Peranan Bahasa dalam Merealisasikan SDG 4: Pendidikan Berkualiti untuk Semua
Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merangkumi 17 matlamat. Salah satu SDG yang amat relevan dengan pendidikan adalah SDG 4. Ia memberi tumpuan bagi memastikan pendidikan yang berkualiti, inklusif, saksama, dan menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua. Bagi mencapai matlamat ini, peranan bahasa amat penting memandangkan ia sebagai medium komunikasi untuk mempromosi pendidikan yang berkualiti dan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.
Bahasa Sebagai Alat Pendidikan Inklusif dan Saksama
Bahasa merupakan medium utama dalam komunikasi bagi penyampaian ilmu dalam pengajaran dan pembelajaran. Penguasaan bahasa yang baik terutamanya dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris di Malaysia adalah asas untuk memastikan pendidikan berkualiti dan inklusif. Di Malaysia, penggunaan bahasa Melayu memupuk perpaduan, manakala penguasaan bahasa Inggeris membantu para pelajar mengakses bahan pembelajaran global terutamanya dalam talian.
Bahasa untuk Pembelajaran Sepanjang Hayat
SDG 4 juga turut memberikan penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat untuk semua. Dalam era digital, literasi asas seperti membaca dan menulis sahaja tidak memadai. Kemahiran bahasa yang lebih mendalam diperlukan untuk mengakses sumber pembelajaran dalam talian, seperti Micro-Credential (MC), Massive Open Online Courses (MOOC), video pendidikan, dan buku digital.
Dengan penguasaan pelbagai bahasa, ia membolehkan individu meneroka pelbagai bahan pembelajaran sepanjang hayat dengan mengikuti kursus latihan teknikal dalam talian yang disediakan dalam bahasa Inggeris atau menterjemahkan bahan pembelajaran tersebut ke dalam bahasa ibunda menggunakan alat digital. Penguasaan bahasa memberikan akses yang lebih luas kepada peluang pembelajaran dan meningkatkan mobiliti sosial serta ekonomi individu.
Bahasa untuk Memaksimumkan Penggunaan Kecerdasan Pintar
Bahasa juga merupakan kunci bagi memastikan kecerdasan pintar (AI) menyokong pencapaian SDG 4: Pendidikan Berkualiti untuk Semua. Dengan kemampuan AI memproses dan memahami pelbagai bahasa, teknologi ini dapat memperluas akses kepada sumber pembelajaran yang inklusif, terutamanya dalam masyarakat yang kurang mendapat peluang pendidikan. Aplikasi AI seperti platform pembelajaran dalam talian dalam pelbagai bahasa, alat terjemahan dan tutor maya berasaskan bahasa membolehkan pelajar di seluruh dunia memperoleh pendidikan berkualiti tanpa mengira kedudukan geografi atau latar belakang bahasa mereka. Dengan mengintegrasikan bahasa dan AI, kita dapat memastikan pendidikan yang adil dan inklusif, selaras dengan visi SDG 4 untuk menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua.
Bahasa untuk Pembangunan Kemahiran Abad ke-21
Dalam dunia globalisasi hari ini, kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi berkesan, pemikiran kritis, dan kolaborasi adalah penting. Penguasaan bahasa memainkan peranan penting dalam memperkukuh kemahiran ini. Pelajar yang menguasai bahasa dengan baik lebih mudah menyampaikan idea, memahami perspektif berbeza, dan bekerja dalam kumpulan yang pelbagai.
Selain itu, kemahiran pelbagai bahasa meningkatkan peluang pelajar untuk melanjutkan pelajaran di institusi antarabangsa. Peluang pendidikan tinggi ini menyumbang kepada kualiti pendidikan keseluruhan dan meningkatkan peluang kebolehpasaran pelajar pada peringkat global. Sebagai contoh, pelajar yang fasih berbahasa Inggeris atau bahasa antarabangsa lain lebih mudah diterima di universiti terkenal di luar negara, sekali gus memperluaskan pengalaman dan pengetahuan mereka.
Bahasa dan Teknologi Pendidikan
Teknologi telah mengubah cara pendidikan disampaikan, terutamanya melalui bahan pembelajaran digital. Namun, akses kepada teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa kemahiran bahasa untuk memahami dan menggunakan sumber tersebut. Banyak bahan pembelajaran dalam talian tersedia dalam bahasa Inggeris atau bahasa utama lain. Oleh itu, penguasaan bahasa antarabangsa menjadi keperluan untuk memastikan pelajar dapat memanfaatkan teknologi ini.
Di samping itu, usaha untuk menterjemahkan bahan pendidikan berkualiti ke dalam bahasa tempatan adalah penting bagi memastikan semua komuniti mendapat akses yang sama. Dengan cara ini, pendidikan digital dapat diperluaskan kepada kawasan luar bandar dan komuniti terpinggir.
Bahasa untuk Pemerkasaan Komuniti
Penguasaan bahasa juga menyumbang kepada pemerkasaan komuniti. Pendidikan berkualiti yang menggunakan bahasa ibunda membantu memelihara identiti dan budaya sesebuah masyarakat, sambil meningkatkan integrasi ke dalam masyarakat global. Dalam konteks ini, pendidikan pelbagai bahasa tidak hanya mempromosikan pembelajaran tetapi juga menyumbang kepada pemeliharaan warisan budaya.
Sebagai tambahan, penguasaan bahasa yang baik membolehkan penyebaran maklumat penting kepada masyarakat, termasuk maklumat berkaitan kesihatan, perubahan iklim, dan pembangunan mampan. Contohnya, komuniti yang memahami bahasa kebangsaan atau bahasa global lebih mudah menerima informasi dan inovasi yang relevan dengan kehidupan mereka.
Kesimpulan
Peranan bahasa bagi merealisasikan SDG 4: Pendidikan Berkualiti untuk Semua adalah amat penting. Sebagai medium utama pembelajaran, bahasa berperanan untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial, budaya, atau kedudukan geografi. Dengan penguasaan pelbagai bahasa, ia membuka peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan keberkesanan pendidikan inklusif, dan mengukuhkan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi dan kolaborasi. Adalah diharapkan dengan penekanan kepada peranan bahasa dalam pendidikan, matlamat untuk menyediakan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama akan dapat dicapai, sejajar dengan aspirasi SDG 4 untuk membentuk masa depan yang lebih cerah dan mampan untuk semua.
Penulis adalah Guru Bahasa di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: azlinda@umpsa.edu.my
- 41 views