Skip to main content

Pentadbir Enjin Senyap Penggerak Institusi

Saat semua pihak berbicara tentang kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan, fokus selalunya hanya tertumpu kepada akademik, pensyarah dan pelajar. Jarang sekali kita mendengar orang bertanya, siapakan pihak yang bekerja di belakang tadbir bagi memastikan segala pengurusan program, aktiviti dan pelaporan berjalan lancar pada setiap hari?

Di sinilah hadirnya peranan pentadbir. Satu kelompok yang tidak sentiasa berada di hadapan, namun sentiasa siap sedia dan memastikan segala aktiviti dan program berjalan lancar seperti yang dirancang. Sekiranya hendak dibuat perbandingan mudah, institusi pendidikan itu ibarat sebuah kenderaan. Pensyarah mungkin pemandunya, pelajar pula penumpangnya. Namun, tanpa enjin, kenderaan itu tetap tidak akan bergerak walaupun arah perjalanan sudah jelas. Pentadbir dalam hal ini, adalah enjin yang jarang diberi perhatian, tetapi sentiasa bekerja tanpa henti.

Dalam beberapa ucapan berkaitan reformasi pentadbiran negara, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim sering menyatakan keyakinan bahawa penjawat awam tempatan, termasuk pentadbir, mempunyai keupayaan untuk merangka dan melaksanakan perancangan, malah berpotensi mengatasi konsultan antarabangsa. Penegasan ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan terhadap kompetensi sedia ada, bahkan turut memberi isyarat bahawa kekuatan sebenar sesebuah organisasi terletak pada keupayaan dalaman untuk mengurus dan melaksanakan sesuatu dengan berkesan.

Seiring dengan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir turut menekankan bahawa kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tidak hanya bergantung kepada mahasiswa dan tenaga pengajar semata-mata, tetapi juga para pentadbir sebagai salah satu komponen utama. Dalam usaha memperkukuh tadbir urus melalui agenda transformasi pendidikan tinggi, peranan pentadbir dilihat semakin signifikan dalam menggerakkan sistem yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing. Tidak dinafikan bahawa perancangan dan strategi merupakan asas kepada hala tuju sesebuah institusi. Namun demikian, tanpa pentadbir hala tuju dan perancangan strategi tersebut tidak akan tercapai kerana pentadbirlah yang sebenarnya menggerakkan operasi sehingga perancangan dan strategi tersebut sampai ke destinasinya.

Peranan pentadbir ini lebih mudah difahami jika kita memerhati sistem saraf dalam tubuh manusia. Sebuah sistem tidak kelihatan, jarang dipuji, tetapi tanpanya segala pergerakan akan menjadi tidak teratur. Begitu juga dengan institusi, tanpa pentadbiran yang cekap, banyak perkara boleh terganggu walaupun perancangan di atas kertas kelihatan sempurna dan menarik.

Mungkin sudah tiba masanya kita melihat semula peranan ini dengan lebih adil. Bukan sekadar sebagai sokongan, tetapi sebagai komponen penting yang memastikan sesebuah institusi itu benar-benar dapat berfungsi seperti yang dirancang.

Lebih Daripada Apa yang Disangka

Apabila membincangkan perihal pentadbir, kebiasaannya yang terlintas ialah tugas-tugas rutin seperti pengurusan dokumen, penyediaan laporan atau minit mesyuarat dan penyusunan jadual. Tanggapan ini tidak salah, namun ia hanya menggambarkan sebahagian kecil daripada peranan sebenar golongan ini. Hakikatnya, fungsi pentadbir jauh lebih luas dan saling berkait antara satu sama lain dalam memastikan kelancaran operasi institusi.

Pertama, sudah tentu berkaitan dengan operasi seharian. Inilah bahagian yang paling kerap dilihat, tetapi juga paling mudah dipandang ringan. Jadual kelas, rekod pelajar, surat-menyurat, sistem dalaman, semuanya perlu diurus dengan teliti. Jika satu sahaja tersilap atau terlepas pandang, kesannya boleh berantai. Perkara kecil boleh jadi besar. Dalam banyak keadaan, kelancaran sesebuah institusi sebenarnya bergantung kepada sejauh mana perkara-perkara ‘kecil’ ini diurus dengan baik.

Pada masa yang sama, pentadbir turut memainkan peranan penting dalam menyokong proses membuat keputusan melalui pengurusan data dan penyusunan maklumat yang tepat serta boleh dipercayai untuk kegunaan pihak pengurusan. Hakikatnya, keputusan yang baik bergantung kepada kualiti maklumat yang tersedia, dan di sinilah peranan pentadbir sering menjadi penentu walaupun tidak sentiasa disedari. Selain itu, pentadbir juga berperanan dalam memastikan aspek tadbir urus sentiasa terpelihara, termasuk pematuhan terhadap garis panduan, prosedur dan keperluan audit. Walaupun peranan ini kurang menonjol, namun sangat kritikal dalam menjamin kelancaran operasi serta mengurangkan risiko kecuaian dan ketidakpatuhan dalam organisasi.

