Skip to main content
Muhasabah Kemerdekaan

Muhasabah Kemerdekaan

Setiap saban tahun tangggal 31 Ogos negara ini merayakan ulang tahun kemerdekaan negara. Bagi mengisi bulan kemerdekaan, maka berbagai program telah diatur bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan. Paling jelas adalah terlihat bangunan, kereta, kediaman mempamerkan bendera kebangsaan. Media massa memaparkan dokumentari tentang pembangunan negara, jatuh bangun pejuang negara mempertahankan tanahair, Malaysia dalam sejarah, serta berbagai pertandingan bertemakan kemerdekaan oleh pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Setelah lebih 60 tahun merdeka, masih ada banyak perkara yang perlu kita renungkan bersama bukan setakat mengingati ulang tahun kemerdekaan, tetapi perlu melihat sejauhmanakah pencapaian negara kita setakat ini. 

Selain daripada keprihatinan kita terhadap sambutan kemerdekaan, salah satu hal yang perlu diberi penghayatan adalah kesedaran untuk sentiasa memperbaiki diri agar bangsa dan negara sentiasa disegani oleh kawan dan lawan. Rakyat negara ini harus menjadikan sejarah lampau sebagai panduan bagi memajukan negara di masa hadapan. Buat generasi baru, bukan mudah untuk negara ini bebas dari cengkaman penjajahan. Rakyat negara ini pada suatu masa dahulu terpaksa menghunus senjata dan menjadi pak turut kepada jari-jari penjajah. Bukan sebulan atau setahun tetapi beratus tahun lamanya. Generasi kini telah mewarisi negara yang sudahpun bebas, aman dan makmur. Tetapi malangnya, ada dalam kalangan generasi muda kini yang seakan membawa masuk gejala dan budaya asing dari bekas negara penjajah masuk ke negara ini. Segala bentuk perkara yang bertentangan dengan budaya masyarakat negara ini telah menjadi ikutan muda mudi seperti meminum minuman yang memabukkan, budaya parti, pergaulan bebas serta gaya hidup bebas. Ini satu bentuk pengkhianatan terhadap kemerdekaan negara.

Lihat sahaja pada beberapa buah negara yang tidak pernah dijajah oleh kuasa asing pada suatu masa dahulu. Kebanyakan negara yang tidak dijajah ini bernasib baik kerana rakyat negara mereka celik teknologi. Mereka terlebih dahulu mencipta teknologi sehingga menyebabkan negara yang berpengaruh di dunia tidak berani untuk mendekati apatah lagi untuk menakluk. Ini semua disebabkan kuasa ilmu yang mereka miliki. Dengan adanya ilmu mereka mampu membuat dan mencipta teknologi yang mengerunkan musuh. Tetapi kebanyakan masyarakat negara ini sepertimana yang dapat kita lihat pada masa kini lebih banyak menjadi pengguna teknologi daripada mencipta teknologi. Lebih teruk lagi menjadi hamba teknologi kerana banyak masa dihabiskan bersama teknologi pintar seperti telefon mudah alih. Lagi memalukan kebanyakan teknologi adalah yang diimport dari luar negara. Persoalannya sampai bila rakyat negara ini perlu menongkah dagu dan menjadi pembeli teknologi daripada luar. Malaysia tidak boleh hanya berbangga dengan pembuatan kereta nasional sahaja kerana masih banyak bidang teknologi yang Malaysia belum terokai bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang teknologi. 

Sejarah juga memperlihatkan penjajahan mudah disebabkan masyarakat itu buta huruf dan tidak berpendidikan. Tidak usah pergi jauh, lihat saja pada sejarah negara ini pada era sebelum kemerdekaan. Terlalu ramai penduduk Tanah Melayu pada waktu itu yang buta huruf dan secara tidak langsung memberi kesan kepada kurangnya peratus orang yang berpendidikan. Jika ada yang berpendidikan sekalipun hanya setakat sekolah rendah dan seterusnya menyambung legasi ahli keluarga membuat kerja-kerja kraftangan yang tidak ada nilai komersial. Apabila masyarakat tidak berpendidikan tinggi, dengan mudah kuasa penjajah masuk dan mempengaruhi pemikiran masyarakat negara ini agar menerima perubahan yang dibawa oleh mereka. Orang yang tidak berpendidikan tinggi sememangnya mudah untuk menerima arahan serta dipengaruhi oleh orang lain. Apa yang dapat dilihat pada generasi muda hari ini adalah mereka tidak berminat untuk belajar apatah lagi menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi. Generasi kini seolah dipaksa untuk belajar dan jika mereka tidak mahu belajar apa yang mereka mahukan sebenarnya?.

