas untuk negara. Walau di mana kita berada, nama negara sentiasa perlu dipelihara. Dewasa ini kita dapat lihat ada dalam kalangan rakyat negara ini yang menghina negara sendiri di negara luar atau menulis perkara yang tidak baik mengenai negara sendiri. Perbuatan ini adalah sangat tidak bermoral kerana sebagai warganegara kita seharusnya menjaga nama baik negara atau dengan lain perkataan kita jaga rumah kita. Hentikanlah perbuatan memijak dan menterbalikkan bendera, menghina pemimpin dan agama lain serta segala perbuatan yang boleh merosakkan negara kita sendiri kerana perbuatan tersebut akan terpalit kepada diri dan negara kita juga. Sedamgkam orang luar ketawa melihat kita kerana kita sendiri yang merosakkan negara kita. Cukuplah negara kita terjajah selama beratus tahun, membiarkan kepala pemimpin dan rakyat negara kita dipijak dan hari ini kita pula yang memijak negara sendiri? Kalau dahulu kita dapat lihat nenek moyang kita bergadai nyawa untuk mengusir penjajah, maka hari ini kita tidak perlu bergadai nyawa memikul senjata, tetapi duduklah, bekerjalah, bantulah dan sokonglah pemimpin kita memperkasakan agenda negara.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh : Dr. Hasnah Hussiin
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 2106 views