Dalam banyak situasi, pentadbir menjadi penghubung antara pelbagai pihak. Mereka berurusan dengan pengurusan, staf akademik, pelajar, malah pihak luar. Setiap pihak datang dengan keperluan dan jangkaan yang berbeza. Di sinilah kemahiran menyelaras dan berkomunikasi menjadi sangat penting. Jika dilihat secara keseluruhan, fungsi pentadbir ini sebenarnya tidak berdiri sendiri. Semuanya saling berkait, operasi, data, pematuhan dan komunikasi. Seperti enjin yang mempunyai banyak komponen kecil, setiap satu memainkan peranan untuk memastikan keseluruhan sistem terus bergerak dengan lancar.

Realiti di Sebalik Kelancaran

Walaupun peranan pentadbir begitu penting dalam memastikan kelancaran institusi, realitinya tugas ini tidak terlepas daripada pelbagai cabaran yang sering berlaku di belakang tabir.

Beban kerja yang semakin bertambah sering menjadi antara cabaran utama dalam kalangan pentadbir, namun realitinya tahap beban ini tidak seragam dan banyak bergantung kepada penempatan serta skop tugas masing-masing. Ada yang berada pada tahap yang terkawal, ada yang menanggung beban yang tinggi, serta tidak kurang juga yang berdepan situasi yang lebih ringan daripada sepatutnya. Dalam keadaan beban tugas yang tinggi, kemahiran mengurus pelbagai tugasan secara serentak atau multi-tasking menjadi satu keperluan. Namun begitu, keupayaan ini tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang tanpa pertimbangan yang sewajarnya. 

Dalam sesetengah keadaan, terdapat pentadbir yang berulang kali diberikan pelbagai tanggungjawab kerana dilihat mampu melaksanakannya dengan baik. Walaupun perkara ini mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan individu tersebut, ia juga wajar dilihat secara lebih menyeluruh bagi memastikan keseimbangan beban kerja dapat dikekalkan dan tidak memberi kesan dalam jangka masa panjang. 

Dalam masa yang sama, masih wujud persepsi bahawa tugas pentadbir hanyalah bersifat sokongan. Pandangan ini mungkin tidak disengajakan, tetapi sedikit sebanyak mempengaruhi bagaimana peranan ini dilihat dalam struktur organisasi. Apabila peranan ini dilihat sebagai pelengkap semata-mata, sumbangan yang diberikan sering kali tidak dinilai secara menyeluruh, walaupun ia menjadi asas kepada kelancaran banyak urusan harian. Dalam keadaan tertentu, persepsi ini juga boleh mengehadkan ruang untuk penglibatan yang lebih bermakna dalam aspek perancangan dan pembuatan keputusan. Sedangkan, dengan pengalaman dan kefahaman yang dimiliki terhadap operasi institusi, pentadbir sebenarnya berpotensi untuk menyumbang dengan lebih signifikan sekiranya diberi kepercayaan dan ruang yang bersesuaian.

Dalam konteks struktur organisasi pula, terdapat juga ruang untuk direnung bersama, khususnya berkaitan laluan kepimpinan. Dalam banyak keadaan, peranan kepimpinan lazimnya dikaitkan dengan latar belakang akademik. Walaupun pendekatan ini mempunyai asasnya, pada masa yang sama terdapat juga dalam kalangan pegawai pentadbiran yang mempunyai pengalaman luas serta keupayaan mengurus yang signifikan. Potensi ini, jika diberi ruang yang lebih terbuka, mungkin mampu memperkukuh lagi keberkesanan pengurusan institusi secara keseluruhan.

Akhirnya, cabaran terbesar adalah keperluan untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan. Dunia pendidikan sentiasa berkembang, dasar berubah, sistem bertambah dan jangkaan semakin tinggi. Pentadbir perlu sentiasa bersedia untuk bergerak seiring dengan perubahan ini.

Senyap, Tetapi Menggerakkan Segalanya

Peranan pentadbir dalam institusi pendidikan tidak lagi boleh dilihat sebagai fungsi sampingan. Mereka adalah antara komponen utama yang memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.

Dalam persekitaran yang semakin kompleks, kebergantungan kepada sistem, data dan tadbir urus yang baik menjadi semakin penting. Dalam semua ini, pentadbir berada di tengah-tengah iaitu menyusun, menyelaras dan memastikan setiap perkara berada pada landasan yang betul. 

Mungkin sudah tiba masanya peranan ini dilihat dengan perspektif yang berbeza. Bukan sekadar sebagai pelaksana rutin, tetapi sebagai rakan strategik dalam menggerakkan organisasi ke hadapan. Pengiktirafan terhadap sumbangan mereka boleh menjadi pemangkin kepada sistem yang lebih seimbang dan berdaya tahan. 

Seperti sebuah kenderaan yang memerlukan enjin untuk bergerak, begitu juga institusi pendidikan. Perancangan yang baik tidak akan membawa makna tanpa pelaksanaan yang cekap. Dan di situlah letaknya peranan sebenar seorang pentadbir iaitu senyap, tetapi menggerakkan segalanya.

Penulis ialah Eksekutif Kanan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. 
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Oleh: Muhammad Hafiz Aswad Ahmad Kamal
E-mel: mhafizaswad@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri