Skip to main content

Perkahwinan Diraja Pahang sarat adab sopan budaya Melayu

Adab, adat istiadat, adat resam, mengamalkan budaya dan bahasa Melayu, pengamalan agama Islam dan tidak lupa pemerintahan beraja adalah antara elemen peradaban Melayu sejak zaman berzaman. Ia kekal relevan dan tetap diamalkan sehingga ke hari ini walaupun dunia berada dalam era globalisasi. Adat istiadat perkahwinan diraja juga merupakan warisan yang masih diamalkan dan dipelihara dan turut mencipta sejarah tersendiri. Seluruh lapisan rakyat dan masyarakat di negara ini sememangnya akan berasa teruja melihat secara penstriman langsung istiadat perkahwinan diraja. 

Istiadat perkahwinan diraja yang dapat dilihat pada hari ini tidak banyak beza dengan adat istiadat perkahwinan diraja yang diamalkan pada zaman dahulu. Antara adat utama perkahwinan diraja adalah istiadat meminang, menghantar belanja, akad nikah, dan persandingan. Perbezaan antara adat perkahwinan orang kebanyakan dengan adat perkahwinan diraja adalah sudah tentunya perkahwinan diraja dijalankan dengan penuh adat istiadat Melayu. Antara alat-alat kelengkapan yang perlu ada dalam proses perkahwinan diraja daripada meminang hingga persandingan pada zaman dahulu adalah sekaki payung kebesaran, tembakan meriam, hantaran, alat perhiasan, wang perbelanjaan, perkakas emas, alat-alat perhiasan, tanjak, persalinan, tombak, keris, tepak sirih, kain dukun, payung obor-obor, alatan bunyi-bunyian (nafiri dan nobat) dan dian (lilin). Tidak lupa adanya istiadat makan nasi tabak kedua mempelai semasa majlis persandingan.

Kini, Institusi Diraja Pahang masih mengekalkan adat resam yang diwarisi turun temurun. Istiadat perkahwinan Diraja Tengku Puteri Afzan, FD Idzham berlangsung selama tiga hari pada 22, 23 dan 25 Ogos 2024.  Atas keprihatinan Sultan Pahang, maka upacara perkahwinan tersebut dapat disaksikan oleh orang ramai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) bagi menyaksikan istiadat akad nikah perkahwinan diraja Puteri Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar yang disiarkan secara langsung melalui skrin gergasi di lokasi tersebut pada malam Khamis. Tinjauan mendapati orang ramai begitu teruja untuk datang ke Padang MBK1 bagi menyaksikan istiadat akad nikah perkahwinan Tengku Puteri Afzan dan pasangan, FD Idzham yang disiarkan secara langsung melalui skrin gergasi. Rakyat dapat menyaksikan detik bersejarah itu dari awal hingga selesai majlis pernikahan. Rakyat berasa sangat teruja kerana perkahwinan diraja biasanya dapat dilihat di media massa dan media sosial sahaja. 

Tayangan live perkahwinan Diraja
Tayangan live perkahwinan Diraja

Secara amnya, dalam majlis perkahwinan Diraja ini dapat disaksikan adat Melayu yang tidak ditelan zaman iaitu upacara akad nikah, berinai dan persandingan. Istiadat akad nikah pasangan pengantin diraja itu diadakan di Istana Abdulaziz pada 22 Ogos 2024 manakala istiadat berinai diadakan pada Jumaat, 23 Ogos 2024. Istiadat bersanding pula diadakan pada Ahad, 25 Ogos 2024 dan ia disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Tasik KotaSAS. Majlis akad nikah bersaksikan mas kahwin senaskhah al-Quran melambangkan nilai-nilai Islam sebagai pegangan kepada kehidupan berumah tangga. Pada majlis istiadat berinai menyaksikan penggunaan lilin yang dihidupkan oleh jejawat (petugas khas) adalah selari dengan hasrat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi mengembalikan dan mengekalkan perkahwinan diraja. Dalam tayangan langsung istiadat tersebut, lilin tersebut dihidupkan oleh jejawat sebaik sahaja Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjalan ke Balai Temenggong. Di kiri dan kanan Tengku Puteri, jejawat lilin mengikut titah penceritaan Tengku Ampuan Pahang, “Lilin adalah sumber pencahayaan kerana tiada bekalan elektrik, maka simbolik lilin atau dian ketika itu.” Oleh itu, ia dihidupkan kembali dalam istiadat ini bagi menunaikan hasrat Tengku Ampuan Pahang untuk mengembalikan dan mengekalkan adat perkahwinan diraja. Istiadat berinai dimulakan dengan pengantin lelaki, FD Idzham FD Iskandar ke Balai Temenggong terlebih dahulu dan seterusnya diikuti pengantin perempuan, Tengku Puteri Afzan. Apa yang menarik lagi dalam adat berinai ini adalah adanya penggunaan ‘buai’ yang mampu menyuntik elemen kemelayuan adat Melayu. 