Begitu juga didapati masyarakat Malaysia kurang membaca dan tidak suka membaca. Ini juga merupakan satu isu yang perlu kita renungkan bersama kerana jika zaman dahulu ramai orang buta huruf kerana tidak berpeluang untuk menerima pendidikan. Kini negara telah moden dan mempunyai pelbagai kemudahan untuk menuntut ilmu, tetapi mengapa masih ramai antara kita yang tidak mahu membaca? Membaca tambatan ilmu, jadi bagaimana masyarakat hendak menerima ilmu jika mereka malas membaca. 

Sejarah lampau juga memperlihatkan rakyat negara ini berjuang habis-habisan untuk menghalau penjajah serta segala bentuk pengaruh asing seperti Komunis dan golongan kiri. Segala bentuk propaganda yang dilihat tidak baik untuk masyarakat, akan ditentang dan dihalau keluar jika segala perundingan tidak berjaya. Tetapi masyarakat pada hari ini seakan membiarkan sahaja segala bentuk dakyah, pemikiran, ajaran sesat serta pemikiran liberal yang bertentangan dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, Malaysia negara demokratik serta Malaysia negara berbilang bangsa dibiarkan berleluasa tanpa kawalan. Apakah ini bukan suatu pengkhianatan kepada negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat?. 

Sejarah juga memperlihatkan langkah bijak dilakukan oleh penjajah iaitu dengan cara memberikan pertolongan dan bantuan dan setelah itu memeterai perjanjian dengan Sultan dan pembesar Melayu. Adakah kita semua tidak melihat ini sebagai tipu muslihat penjajah untuk campurtangan dalam hal ehwal negara dan seterusnya menjajah dan menaungi negara ini. Walaupun itu sudah menjadi lipatan sejarah, tetapi lihat sahaja apa yang berlaku pada hari ini. Negara Barat atau pihak luar sangat mengalu-alukan jika sesebuah negara meminta pertolongan mereka. Malaysia memerlukan pelabur untuk memajukan dan membangunkan ekonomi negara. Untuk itu segala kemudahan telah disediakan bagi menarik pelabur datang melabur ke negara ini. Dalam hal ini, Malaysia perlu bijak dalam mengatur strategi agar kedatangan pelabur asing ini memberi impak yang positif kepada pembangunan negara dan rakyat secara keseluruhannya. Persoalannya setakat ini, sejauhmanakah Malaysia mendapat faedah daripada pelabur asing ini adalah setakat mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sahaja, bagaimana pula dengan pemindahan teknologi ke negara ini. Ini juga merupakan suatu yang perlu kita fikirkan. 

Penjajah juga telah bertindak bijak dengan membawa balik segala dokumen dan maklumat negara ini ke negara mereka dan pada hari ini kita dapat lihat rakyat negara ini terpaksa ke negara penjajah untuk melihat maklumat tentang negara mereka sendiri. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada masyarakat negara ini yang kurang kesedaran terhadap nilai yang ada pada negara mereka sendiri. Ada sebahagian tinggalan zaman dahulu yang dimusnahkan begitu sahaja kerana menganggap barang lama tidak ada nilai komersial. Tetapi lihat sahaja, sejarah lama mengenai negara kita ada tersimpan di negara penjajah dan kita terpaksa membayar jika ingin melihat dokumen tersebut. Sebelum terlewat ada baiknya segala bangunan atau barang tinggalan zaman penjajahan dipelihara dan dijaga sebaik mungkin oleh pihak berwajib supaya kita ada sesuatu untuk ditunjukkan kepada generasi baru bahawa negara ini pernah dijajah dan terjajah. Jika ini tidak diperlihara dan dimusnahkan kita seolah bercerita kepada generasi baru tetapi buktinya tiada. Pihak berwajib seharusnya memulakan misi untuk mengkaji dan seterusnya memelihara tinggalan-tinggalan zaman penjajahan untuk ditatap oleh generasi kini dan masa akan datang. Ini juga adalah intipati penting yang perlu kita tonjolkan apabila mengingati hari kemerdekaan.

Muhasabah Kemerdekaan

 

Artikel ini disediakan oleh Dr Hasnah Hussiin, Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang. Email: hasnah@ump.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri