Pendedahan Terhadap Dasar-Dasar Kerajaan Lahirkan Generasi Berintegriti Dan Berwawasan
Peranan kerajaan dalam memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar negara tidak dapat dinafikan lagi. Ianya telah bermula sejak pengenalan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara yang digubal sejak sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Pengenalan dasar pembangunan negara lebih jelas dan lebih rancak memfokuskan isu-isu tertentu bermula pada tahun 1970 sehingga kini. Secara amnya, penggubalan dasar-dasar negara dilaksanakan selaras dengan pembangunan sosioekonomi dan politik negara semasa. Ia bersifat tidak statik dan sentiasa mengalami perubahan mengikut pucuk pimpinan dan juga nilai masyarakat dari semasa ke semasa.
Objektif penggubalan dasar-dasar kerajaan bagi pertumbuhan ekonomi negara, pengagihan pendapatan yang seimbang, kestabilan politik, integrasi kaum dan kebajikan masyarakat keseluruhannya. Semua lapisan masyarakat haruslah memahami dasar-dasar kerajaan, memahami rasional, matlamat, dan objektif penggubalan dasar serta strategi pelaksanaan dasar. Di sini dibincangkan antara beberapa dasar kerajaan untuk direnungkan bersama.
Antara yang terbaru, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan Dasar Komuniti Negara yang mana ia merupakan satu pendekatan untuk membentuk komuniti yang sentiasa peka kepada isu-isu sosial yang berlaku dalam masyarakat bagi mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera. Dalam hal ini, bagi memastikan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi berjalan dengan pesat, aspek sosial juga perlu diberi penekanan yang wajar. Pembangunan nilai-nilai murni perlu disematkan dalam jiwa warganegara Malaysia tidak kira latar belakang agama dan budaya bagi mencapai kesejahteraan masyarakat. Dasar Komuniti Negara merupakan satu dasar baru yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi mendaya upaya komuniti agar mempunyai kesedaran dan prihatin terhadap harta benda awam yang dikongsi bersama oleh masyarakat setempat. Pengenalan dasar seumpama ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk memupuk integrasi dan integriti atau rasa tanggungjawab masyarakat untuk menjaga aset negara dan bersama memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.
Umum telah mengetahui bahawa Malaysia telah menjalin hubungan diplomatik dengan pelbagai negara bagi tujuan kerjasama ekonomi. Antara negara yang telah sekian lama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia adalah negara Jepun. Pengenalan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan setelah kembali menjadi Perdana Menteri maka diperkenalkan pula Dasar Pandang Ke Timur 2.0 telah mengeratkan lagi hubungan antara dua negara. Sebagaimana yang telah diketahui umum negara Jepun dan Korea merupakan negara Asia yang dalam beberapa aspek lebih maju dari negara Barat. Kejayaan mereka menjadi contoh kepada Malaysia untuk mencapai negara maju dengan meningkatkan prestasi pembangunan sektor awam dan swasta melalui pengenalan Dasar Pandang Ke Timur. Untuk itu, nilai-nilai dan etika kerja yang positif perlu diterapkan dalam kalangan pekerja seperti keutamaan kepada kumpulan berbanding diri sendiri, rajin bekerja, setia kepada negara, produktiviti, kualiti, kecekapan dan mementingkan kesan jangka panjang. Beberapa budaya hidup orang Jepun dijadikan tauladan seperti berdisiplin, menepati masa, menjaga kebersihan, membaca serta menghormati orang.
Manakala Dasar Pandang Ke Timur 2.0 pula perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas kerana ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan dan pelaburan malahan berkongsi kepakaran dan pengetahuan yang akan mempercepatkan lagi pelaksanaan Malaysia dalam Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0). Antara sektor yang berpotensi di bawah Dasar Pandang Ke Timur 2.0 adalah industri halal, pendidikan dan pelancongan. Jadi, rakyat Malaysia khususnya generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan jika mereka ingin bekerja dalam sektor pelaburan Jepun. Begitu juga industri halal mempunyai prospek yang tinggi pada masa akan datang dan adalah menjadi tugas generasi muda hari ini yang berminat dengan industri halal menimba ilmu dalam bidang ini sebanyak mungkin.
