Penggunaan Ubatan Herba Sebagai Rawatan Penyakit: Manfaat atau Mudarat?
Penggunaan ubatan herba daripada tumbuhan semula jadi dalam kalangan masyarakat Malaysia bukanlah suatu perkara baharu. Penggunaan yang kerap kali didengari adalah bertujuan mengubati penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser. Masyarakat Malaysia yang terlalu taksub dengan penggunaan ubatan herba tradisional akan sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar bagi membelinya tanpa memikirkan keberkesanan pengambilannya terlebih dahulu.
Tahukah anda dalam penghasilan kapsul herba tradisional terdapat beberapa kriteria sebelum ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Antara tiga kriteria utama yang perlu dipenuhi oleh semua syarikat pengeluar adalah dari segi kualiti, keselamatan dan ketoksikan. Bagi memastikan produk herba selamat dan berkualtiti, ujian makmal bagi mengesan kehadiran logam berat, mikroorganisma dan bahan campur palsu perlu dilakukan. Ini adalah kerana produk herba berpotensi dicemari dengan logam berat seperti arsenik, plumbum, cadmium dan merkuri yang mungkin datang daripada tanah, air atau udara.
Selain itu, produk herba juga boleh dicemari dengan bakteria dan kulat melalui proses pengumpulan dan pengeringan herba yang tidak sempurna. Bakteria patogenik seperti Escherichia coli, Salmonella dan Pseudomonas aeruginosa akan dipastikan supaya tidak terkandung di dalam produk herba. Produk ubat tradisional juga perlu bebas dari campuran ubatan terkawal dan penyaringan bahan campur palsu akan dilakukan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK). Sekiranya syarikat pengeluar dapat memenuhi semua kriteria tersebut maka mereka akan berjaya untuk mendaftar produk keluaran dan mempunyai nombor MAL dan label keselamatan hologram.
Berdasarkan kriteria ubatan herba yang dinyatakan, tahukah anda bahawa keberkesanan kepada penggunaan ubatan tersebut tidak diuji secara praklinikal dan klinikal. Bagi pendaftaran ubatan herba kategori supplement hanya memerlukan dokumentasi dari tradisional pharmacopeia sahaja. Lazimnya, produk kapsul herba dihasilkan adalah melalui pengisaran tumbuhan kering dan tidak melalui proses pengekstrakan. Jumlah berat serbuk tumbuhan yang dikapsulkan pula ditentukan oleh syarikat pengeluar tanpa melalui ujian dos keberkesanan secara saintifik.
Pengambilan ubatan herba sebagai alternatif kepada ubatan yang diberi oleh doktor perubatan bukanlah sesuatu keputusan yang baik bagi pesakit yang disahkan menghidap penyakit kronik tertentu. Hal ini adalah kerana pengambilan ubatan herba pilihan yang dikatakan mampu memberi kesan segera mungkin bakal memudaratkan lagi keadaan pesakit. Pesakit yang cuba mengambil jalan mudah ini berdepan dengan risiko kerosakan fungsi buah pinggang kerana mereka sendiri belum pasti sama ada ia sesuai atau tidak dengan badan sendiri. Lebih membahayakan kesihatan pesakit sekiranya produk yang dipasarkan adalah dari kumpulan pengeluaran yang berbeza dengan sampel yang dihantar bagi tujuan pendaftaran di bawah KKM. Ini adalah kerana bagi tujuan kelulusan pendaftaran ubatan herba, dokumen yang dihantar adalah sekali sahaja dan tidak dihantar bagi setiap kumpulan pengeluaran yang berbeza. Produk herba tersebut berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti merkuri atau bahan campur palsu yang boleh memudaratkan lagi sistem perkumuhan pesakit. Pengambilan sebarang jenis ubatan herba di pasaran perlulah dirujuk kepada doktor supaya mendapat nasihat kesesuaian penggunaannya atau sebaliknya.
Sekiranya kita melihat dari segi amalan tradisi nenek moyang yang menggunakan tumbuhan sebagai ubatan tradisional, kebanyakan adalah melalui proses pengekstrakan. Nenek moyang terdahulu menggunakan air rebusan tumbuhan untuk diminum bagi tujuan rawatan tertentu. Sungguhpun amalan orang lama seperti ini dilihat sebagai suatu adat, namun secara saintifiknya ianya dapat dijelaskan. Penggunaan khasiat tumbuhan herba adalah melalui cara pengekstrakan dengan air dan ianya dapat mengurangkan risiko kegagalan fungsi sistem perkumuhan badan. Amalan orang lama yang dahulunya berdasarkan cuba jaya ada asas saintifiknya yang boleh dijelaskan. Air merupakan pelarut yang mempunyai sifat kekutuban yang paling tinggi dan mampu mengekstrak sebatian kimia yang juga mempunyai kekutuban yang tinggi dan selamat digunakan di dalam tubuh badan manusia.
Penggunaan ubatan herba tidaklah mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil dalam jumlah dan tempoh yang diperlukan sahaja. Tidak dinafikan terdapat banyak tumbuhan herba yang memberikan manfaat kepada manusia sejak zaman dahulu lagi. Manusia mencipta ubatan moden adalah melalui struktur kimia bahan bioaktif yang ditemui melalui tumbuhan. Struktur kimia bahan bioaktif yang ditemui melalui tumbuhan adalah ilmu Allah yang disampaikan kepada manusia sebagai rujukan. Dengan struktur asas bahan kimia tumbuhan maka terhasil pelbagai ubatan moden pada masa kini.
Dengan fakta yang dihuraikan di atas, pengguna perlulah bijak bagi menilai sejauh mana penggunaan ubatan herba tradisional memberi manfaat atau bahaya di kemudian hari. Pembelian ubat tradisional yang tidak berdaftar mendedahkan pengguna kepada risiko yang boleh membahayakan kesihatan dan lebih parah lagi berisiko untuk mengundang maut.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh : Profesor Madya Dr. Hazrulrizawati Abd Hamid
e-mel : hazrulrizawati@ump.edu.my
- 21881 views