Semester baharu, semarakkan dengan semangat ‘화이팅’ Hwaiting!
Semester baharu sentiasa hadir dengan seribu satu harapan dan cabaran. Sebagai seorang pelajar, semester baharu merupakan peluang untuk membuka lembaran baharu, menulis kisah yang lebih gemilang, serta menambah pengalaman berharga dalam perjalanan akademik. Di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), setiap permulaan semester bukan sekadar tentang buku, kuliah, dan peperiksaan, tetapi lebih besar daripada itu. Semester baharu adalah ruang untuk membina jati diri, memperkukuh nilai, dan menanam tekad untuk berjaya.
Dalam budaya Korea, terdapat satu kata semangat yang begitu ikonik, iaitu ‘Hwaiting!’. Seruan ini tidak hanya bermakna ‘semangat!’ tetapi membawa makna dorongan untuk terus berusaha, jangan berputus asa, dan cekal dalam menghadapi cabaran. Semangat ‘Hwaiting’ inilah yang boleh dijadikan inspirasi dalam mengharungi semester baharu, seiring dengan nilai teras UMPSA yang mendidik warga kampus untuk teguh, cekal, serta berprinsip dalam apa jua keadaan.
Teguh dalam Mempertahankan Prinsip
Setiap pelajar UMPSA diseru untuk berpegang pada prinsip yang disepakati, sama ada dalam aspek akademik mahupun kehidupan seharian. Semester baharu sering hadir dengan pelbagai peluang dan cabaran, namun dalam mengejar kejayaan adalah penting untuk sentiasa teguh memegang integriti. Elakkan budaya meniru, ketepikan sikap sambil lewa, dan jauhi jalan pintas yang boleh menjejaskan maruah diri dan merosakkan masa hadapan.
Seperti semangat ‘Hwaiting!’, keteguhan ini adalah tiang seri yang memastikan setiap langkah berada di landasan yang betul. Apabila seseorang itu berpegang kepada prinsip, kejayaan yang dikecapi menjadi lebih bermakna kerana kejayaan itu hadir daripada usaha yang tulus dan jujur.

Cekal dalam Menghadapi Cabaran
Semester baharu juga tidak akan lari daripada cabaran dan tugasan yang bertimbun, projek kumpulan yang rumit, mahupun peperiksaan yang mendebarkan. Namun, di sinilah nilai cekal yang menjadi teras UMPSA perlu diterapkan. Seorang pelajar yang cekal tidak mudah berputus asa. Walaupun pernah gagal, mereka bangkit dengan lebih kuat. Walaupun pernah kecewa, mereka memilih untuk terus berusaha. Semangat ‘Hwaiting!’ mendorong kita untuk berkata: “Aku mampu, aku tidak akan menyerah.” Dengan sikap inilah setiap cabaran dapat ditukar menjadi pengalaman yang mendidik, menguatkan daya tahan dan cekal dalam menghadapi apa jua cabaran.
Menyemai Budaya Sokongan dan Kebersamaan
Di UMPSA, kejayaan tidak hanya milik individu tetapi juga hasil daripada kebersamaan. Justeru, sokongan antara rakan, pensyarah, dan komuniti kampus adalah tunjang yang menguatkan. Seperti masyarakat Korea yang sering melaungkan ‘Hwaiting!’ untuk menyokong sahabat mereka, pelajar UMPSA juga perlu mengamalkan budaya saling memberi dorongan.
Kata-kata semangat yang kecil mampu memberi impak besar. Seorang sahabat yang letih menyiapkan tugasan mungkin kembali bersemangat apabila diberi dorongan. Pensyarah yang ikhlas membimbing memberi ilham untuk terus berusaha. Inilah semangat komuniti yang menjadikan UMPSA sebagai medan pembentukan insan seimbang dan berdaya saing.
Mencapai Kejayaan dengan Semangat ‘Hwaiting!’
Semester baharu umpama kertas putih. Warnailah ia dengan usaha gigih, kesungguhan, dan semangat pantang menyerah. Jadikan nilai teras UMPSA sebagai panduan dan sematkan seruan ‘Hwaiting!’ dalam setiap langkah.
Kejayaan bukan semata-mata diukur pada keputusan peperiksaan, tetapi juga pada kemampuan pelajar untuk kekal teguh, berdisiplin, dan mengekalkan semangat juang hingga ke penghujung perjalanan.
Semester baharu ini, marilah kita melangkah bersama dengan semangat ‘Hwaiting!’. – Semangat yang menggabungkan keteguhan prinsip, ketabahan menghadapi cabaran, dan keyakinan untuk mencapai kecemerlangan.
Seluruh Pelajar UMPSA, Hwaiting!

Oleh: Zatul Amrah Mohammad Nazri
E-mel: amrahz@umpsa.edu.my
Guru Bahasa Korea, Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Oleh: Mahzaton Aqma Abu Talip
E-mel: mahzaton@umpsa.edu.my
Guru Bahasa Korea, Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 113 views