 Sumber: Tiktok Tengku Puteri Afzan


Sumber: Tiktok Tengku Puteri Afzan

Manakala bagi adat persandingan dimulakan dengan ketibaan pengantin lelaki diiringi oleh pukulan gendang Pahang dan paluan kompang. Pengantin lelaki bawa bunga/sirih lat-lat yang menjadi tradisi diraja Pahang. Setelah itu diadakan istiadat menyuap ‘nasi semangat’ kepada pengantin diraja dan akhir sekali istiadat merenjis yang dimulakan dengan Sultan Pahang. Kesemua adat istiadat ini secara tidak langsung mampu mendidik masyarakat tentang adat istiadat perkahwinan diraja yang penuh dengan adat dan tatasusila. Ketiga-tiga proses adat istiadat ini dijalankan dengan penuh tradisi yang melambangkan keagungan budaya Melayu dari segi pakaian, peralatan, perhiasan dan elemen-elemen yang wujud dalam upacara tersebut. 

Majlis persandingan
Majlis persandingan

Sumber: Tiktok Tengku Puteri Afzan
Busana Melayu tetap menjadi pilihan semasa upacara memotong kek Sumber: Tiktok Tengku Puteri Afzan
Busana Melayu tetap menjadi pilihan semasa upacara memotong kek

Sumber: Tiktok Tengku Puteri Afzan

Antara adab sopan dan ciri-ciri kemelayuan yang dapat disaksikan dalam adat istiadat perkahwinan diraja ini juga adalah busana perkahwinan Melayu yang sangat sopan dan menutup aurat tetapi tetap menampakkan keanggunan busana Melayu. Secara amnya, perkahwinan Diraja kali ini mampu mengekalkan elemen kemelayuan dalam semua adat istiadat yang berlangsung. 

Busana Melayu tetap menarik dan mencuri tumpuan

Selain daripada busana, pasangan diraja ini menonjolkan kelembutan keperibadian Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar. Ini adalah selari dengan Rukun Negara melalui elemen Kesopanan dan Kesusilaan. Terlihat jelas kedua mempelai ini mempunyai keperibadian yang mulia, lemah lembut dan sentiasa menjaga tatasusila walau di mana mereka berada. 

Pasangan yang amat menjaga adat dan tatasusila

Kedudukan institusi Diraja merupakan satu kesinambungan sejarah kesultanan dan warisan penyejarahan Tanah Melayu sejak sebelum zaman kolonialisme lagi dan ia berlangsung sehingga kini.  Perkahwinan Diraja Pahang baru-baru ini dilihat sangat sarat dengan budaya tradisi dan adat sopan Melayu. Ini bertepatan dengan peranan pemerintah yang menjadi contoh kepada rakyat jelata. Maka, perkahwinan diraja kali ini benar-benar menonjolkan budaya dan adat sopan Melayu itu sangat indah dan mempunyai identiti yang tersendiri. Ini sangat membanggakan kita semua kerana dalam zaman moden ini, institusi Kesultanan Pahang masih mengekalkan adat dan budaya Melayu dalam istiadat perkahwinan Diraja ini. 

Diharap perkahwinan diraja ini menjadi inspirasi kepada masyarakat tempatan untuk mengekalkan ciri-ciri kemelayuan dan adab sopan yang baik dalam adat istiadat perkahwinan mereka nanti walaupun berada dalam zaman moden yang bercampur aduk dengan budaya luar. 

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News