Rasional kepada kejayaan pembangunan negara adalah bergantung kepada sikap yang positif serta moral yang tinggi oleh pelbagai lapisan masyarakat dari peringkat tinggi hingga ke peringkat yang rendah. Rentetan itulah perlu ditanamkan kesedaran di jiwa penjawat awam atau swasta supaya mereka memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing. Bagi mencapai tujuan ini pihak kerajaan telah memperkenalkan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah pada April 1982 dan diikuti oleh Kepimpinan Melalui Tauladan pada Mac 1983 oleh Tun Dr Mahathir Mohamed agar menjadi amalan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini. Asas kepada amalan ini adalah bagi membendung gejala negatif yang menjadi penyebab kepada kejatuhan produktiviti dan kualiti kerja rakyat Malaysia. Nilai-nilai positif yang ditekankan di bawah pengenalan dasar ini adalah mempunyai moral yang tinggi, berdisiplin, amanah, tidak mengamalkan rasuah, tidak memihak kepada mana-mana pihak, jauhkan sikap dengki dan khianat, tegas dan berprinsip, proaktif, mahir dalam bidang tertentu dan sebagainya.
Era globalisasi memperlihatkan ledakan teknologi maklumat yang begitu pantas sehingga mengatasi pertumbuhan penduduk dunia. Perkembangan teknologi maklumat ini telah banyak memberi kesan kepada kehidupan manusia khususnya dari segi masa. Selain itu, perkembangan ini juga telah banyak mengurangkan penggunaan sumber manusia dengan kewujudan teknologi yang boleh membuat kerja-kerja yang dilakukan oleh tenaga manusia. Ada yang melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif kerana ia akan dapat mengurangkan kos operasi dan upah. Tidak mahu ketinggalan dengan teknologi seumpama ini, Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Revolusi Industri 4.0. Apakah yang dimaksudkan dengan Revolusi Industri 4.0? Mungkin ramai yang masih tidak faham, masih samar-samar atau langsung tidak tahu, semuanya berkemungkinan. Secara amnya, cuma bayangkan 30 tahun akan datang segala ilmu yang kita miliki kini hanya menyumbang satu peratus sahaja dalam dunia pekerjaan. Ini bermakna, pasaran kerja hanya akan dipenuhi oleh individu yang berkemahiran tinggi, kreatif dan kritis. Jadi dalam hal ini, dunia pekerjaan pada masa akan datang akan lebih mencabar dan generasi muda hari ini perlu mengambil langkah perlu agar mampu mendepani cabaran dan mampu memainkan peranan dalam dunia digital tanpa sempadan ini. Individu atau warganegara yang celik mengenai revolusi ini akan mempersiapkan dirinya dengan ilmu yang menjadikannya relevan dengan era tersebut.
Namun, hasil kajian secara rawak mendapati terdapat sebilangan warganegara dari pelbagai peringkat umur khususnya golongan dewasa tidak mengetahui akan kewujudan sesetengah dasar kerajaan yang telah diperkenalkan. Jawapan ringkas mereka adalah tidak tahu dan ada yang tidak faham. Pelaksanaan terhadap dasar-dasar dapat dilaksanakan sepenuhnya jika masyarakat dari pelbagai peringkat faham dan menghayati dasar-dasar ini dari peringkat atasan hingga bawahan. Percayalah segala dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan ini tidak akan terlaksana jika ianya hanya difahami oleh pegawai kerajaan peringkat atasan sahaja tanpa melibatkan semua golongan masyarakat. Manakala bagi pihak kerajaan pula, perlu ada pengukuran prestasi yang perlu disemak dan diumumkan secara berkala bagi memastikan rakyat Malaysia mengetahui dan memahami sepenuhnya apakah yang dihasratkan oleh kerajaan dalam memangkin pembangunan negara.
Artikel ini disediakan oleh Dr Hasnah Hussiin, Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang. E-Mel: hasnah@ump.edu.my
- 8507 views