Selamat Datang ke UMPSA Hiasilah Ilmu dengan Adab, Kerana Adab ialah Mahkota Ilmu
“Ilmu tanpa adab hanya meninggikan ego, manakala ilmu yang dihiasi adab akan meninggikan darjat di sisi manusia dan Allah SWT.”
Suasana pendaftaran pelajar baharu Diploma Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini bukan sekadar menyaksikan ribuan anak muda melangkah ke alam pengajian tinggi, malah menjadi detik bermulanya sebuah perjalanan untuk membentuk insan yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.
Di sebalik senyuman yang terukir, pelukan ibu bapa yang penuh harapan serta debaran meninggalkan alam persekolahan, terselit satu amanah besar yang perlu dipikul oleh setiap mahasiswa. Amanah itu bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan yang cemerlang, tetapi membentuk peribadi yang luhur melalui adab yang mulia.
Sebagai sebuah universiti yang menjunjung aspirasi melahirkan graduan holistik, UMPSA bukan sahaja menawarkan kecemerlangan akademik dan teknologi, malah menitikberatkan pembinaan sahsiah. Di sinilah bermulanya proses mendidik mahasiswa agar menghormati pensyarah, menghargai ibu bapa, berbakti kepada masyarakat serta saling membantu antara rakan tanpa mengira latar belakang.

Kehidupan di kolej kediaman juga menjadi madrasah kehidupan. Di sinilah mahasiswa belajar mengurus masa, berkongsi ruang, menghormati privasi orang lain dan memupuk semangat kebersamaan. Adab dalam kehidupan seharian inilah yang akhirnya membentuk nilai kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial.
Abdullah bin Mubarak rahimahullah pernah berpesan, “Tidaklah seseorang menjadi pintar dalam ilmu, selama dia tidak menghiasi ilmunya dengan adab.”
Pesanan ini amat relevan untuk mahasiswa baharu UMPSA. Kecanggihan teknologi, kecemerlanagn akademik dan kemahiran profesional akan lebih bermakna apabila disertai dengan akhlak yang baik, tutur kata yang sopan dan hati yang rendah diri.

Selamat datang kepada seluruh mahasiswa diploma ambilan baharu UMPSA. Jadikanlah kampus ini sebagai tempat menimba ilmu, membina persahabatan, mengasah kepimpinan dan memperkukuh nilai kemanusiaan. Bawalah semangat untuk belajar dengan tekun, berbakti dengan ikhlas dan sentiasa menghormati setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.
Kerana akhirnya, kejayaan seorang graduan bukan hanya diukur melalui segulung diploma, tetapi melalui adab yang menjadi cerminan dirinya sepanjang hayat.
Selamat datang ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. Hiasilah ilmu dengan adab, kerana adab adalah mahkota kepada ilmu.

Disediakan Oleh: Rosjuliana Hidayu Rosli
E-mel: rosjuliana@umpsa.edu.my
Penulis ialah Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
- 75 views
Reports by: