Semester baharu UMPSA kembali meriah di bulan Ramadan
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah memulakan Semester 2 bagi sesi 2024/2025 pada 10 Mac 2025 di kedua-dua kampusnya, iaitu di Pekan dan Kampus Gambang. Kali ini, permulaan semester berbeza kerana semester bermula pada bulan Ramadan yang memberi kelainan kepada para pelajar, terutama bagi mereka yang beragama Islam yang sedang menunaikan ibadah puasa. Suasana ini memberikan impak yang berbeza berbanding semester sebelumnya dan memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai pengalaman yang unik.
Menyesuaikan diri dengan nilai-nilai Ramadan
Dengan semester yang bermula dalam bulan Ramadan, pelajar UMPSA berpeluang untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai nilai yang terkandung dalam bulan suci ini. Nilai seperti kesabaran, saling bantu-membantu dan menjaga kesejahteraan fizikal serta mental sangat relevan dengan kehidupan kampus. Keadaan ini juga selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menggalakkan integrasi sosial dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Pelajar-pelajar di UMPSA memanfaatkan masa ini untuk meningkatkan semangat kerjasama dan memupuk keharmonian dalam kalangan rakan-rakan mereka.

Keharmonian di antara pelajar beragama Islam dengan bukan Islam
Bulan Ramadan juga memberikan peluang kepada pelajar bukan Islam untuk memahami dengan lebih mendalam amalan puasa dalam kalangan pelajar beragama Islam. Walaupun mereka tidak berpuasa, mereka dapat merasai kemeriahan suasana Ramadan dengan membeli pelbagai juadah di bazar Ramadan UMPSA. Di sini, pelajar daripada pelbagai kaum termasuk pelajar India turut serta merasai kegembiraan bersama. Selain itu, mereka turut diberi peluang untuk berbuka puasa bersama-sama rakan-rakan Muslim, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna. Aktiviti seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, tetapi juga memupuk sikap menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya serta kepercayaan.

Saling Menghormati dan Memperkukuh Perpaduan
Para pelajar bukan Islam di UMPSA juga berpeluang mengamati bagaimana pelajar Islam menguruskan kehidupan mereka sepanjang bulan Ramadan. Ini bukan sahaja memberi mereka pemahaman yang lebih baik tentang amalan berpuasa, tetapi juga mengeratkan hubungan di antara pelajar beragama Islam dengan bukan Islam. Dalam semangat Malaysia Madani, pengalaman ini menyokong keharmonian dan keterangkuman di dalam kampus, sekali gus meningkatkan rasa saling menghormati antara agama dan kaum.
Semangat Belajar yang Tidak Pernah Luntur
Walaupun dalam suasana bulan Ramadan yang penuh dengan cabaran, para pelajar UMPSA tetap memberi tumpuan penuh dalam pembelajaran. Semangat juang mereka tetap kukuh, menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap ilmu dan pendidikan. Mereka datang ke kelas se awal pagi dengan penuh semangat bagi memulakan semester baharu mereka. Selain itu, mereka juga datang secara berkumpulan dengan rakan-rakan ke kelas atau makmal untuk aktiviti yang telah ditetapkan ketika semester berbuka.

Selain sibuk dengan persiapan akademik, pelajar UMPSA turut mengambil peluang untuk meriahkan suasana dengan aktiviti-aktiviti pra-Raya. Suasana keceriaan ini mengeratkan lagi hubungan antara pelajar, sekali gus mencipta kenangan manis sebelum menyambut kedatangan Hari Raya. Aktiviti-aktiviti ini turut memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi kegembiraan dan memperkukuhkan semangat kekeluargaan dalam kalangan rakan-rakan di kampus.

Perkongsian Pengalaman Unik Pelajar ketika Bulan Ramadan di UMPSA
Pelbagai pandangan menarik turut dikongsi oleh para pelajar mengenai pengalaman mereka di bulan Ramadan. Dewi Auni Asyiqeen Mohd Noorashidin, seorang pelajar dari Fakulti Pengurusan Teknologi (FIM) berkongsi bahawa permulaan semester di bulan Ramadan memberikan pengalaman yang berbeza baginya. Walaupun sedikit keletihan, beliau tetap berasa gembira kerana dapat berkongsi amalan Ramadan dengan rakan-rakan termasuk yang bukan beragama Islam.
Muhammad Izzudin Muhammad Rahmat juga dari FIM pula menyatakan bahawa ini adalah pengalaman pertama beliau berpuasa bukan di rumahnya tetapi bersama rakan-rakan di kampus. Walaupun berjauhan dengan keluarga, beliau rasa dihargai oleh rakan-rakan yang berkongsi makanan semasa berbuka, sahur dan moreh. Mereka juga mengambil kesempatan untuk berbuka puasa di masjid universiti dan menunaikan solat Tarawih bersama-sama.
Bagi Mohammad Azhar Jailani, pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), permulaan semester pada bulan Ramadan menuntut beliau untuk bijak menguruskan masa antara akademik dan ibadah. Beliau menganggap pengalaman ini sebagai satu peluang untuk lebih matang dalam mengimbangi tanggungjawab serta lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan tuntutan agama.
Manakala menurut pelajar Asasi yang berasal dari Kuching, Sarawak iaitu Tommy Ling Ngie Siang, beliau sangat gembira memulakan semester kali ini. Hal ini kerana beliau dapat pergi ke Bazar Ramadan dan berpeluang terlibat dalam proses pembikinan rakaman video ucapan raya. Ini merupakan pertama kali beliau berpeluang membuat ucapan Hari Raya untuk diabadikan dalam bentuk video rakaman.
Kishory Ann pelajar Asasi juga memaklumkan beliau juga gembira kerana dapat terlibat dalam proses rakaman video ucapan hari raya. Dalam video tersebut, beliau tampil mengenakan pakaian tradisional kaum Melayu iaitu baju kurung. Beliau berharap video yang dirakamkan bersama-sama rakan sekelasnya akan menghiburkan penonton yang menyaksikannya.
Akhir sekali, menurut Muhammad Arif Akmal Mohd Yusoff yang merupakan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Simpanan (PALAPES) Udara UMPSA walaupun semester ini bermula pada bulan Ramadan, ini tidak menghalang beliau untuk meneruskan latihan badan beruniform ini di samping menghadiri kelas-kelas akademik seperti sedia kala. Lazimnya, pada hujung minggu beliau juga menghabiskan waktu untuk menelaah pelajaran bersama-sama rakan-rakannya sebelum pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ramadan memupuk perpaduan dan saling menghormati
Kesimpulannya, permulaan semester yang jatuh pada bulan Ramadan memberi peluang unik bagi mempererat hubungan di antara pelajar beragama Islam dengan bukan Islam di UMPSA. Suasana Ramadan ini bukan sahaja mengajarkan nilai kesabaran, penghormatan dan kebersamaan, tetapi juga mengukuhkan perpaduan antara pelbagai budaya dan agama. Pengalaman yang diperoleh sepanjang bulan Ramadan ini tidak hanya memperkayakan perjalanan pembelajaran mereka. Pelajar juga secara tidak langsung dilatih menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, yang mampu menyumbang kepada keharmonian dan kemajuan negara.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Berhati-hati pulang ke kampung.

Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
jamilahbebe@umpsa.edu.my

Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
leonghuitheng@umpsa.edu.my

Guru Bahasa
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
leechengmay@umpsa.edu.my

Pelajar Latihan Industri (Guru Bahasa)
Pusat Bahasa Moden (PBM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 78 views