Playing Victim sebagai Strategi Komunikasi Politik dan Kesan terhadap Kebertanggungjawaban Awam
Fenomena ‘Playing Victim’ atau ‘Mentaliti Mangsa’, tidak lagi terhad kepada interaksi interpersonal tetapi telah berkembang sebagai suatu bentuk strategi komunikasi politik dalam konteks demokrasi kini. Dalam arena politik, taktik ini merujuk kepada kecenderungan ahli politik, parti atau kelompok berkepentingan untuk menampilkan diri sebagai pihak yang dizalimi, dianiaya atau menjadi objek konspirasi setiap kali berdepan tekanan awam, kegagalan pentadbiran, kelemahan dasar atau dakwaan salah laku. Dalam kerangka ini, retorik mentaliti mangsa berfungsi bukan sahaja sebagai alat mempertahankan diri tetapi juga sebagai mekanisma strategik untuk memanipulasi persepsi awam, mengalihkan perhatian daripada isu sebenar dan meraih sokongan berasaskan sentimen.
Institusi pengajian tinggi (IPT) yang memainkan peranan penting dalam menyemai pemikiran kritis harus menekankan keperluan untuk menilai bagaimana retorik sedemikian mempengaruhi rasionaliti pengundian dan integriti tadbir urus. Secara umumnya, terdapat tiga ciri utama yang menjelaskan keberkesanan retorik “Mangsa Politik” dalam konteks kontemporari.
Pertama ialah strategi pengalihan tanggungjawab (deflection of accountability). Dalam keadaan pemimpin dipertanggungjawabkan atas kegagalan dasar, ketirisan fiskal atau dakwaan integriti, naratif mangsa sering diaktifkan sebagai bentuk respon defensif. Pemimpin terbabit cenderung menuding jari kepada ‘musuh politik’, ‘media yang berat sebelah’, atau ‘pengaruh asing’ sebagai punca kepada tekanan yang dihadapi. Tindakan ini mencipta kabus persepsi dalam kalangan masyarakat, menjauhkan fokus daripada perdebatan dasar yang objektif dan menggantikannya dengan wacana emosi yang kurang ilmiah.
Kedua, retorik mentaliti mangsa berfungsi dalam memperkukuh solidariti dan membina sokongan emosi. Dengan menampilkan diri sebagai kelompok yang sentiasa diancam, pemimpin dan parti tertentu berupaya mengukuhkan pengenalan kolektif berasaskan faktor etnik, agama atau ideologi. Sentimen dizalimi menjadi alat mobilisasi politik yang ampuh, membolehkan pemimpin mengekalkan kesetiaan penyokong biarpun rekod prestasi atau keupayaan pentadbiran mereka dipersoalkan. Naratif “kita menentang mereka” (us versus them) yang dibina melalui retorik ini juga sering merendahkan keutamaan rasionaliti dan mempertingkatkan polarisasi.
Ketiga, mentaliti mangsa berfungsi sebagai perisai terhadap kritikan dan halangan kepada pembaharuan. Apabila berdepan teguran daripada pembangkang, masyarakat sivil atau institusi penyelidikan, pemimpin yang bergantung kepada retorik mentaliti mangsa lazimnya menuduh bahawa kritikan tersebut merupakan sebahagian daripada plot untuk menjatuhkan mereka. Strategi sedemikian bukan sahaja menghalang penyemakan semula dasar secara objektif tetapi turut mewajarkan penolakan terhadap reformasi dalaman. Kesannya, status quo, walaupun sudah lapuk atau bermasalah dikekalkan tanpa usaha memperbaikinya.
Implikasi strategi retorik ini terhadap demokrasi dan tadbir urus adalah ketara. Dari perspektif demokrasi, wacana yang seharusnya bertumpu kepada isu dasar awam telah digantikan dengan pertarungan emosi dan naratif dramatik yang tidak produktif. Rasionaliti pengundi semakin terhakis apabila keputusan politik dibuat berdasarkan rasa simpati atau ketakutan bukannya penilaian terhadap rekod pentadbiran dan keberkesanan polisi. Dari sudut tadbir urus pula, pemimpin yang terperangkap dalam naratif mangsa cenderung mengalihkan tumpuan dan sumber untuk mempertahankan diri, membalas dakwaan atau memanipulasi persepsi awam. Ini menyebabkan pentadbiran bersifat reaktif, tidak strategik dan kurang memberi keutamaan kepada keperluan jangka panjang rakyat.
Bagi mendepani cabaran retorik mangsa dalam politik moden, tindakan kolektif diperlukan. Literasi politik dan media perlu dipertingkatkan agar masyarakat dapat menilai dakwaan politik berdasarkan bukti, bukan emosi. Kebertanggungjawaban berasaskan data harus menjadi norma manakala media dan masyarakat sivil perlu mengalihkan semula tumpuan awam kepada persoalan teras seperti rekod pentadbiran, integriti institusi dan keberkesanan dasar. Dalam masa yang sama, institusi akademik mempunyai tanggungjawab menyediakan analisis yang bebas dan kritikal, membantu masyarakat memahami strategi retorik secara lebih mendalam serta memastikan pemimpin dipertanggungjawabkan berdasarkan prestasi dan komitmen terhadap reformasi.
Kesimpulannya, retorik ‘Play Victim’ atau ‘Mentaliti Mangsa’ merupakan cabaran serius terhadap amalan demokrasi dan kualiti tadbir urus. Tanpa usaha bersepadu untuk meningkatkan keupayaan analitis masyarakat dan memperkukuh mekanisma semak dan imbang, strategi berasaskan permainan emosi seperti ini berpotensi terus melemahkan integriti sistem politik dan menghalang kematangan demokrasi dalam jangka panjang.

Oleh: Ahmad Ibrahim
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 3 views
Reports by: