Reformasi MADANI tuntut pentadbir berani, berilmu dan berintegriti
Pengumuman Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025 yang lalu, yang memperincikan inisiatif segera seperti bantuan tunai SARA RM100, penurunan harga RON95, dan pengekalan kadar tol, bukan sekadar langkah jangka pendek untuk meringankan beban rakyat. Ia juga merupakan isyarat jelas bahawa kerajaan sedang memperhebatkan usaha reformasi menyeluruh berdasarkan Pelan Induk Ekonomi dan Pembangunan Malaysia, RMK-13, yang menekankan pembangunan inovatif, tadbir urus baik, dan keberanian dalam melaksanakan perubahan besar.
RMK-13 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pula menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkasakan sistem ekonomi dan tadbir urus melalui pelaksanaan reformasi menyeluruh dan berani. Ia adalah selari dengan aspirasi MADANI yang menuntut penjawat awam, terutamanya dalam sektor pendidikan tinggi dan pentadbiran universiti, untuk tampil sebagai agen perubahan yang berilmu, berani dan berintegriti tinggi. Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz juga menegaskan bahawa penjawat awam perlu menjadi pemimpin perubahan yang mampu menongkah arus dan bukan sekadar pelaksana tugas biasa.
Sempena sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam pada 20 Ogos 2025 yang bertemakan ‘Pentadbir Unggul, Pemangkin Reformasi Universiti’, wajar kita menyoroti kembali peranan golongan pentadbir sebagai nadi penggerak perubahan dan pemangkin kecemerlangan pendidikan tinggi negara. Maka, memperkukuh profesionalisme pentadbir bererti memperkukuh daya tahan universiti itu sendiri. Pentadbir yang berilmu, berani dan berintegriti akan menjadi pemacu reformasi yang memastikan universiti bukan sekadar menara gading, tetapi benar-benar menjadi menara harapan rakyat.
Kepimpinan Berasaskan Ilmu
Di era digital dan persekitaran yang kompleks, keupayaan intelektual semata-mata tidak mencukupi. Pegawai awam khususnya pentadbir universiti mesti memiliki kefahaman mendalam terhadap landskap dasar, teknologi, serta keperluan masyarakat yang semakin dinamik. Mereka bukan sahaja penyelaras sistem, malah pemimpin komuniti ilmu yang berfungsi dalam ekosistem digital, berdata dan berpaksikan penyelidikan. Lantaran, pegawai awam mesti sentiasa melengkapi diri dengan ilmu yang relevan.
Kefungsian mereka tidak lagi boleh berasaskan rutin birokrasi semata. Ia mesti dibina melalui pembelajaran berterusan, penyelidikan tindakan, dan pemahaman dasar yang mendalam agar setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja sahih, tetapi memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat. Dengan ilmu yang mendalam, pentadbir mampu merangka polisi dan keputusan yang berkualiti, strategik, relevan, berwibawa dan berimpak tinggi.
Keberanian Memimpin Reformasi
Keberanian yang dimaksudkan bukan sekadar keberanian fizikal, tetapi keberanian moral dan profesional iaitu untuk menyatakan yang benar, mencuba pendekatan baharu (kaedah baharu yang belum diuji) serta mengubah sistem sedia ada yang tidak lagi relevan. Pentadbir perlu menjadi pemangkin perubahan, bukan hanya penjaga status quo.
Langkah-langkah pengumuman YAB Perdana Menteri yang kelihatan bersifat langsung kepada rakyat seperti subsidi bahan api bersasar, cuti tambahan, dan bantuan kos sara hidup sebenarnya membawa mesej yang lebih besar kepada penjawat awam yakni rakyat mendambakan perubahan yang segera tetapi berasaskan sistem. Maka, keberanian memimpin perubahan tidak hanya melibatkan reformasi besar-besaran, tetapi bermula dengan komitmen untuk memperkemas perkhidmatan, mempermudah urusan rakyat, dan memastikan setiap keputusan memberi impak berganda kepada kesejahteraan awam.
Menyedari hakikat tersebut, pentadbir di universiti juga perlu memimpin usaha memecah budaya silo, mempercepat pendigitalan, mengamalkan keputusan berasaskan data dan memastikan agenda kebolehpasaran pelajar terus menjadi keutamaan. Reformasi sebenar hanya berlaku apabila ada individu yang berani untuk mencetus dan mengurus perubahan, mengurus risiko serta melaksanakan tindakan dengan jujur dan berani.
Konsep ‘Bold Leadership’ yang diketengahkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menjadi inspirasi agar pemimpin mesti berani mencuba yang baharu, menolak yang lapuk dan membuat keputusan yang tidak selesa demi perubahan yang mampan. Negara seperti Singapura dan New Zealand membuktikan bahawa keberanian membawa hasil melalui reformasi digital, tadbir urus cekap, dan tindakan tangkas ketika krisis. Malaysia juga bergerak ke arah ini melalui MyDIGITAL, pemantapan tadbir urus serta pembangunan kepimpinan sektor awam yang cekap, profesional dan berteraskan nilai MADANI.
Sistem Kepimpinan Yang Adil dan Berwibawa
Singapura sering dijadikan rujukan sebagai negara yang berjaya menginstitusikan meritokrasi dalam sistem kepimpinan awam. Pemimpin dilantik bukan atas dasar populariti, tetapi berdasarkan kompetensi dan rekod prestasi. Proses pemilihan yang teliti, penilaian prestasi yang berterusan serta sistem imbuhan yang kompetitif membolehkan hanya individu yang benar-benar layak dan berwibawa memegang jawatan penting. Pendekatan ini telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan, kestabilan sosial dan amalan tadbir urus yang berintegriti tinggi.
Reformasi yang berkesan perlu bermula dengan sistem yang adil, telus dan berasaskan kelayakan sebenar. Dalam konteks pendidikan tinggi, kejayaan reformasi sangat bergantung kepada pelantikan kepimpinan pentadbiran yang menepati prinsip meritokrasi yakni hanya individu yang benar-benar memiliki kelayakan, pengalaman dan kecekapan diberi amanah untuk memimpin.

Pendekatan berasaskan kompetensi (competency-based) pula memberi penekanan kepada kecekapan teknikal dan kemahiran sebenar yang relevan dengan tanggungjawab yang dipikul. Manakala pendekatan berasaskan nilai (value-based) menuntut pemimpin menghayati dan mengamalkan prinsip integriti, akauntabiliti serta etika dalam setiap tindakan, kerana nilai-nilai ini menjadi teras kepada kepercayaan awam terhadap institusi perkhidmatan.
Budaya merit, kompetensi dan nilai ini tidak seharusnya menjadi slogan semata-mata, sebaliknya perlu dihayati sebagai DNA sebenar dalam pengurusan universiti. Ia harus diterjemahkan secara konsisten dalam semua aspek bermula daripada proses perolehan hingga kepada pembangunan dasar pelajar agar reformasi yang dihasratkan benar-benar memberi impak dan berlandaskan kepercayaan rakyat.
Universiti sebagai Nadi Perubahan
Perubahan landskap global yang pantas, tekanan fiskal, serta ekspektasi rakyat memerlukan penjawat awam yang progresif, kompeten dan berpaksikan nilai. Reformasi yang disarankan adalah jalan ke hadapan untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia sebagai jentera pentadbiran yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga dihormati dan diyakini.
Dalam mendepani arus perubahan landskap global yang kian kompleks, universiti masa kini bukan sekadar pusat ilmu, tetapi penggerak tamadun, pembina jati diri negara dan pemangkin kemajuan teknologi. Pentadbir universiti adalah jambatan antara dasar negara dan masyarakat, antara aspirasi pelajar dan realiti industri.
Pembangunan bakat mereka harus menyeluruh iaitu merangkumi pengukuhan kompetensi teknikal, kefahaman dasar, serta pembudayaan nilai dan tanggungjawab sosial. Latihan transformatif dan berterusan perlu menjadi norma agar pentadbir universiti mampu bertindak tangkas dalam dunia yang pantas berubah.

Maka itu, pentadbiran universiti harus bergerak seiring dengan arus pembaharuan, menstruktur semula operasi, memperkemas tadbir urus, serta memastikan dasar pendidikan tinggi lebih lestari, inklusif dan berdaya saing. Semua ini menuntut kepimpinan pentadbiran yang cekap, profesional dan berteraskan nilai.
Pemimpin Harapan MADANI
Pentadbir universiti hari ini tidak boleh lagi hanya melihat kepada petunjuk prestasi institusi, tetapi mesti meletakkan nilai dan rakyat sebagai penanda aras utama kejayaan. Kepimpinan mereka mesti berpaksikan ilmu, digerakkan oleh integriti dan diterajui keberanian moral demi membentuk universiti sebagai menara harapan rakyat, bukan sekadar menara gading. Mereka adalah pemimpin harapan, yang membentuk masa depan negara melalui kepimpinan yang berpaksikan nilai, berani menongkah arus, dan berwawasan jauh.
Reformasi yang digariskan ini bukan wacana kosong, tetapi peta jalan menuju perkhidmatan awam yang diyakini rakyat. Universiti dan pentadbirnya harus berdiri di barisan hadapan bukan sebagai pelaksana semata, tetapi sebagai pemimpin yang membentuk masa depan negara. Kepimpinan mereka harus melangkaui fungsi birokrasi, sebaliknya membentuk budaya kerja yang dinamik, lestari dan berteraskan nilai murni.
Oleh itu, universiti yang cemerlang bukan hanya dinilai melalui ranking global, tetapi pada keupayaannya melahirkan generasi kepimpinan yang seimbang, berilmu dan berakhlak. Di sinilah peranan pentadbir sebagai pemimpin perubahan begitu signifikan. Apabila pentadbir universiti berjaya membudayakan nilai merit, integriti dan keberanian dalam setiap tindakan, maka ianya dapat mendokong sebuah negara yang lebih berdaya saing, berprinsip dan berperadaban.
Justeru, sempena Hari Pentadbir Universiti Awam 2025, marilah kita memperkukuh tekad untuk membudayakan nilai merit, integriti dan keberanian dalam setiap tindakan. Hanya dengan pentadbir unggul, reformasi universiti akan benar-benar terlaksana.

Oleh: Mohd Raizalhilmy Mohd Rais
E-mel: hilmy@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pengurus Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UMPSA dan Penasihat Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PPTI) UMPSA.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 93 views
Reports by: