Skip to main content

Minggu Hitam dan Putih Mahasiswa UMPSA

Hitam dan putih adalah sebahagian daripada warna-warna kehidupan. Ada yang mengaitkan dengan tragedi, kesedihan dan sejarah duka lara, namun warna ini mempunyai makna tersendiri mengikut konteks yang dibawa.  Penguin yang kelihatan segak berkot, corak bergaris di badan kuda belang dan keperkasaan paus pembunuh saat ia sedang berburu memberi naratif bahawa warna hitam dan putih ini sofistikated, elegan dan misteri. 

Pada minggu kelapan dan kesembilan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kebiasaannya akan kelihatan pelajar-pelajar yang mengambil subjek Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) sakan merakam kenangan dengan mengambil gambar. Kelihatan segak, berketerampilan dan berkeyakinan, itulah imej pelajar UMPSA ketika sidang mock trial atau perbicaraan olok-olok dilaksanakan. 

Situasi yang sempat dirakam dalam minggu kelapan dan kesembilan bagi sidang mock trial
Situasi yang sempat dirakam dalam minggu kelapan dan kesembilan bagi sidang mock trial
Di bawah panas terik, pelajar merakam kenangan bersama pasukan masing-masing
Di bawah panas terik, pelajar merakam kenangan bersama pasukan masing-masing

Beberapa kajian terhadap pelajar kejuruteraan mendapati bahawa mereka mempunyai imej nerd, unstylish, dan technical asocial (minat teknologi tetapi kurang berinteraksi sosial). Faulkner (2007) pula mengatakan imej pelajar kejuruteraan yang ideal adalah imej dengan teknikal kompetensi, mastery of nature, dan pakar saintifik dan praktikal.  Namun begitu, di sebalik asosiasi terhadap stereotaip dan jangkaan ini, profesionalisme jurutera masa hadapan dibentuk daripada pelbagai faktor. Konsep profesionalisme bagi pelajar kejuruteraan bukan sekadar tertumpu kepada aspek teknikal semata-mata, malahan jurutera pada masa kini memerlukan set kemahiran holistik yang memberi penekanan kepada kemahiran kerja berkumpulan, kemahiran komunikasi serta tingkah laku beradab dan beretika. Peri pentingnya membentuk pelajar dalam kesemua aspek tersebut disahut baik oleh UMPSA dengan adanya kursus KIAR iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai penggerak utama. Selaku pelaksana di Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) UMPSA, pembangunan pentaksiran yang berimpak kepada pelajar dibentuk secara menyeluruh dengan menerapkan kesan jangka panjang yang memberi makna dan kefahaman mendalam berkenaan bahana jenayah rasuah. 

Pelajar menunjukkan kebolehan berfikir secara kritis dan kritikal iaitu mereka menganalisis fakta kes berkaitan kesalahan rasuah dibawah seksyen 17A Liabiliti Korporat. Penalaran integratif turut berlaku iaitu pelajar turut boleh mengaitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 16(a), 17(a), 17(b), 18, dan 23. Kesalahan rasuah dalam seksyen tersebut merujuk kepada perbuatan meminta dan menerima, menawar dan memberi, tuntutan palsu dan salah guna kuasa dalam kedudukan atau jawatan. Mock trial bukanlah pertunjukan pentas perseorangan kerana setiap ahli pasukan memainkan peranan yang amat penting dalam mencari keadilan atau mengheret penjenayah untuk dipertanggungjawabkan. Mereka perlu lantang, yakin dan berani mengutarakan fakta, memberi kesaksian dan memberi keterangan tanpa ragu. Di luar negara, pelajar kejuruteraan turut terlibat dengan mock trial sebagai ‘saksi pakar’ yang memberikan keterangan berkaitan faktor kegagalan struktur bangunan iaitu mereka perlu menyemak dan menilai isu teknikal yang kompleks, bersikap objektif dan tidak berat sebelah serta memberikan kesaksian berdasarkan fakta. 

Menerjah tatacara berpakaian pada sidang mock trial menyaksikan hitam dan putih sebagai pakaian para peguam pada pihak timbalan pendakwa raya dan peguam bela, warna oren kepada orang kena tuduh (OKT) dan warna ungu untuk tahanan reman. Manakala, saksi-saksi terlibat perlu menghormati mahkamah dengan memakai pakaian formal atau separa formal, kemas dan tidak mencolok mata.  Ia bagaikan suatu perbahasan mendebarkan kerana nasib seseorang berada di hujung tanduk. Pada pihak pendakwaan, mereka cuba membuktikan OKT dan sekutunya tidak mematuhi prinsip TRUST manakala pada pihak pembelaan, cuba membuktikan sebaliknya. Di sebalik prinsip tatacara berpakaian ini, ia mempunyai hubungan signifikan dengan kompetensi dan kredibiliti.  Kajian saintifik mengatakan mereka yang memakai pakaian formal di tempat kerja, kedudukannya dipandang lebih tinggi dalam kredibiliti, dipandang lebih serius dan mempunyai potensi yang tinggi untuk dianggap sebagai upper management material atau orang yang berkebolehan untuk memimpin oleh pengurusan atasan. Pemakaian formal juga dikatakan menimbulkan rasa hormat kerana ia menunjukkan ciri-ciri berkaitan etika seperti profesionalisme dan pematuhan norma. Mengikut kajian, jurutera terpaksa berdepan dengan pelbagai jangkaan dalam tatacara berpakaian. Ketika sesi sumbang saran, mereka dikatakan lebih sesuai memakai pakaian kasual, apabila berada di tapak projek atau di kilang mereka mempunyai pelbagai pilihan utilitarian (lebih praktikal dan efisien) dan berpakaian lebih formal jika dalam mesyuarat perniagaan. Walaupun tidak ada standard bagaimana jurutera harus berpakaian, pemilihan pakaian yang lebih teliti mengikut situasi dapat meningkatkan kebarangkalian keberjayaan sesuatu usaha. 

 

Barisan peguam, OKT dan saksiPasukan pendakwaan yang berjaya mengheret OKT ke muka pengadilan

Pengalaman pelajar UMPSA dalam mock trial ini membantu mereka dalam segenap aspek terutamanya mencerna dan memahami proses litigasi dalam ruang lingkung kes rasuah, kepentingan perhatian yang teliti terhadap butiran yang dipersembahkan kepada mahkamah dan mengatur strategi yang bijak dalam proses soal balas kedua-dua pihak. Pelajar UMPSA bukan hanya mahir dalam aspek teknikal, malahan mereka turut diberi pendedahan mengenai tanggungjawab profesional yang akan membantu mereka untuk mengelakkan diri dari rasuah apabila bekerja kelak. 

*Pusat Sains Kemanusiaan mengalu-alukan fakulti kejuruteraan atau fakulti lain berkongsi berkenaan kegagalan projek yang berkaitan dengan rasuah untuk membina fakta kes yang lebih kredibel. 

Dr. Hadijah Ahmad
Dr. Hadijah Ahmad

Penulis adalah Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) dan Koordinator Kursus Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

E-mel    : hadijah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News