Semangat pejuang: Analisis psikologi peserta misi Sumud Flotilla
Ketika dunia sering dibaluti rasa tidak peduli, muncul sekelompok manusia yang sanggup mengorbankan keselesaan demi satu misi kemanusiaan. Mereka ialah peserta Misi Sumud Flotilla, yang berlayar menembusi lautan demi membawa mesej solidariti dan bantuan kepada saudara di Gaza. Namun, di sebalik liputan media yang menonjolkan aspek fizikal perjuangan mereka, tersimpan satu sisi yang jarang dibicarakan iaitu aspek psikologi dan semangat juang yang menjadi nadi kekuatan mereka. Aspek inilah yang menjadikan mereka terus kekal dalam perjuangan. Bukan ganjaran kehebatan tetapi kerana kasih sayang yang wujud.
Konsep ‘Sumud’ dan Daya Tahan Psikologi
‘Sumud’ berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud keteguhan, ketabahan, dan keutuhan jiwa dalam menghadapi ujian. Dalam konteks psikologi, konsep ini hampir serupa dengan istilah psychological resilience atau daya tahan psikologi yang memberi keupayaan kepada seseorang menyesuaikan diri dengan tekanan, cabaran, dan trauma tanpa kehilangan arah nilai diri. Bagi peserta misi, semangat sumud ini bukan sekadar slogan, tetapi manifestasi ketahanan psikospiritual. Mereka berangkat dengan kesedaran bahawa perjalanan bukan hanya fizikal, tetapi juga ujian emosi dan iman. Keadaan cuaca yang ekstrem, ketidakpastian keselamatan, dan kemungkinan ancaman serangan bukanlah sekadar risiko luaran, tetapi juga cabaran terhadap kestabilan mental.
Motivasi Intrinsik dan Altruisme
Kajian psikologi motivasi menunjukkan bahawa altruisme atau keinginan membantu tanpa kepentingan diri sendiri merupakan salah satu bentuk motivasi intrinsik tertinggi. Peserta flotilla didorong oleh nilai kemanusiaan, keadilan, dan spiritual. Dari perspektif Self-Determination Theory (Deci & Ryan, 2000), semangat mereka berpaksikan tiga keperluan asas manusia iaitu autonomi. Mereka memilih untuk bertindak atas kesedaran moral sendiri. Kompetensi, mereka merasa mampu menyumbang sesuatu terhadap perjuangan Palestin. Yang terakhir adalah hubungan (relatedness). Mereka merasakan elemen kemanusiaan sejagat yang melampaui sempadan bangsa dan agama. Gabungan ketiga-tiga aspek ini membentuk emosi positif yang berpanjangan, sekali gus mengekalkan kestabilan mental walaupun berdepan risiko.
Kekuatan Spiritual dan Ketenangan Iman
Dari sisi psikologi Islam, kekuatan utama peserta flotilla datang daripada pengharapan dan pergantungan dan niat yang ikhlas. Faktor spiritual ini bukan sahaja semangat yang wujud, terapi pergantungan kepada kejayaan yang ini dicapai. Kombinasi berfungsi sebagai sistem pengatur emosi. Apabila seseorang memakani risiko sebagai sebahagian daripada takdir Ilahi, maka rasa takut dan cemas ditransformasikan menjadi rasa berharap dan yakin. Konsep ini sejajar dengan teori meaning-making oleh Park (2010), yang menyatakan bahawa apabila manusia memberi makna kepada penderitaan, mereka akan lebih tabah dan mampu mengawal tekanan.
Kesan Psikologi Kolektif dan Sokongan Sosial
Peserta misi flotilla bukan individu tunggal, tetapi sebahagian daripada komuniti pejuang kemanusiaan. Pengalaman bersama mencipta fenomena yang disebut collective efficacy semangat dan kepercayaan kumpulan terhadap kemampuan mereka mencapai matlamat bersama (Bandura, 1997). Sokongan sosial daripada rakan sepasukan, masyarakat Malaysia dan ummah global membentuk rangkaian emosi positif yang melindungi mereka daripada keletihan psikologi (compassion fatigue). Setiap mesej doa dan solidariti menjadi penguat jiwa dalam menghadapi cabaran.
Trauma yang juga Pertumbuhan
Tidak dinafikan, sebahagian peserta mungkin mengalami tekanan psikologi pascamisi, termasuk keletihan emosi, mimpi buruk, atau rasa kecewa terhadap dunia yang tidak adil. Namun, fenomena ini sering beriringan dengan apa yang disebut sebagai post-traumatic growth atau pertumbuhan peribadi selepas pengalaman getir. Mereka belajar erti sabar, empati, dan keberanian. Hal ini berubah seiring dengan persediaan mereka dan semangat juang yang tinggi selain pergantungan kepada Allah. Pernah diungkapkan oleh Viktor Frankl (1946), ‘Mereka yang memiliki why untuk hidup, dapat menanggung hampir apa saja how dalam kehidupan.’ Bagi para pejuang flotilla, why mereka ialah kemanusiaan dan kepercayaan dan how mereka adalah semangat yang tidak pernah berhenti dari membebaskan manusia.
Semangat pejuang peserta misi Sumud Flotilla bukanlah lahir dari kemarahan, tetapi daripada cinta dan kasih sayang. Kasih ini yang menyemai personaliti kemanusiaan yang mahukan keadilan, hak kemanusiaan terhadap semua manusia. Dari sudut psikologi, mereka mewakili puncak resilience, iaitu jiwa manusia mencapai keseimbangan antara akal, emosi, dan spiritual. Dalam dunia yang sering tenggelam dalam apati, kisah mereka mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar bukan pada senjata atau kekuasaan, tetapi pada jiwa yang tidak tunduk kepada kezaliman. Itulah hakikat semangat sumud yang membuktikan keteguhan yang lahir daripada hati yang memahami kemanusiaan dan insan yang berjiwa besar.

Para Aktivis yang mengambil bahagian dalam Global Sumud Flotilla, dalam misi menuju ke Gaza bagi memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin menaiki sebuah bot layar di pelabuhan utara Bizerte, Tunisia pada 13 September 2025. Foto: Al Jazeera

Para peserta Global Sumud Flotilla (GSF) berlepas dari Barcelona, Sepanyol menuju ke Gaza pada 1 September 2025. Foto: https://harapanmadani.com/

Oleh: Dr. Norizan Yusof
E-mel: norizanyusof@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 69 views
Reports by: