Pengaruh Media Sosial Terhadap Reputasi Negara: Dari Satu Klik ke Pentas Antarabangsa
Di era digital, media sosial telah menjadi platform penting untuk menghubungkan manusia sama ada yang dekat atau jauh dengan berkongsi gambar, cerita, berita semasa dan sebagainya. Pada masa yang sama, media sosial juga menjadi medan yang membentuk persepsi dunia terhadap negara, kaum dan agama. Apa sahaja yang dimuat naik oleh seorang individu sama ada ia seorang pemimpin, penjawat awam, selebriti, influencer (pempengaruh) ataupun rakyat biasa boleh sahaja mempengaruhi imej negara di mata masyarakat antarabangsa.
Media Sosial sebagai ‘Duta Tidak Rasmi’ Negara
Era sebelum dunia digital dan media sosial alaf baharu, imej negara dibentuk melalui media tradisional seperti TV, akhbar dan saluran diplomatik yang rasmi. Tapi, pada masa kini, setiap individu pengguna media sosial berpotensi menjadi ‘duta tidak rasmi’ negara sendiri dengan membawa identiti negara ke peringkat global. Ia boleh dilakukan dengan memaparkan makanan, tempat-tempat menarik, sejarah, budaya dan nilai masyarakat setempat yang mampu meningkatkan daya tarikan sesebuah negara. Namun, jika individu itu memuat naik kandungan yang berunsurkan perkauman, penghinaan dan kebencian, ia akan mencetuskan persepsi negatif dalam masyarakat antarabangsa dan secara tidak langsung akan memburukkan negara sendiri di mata dunia.
Apabila Kandungan Tular Menjadi Krisis Reputasi
Kesilapan individu memuat naik kandungan yang berunsur negatif, kebencian, dan penghinaan akan menjadikan sesuatu isu itu tersebar (viral) dalam masa yang sangat singkat. Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang individu sama ada pemimpin, penjawat awam, tokoh masyarakat, tidak kira sama ada mereka mempunyai kedudukan dalam masyarakat atau tidak, kuasa viral akan menaikkan nama negara dan institusi yang terlibat.
Masyarakat antarabangsa biasanya tidak melihat tindakan individu tetapi lebih kepada identiti negara secara keseluruhan. Oleh itu, satu video yang memaparkan isu sensitif dan negatif akan menjejaskan nama dan imej positif negara yang telah bertahun-tahun dibina oleh pemimpin sebelum ini. Sudah menjadi adat dunia, mana-mana penyebaran maklumat yang sensitif dan kontroversi biasanya lebih cepat tersebar berbanding maklumat yang benar dan berfakta. Apa yang membahayakan adalah kandungan yang menghina negara dan bangsa lain secara terang-terangan akan menimbulkan kemarahan dan kebencian masyarakat negara tersebut. Siapa yang tidak marah jika negara dan bangsanya diperlekehkan, diaibkan sehingga ke seluruh pelosok dunia? Situasi ini boleh menghasilkan persepsi negatif yang berpanjangan terhadap sesebuah negara.

Sentiasa berhati-hati di media sosial
Kesan Terhadap Pelancongan dan Pelaburan
Reputasi sesebuah negara mempunyai kaitan yang rapat dengan sektor pelancongan, ekonomi dan pelaburan. Sudah menjadi kebiasaan, pelancong dan pelabur akan memilih destinasi yang selamat, stabil, masyarakat yang harmoni serta kepelbagaian budaya. Apabila ada media sosial yang menggambarkan masyarakat sesebuah negara itu sebagai pengotor, busuk, diskriminatif, dan konflik, maka persepsi masyarakat global terhadap sesebuah negara itu akan terjejas. Pelancong dan pelabur sudah pasti akan mengalihkan pandangan mereka ke negara lain. Sebaliknya, jika media sosial itu berguna dan berkesan, ia akan menarik keyakinan masyarakat antarabangsa dan mengukuhkan jenama negara tersebut di merata dunia.

Tanggungjawab Penjawat Awam dan Warganet
Dalam era teknologi maklumat yang pesat, dunia tanpa sempadan, atau yang kita panggil era digital, semua pengguna perlu berhati-hati dan berwaspada apabila menggunakan media sosial. Setiap pengguna adalah tertakluk kepada undang-undang negara dan kebebasan bersuara. Kebebasan di Malaysia tidak bersifat mutlak dan ia tertakluk kepada sekatan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan Bersuara di Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia. Bahagian II di dalam Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan peruntukan bagi menjamin kebebasan asasi manusia. Salah satu kebebasan asasi adalah kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan yang terkandung di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, walaupun rakyat Malaysia dijamin hak seperti kebebasan bersuara, berhimpun, dan beragama, tetapi ia dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi memelihara keselamatan negara, ketenteraman awam, dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini. Jika anda seorang penjawat awam, sebarang kenyataan yang dibuat akan dikaitkan dengan institusi yang anda wakili.
Penjawat awam adalah sebahagian daripada warganegara Malaysia yang tertakluk kepada undang-undang. Secara amnya, penjawat awam di Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Pegawai Awam, dan arahan pentadbiran semasa. Mereka juga terikat dengan Surat Aku Janji dan undang-undang khusus seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi memelihara kerahsiaan dan integriti kerajaan. Secara keseluruhannya, peraturan utama yang mengawal selia tatakelakuan dan tugas penjawat awam dapat diringkaskan seperti berikut:
Perlembagaan Persekutuan: Fasal-fasal di bawah Bahagian X yang menggariskan kuasa dan kedudukan perkhidmatan awam.
Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib): Akta atau peraturan yang menetapkan garis panduan etika kerja, tatatertib, dan larangan konflik kepentingan.
Surat Aku Janji: Dokumen yang ditandatangani untuk mematuhi segala peraturan dan arahan kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88): Undang-undang yang mengawal penyebaran maklumat dan dokumen rasmi kerajaan.
Pekeliling Perkhidmatan & Arahan Pentadbiran: Surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari semasa ke semasa.
Sebagai penjawat awam, mereka haruslah memberi contoh teladan yang baik kepada masyarakat dengan sentiasa mematuhi undang-undang. Tindakan segelintir penjawat awam yang sering melanggar undang-undang sudah pasti akan mencemar imej perkhidmatan awam. Sebagai seorang penjawat awam, pematuhan kepada undang-undang negara sewajarnya menjadi teras kepada kehidupan harian. Oleh itu, segala tindakan dan perbuatan perlu mencerminkan tahap profesionalisma diri dan institusi apatah lagi negara. Pemantauan penggunaan media sosial dalam kalangan penjawat awam kini semakin menjadi perhatian. Ini memandangkan kandungan yang berbaur sensitif akan memberi kesan kepada imej institusi dan imej negara.
Hari ini, media sosial mempunyai kuasa yang sangat luar biasa kerana ia boleh memberi reputasi kepada sesebuah negara. Ia boleh sahaja menjadi alat untuk mengangkat imej negara ke peringkat antarabangsa, dan pada masa yang sama ia boleh sahaja menjadi punca krisis antara negara jika ia disalahgunakan oleh individu tertentu. Setiap hantaran seperti komen dan video bukan sahaja mewakili seseorang individu, malah mewakili negaranya, dan ini boleh mengubah cara dunia melihat sesebuah negara. Oleh itu, amalkanlah budaya komunikasi yang beretika, bertanggungjawab dan menghormati kepelbagaian budaya masyarakat lain. Jadikan media sosial sebagai alat diplomasi digital atau instrument penting bagi membina pengaruh, mempromosikan budaya dan memperkukuhkan reputasi negara.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 51 views
Reports by: