Sisi Gelap Pempengaruh
Menurut Kamus Dewan, media sosial boleh dipecahkan kepada kata akar.
Media ditakrifkan sebagai alat perantara, komunikasi atau perhubungan, manakala sosial didefinisikan sebagai perihal kemasyarakatan dan pergaulan.
Sejarah awal kemunculan media sosial ini bermula pada tahun 1978 dengan penemuan ‘papan buletin’ berfungsi untuk muat turun maklumat dan komunikasi melalui surat elektronik.
Media sosial terus berkembang sejak dari itu sehingga ia menerobos segenap aspek kehidupan kita.
Pelbagai faedah telah kita nikmati hasil media sosial yang wujud pada hari ini.
Faedah seperti menjana pendapatan, kemudahan berkomunikasi secara lisan dan video, membeli barangan dalam talian, mencari kenalan baharu, menambah pengetahuan dan maklumat semasa, perkongisan hobi dan lain-lain lagi.
Selain itu, media sosial telah melahirkan satu kerjaya baharu iaitu pempengaruh.
Menjadi pempengaruh di media sosial boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan daripada pelbagai sumber.
Walaupun memperoleh pendapatan yang lumayan, terdapat sisi buruk dalam kerjaya pempengaruh.
Sisi buruk atau gelap kerjaya pempengaruh ini telah dirumuskan dengan baik oleh Luke Nichols, pengendali media sosial ‘Outdoor Boys’.
Luke Nichols menggunakan media sosial beliau untuk berkongsi dengan para pengikut beliau aktiviti luar bersama anak-anak beliau, Tommy, Nate, dan Jacob seperti berkhemah, memancing, mencari fosil, menghidupkan unggun api, membina kabin, dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti luar yang dilakukakn bersama ahli keluarga beliau.
‘Outdoor Boys’ dikendalikan oleh beliau bermula enam tahun yang lalu dan mempunyai 15.4 juta pengikut di saluran YouTube, 507 ribu di Facebook, dan 959 ribu di Instagram.
Pada 21 Mei 2025 yang lalu, beliau memuat naik satu video berdurasi 4 minit 47 saat dengan tajuk ‘Goodbye’ di saluran Youtube beliau.
Dalam video tersebut, beliau menerangkan sebab-sebab kenapa beliau akan berhenti memuat naik video-video baharu di media sosial beliau.
Sebab utama beliau akan berhenti dari menjadi pempengaruh ialah ketiadaan privasi dalam kehidupan beliau dan keluarga.
Beliau menceritakan bahawa berulang kali beliau cuba dihubungi oleh para pengikut beliau di media sosial untuk mengetahui tempat tinggal beliau.
Tambahan pula, beliau dan keluarga sering diganggu oleh para peminat yang mahu bercakap dan mengambil gambar beliau serta keluarga di tempat awam.
Ini menjadikan beliau dan ahli keluarga berasa tidak selesa setiap kali keluar di tempat awam kerana sering kali diminta oleh peminat untuk bergambar.
Oleh yang demikian, beliau mengambil keputusan untuk berhenti sebelum keadaan ini berada di luar dari kawalan beliau.
Ini tidak bermakna beliau sudah lagi tidak menikmati aktiviti luar bersama ahli keluarga beliau.
Sebab kedua beliau berhenti menjadi pempengaruh ialah video-video beliau sering dicuri oleh pempengaruh lain di media sosial.
Secara rasmi, saluran Youtube beliau memperolehi 2.8 bilion tontonan.
Sebaliknya, 4 bilion tontonan diperoleh dari video-video beliau yang dicuri dan dimuat naik di media sosial pempengaruh yang lain.
Ini sedikit sebanyak menjejaskan sumber pendapatan beliau kerana tontonan di media sosial yang tinggi mampu memberikan pendapatan yang lumayan.
Akhir sekali, begitu banyak sekali masa, tenaga dan wang yang dihabiskan untuk menyiapkan dan memuat naik video-video di saluran Youtube beliau.
Beliau teringat semula bagaimana beliau berulang kali terpaksa berjaga hingga lewat malam semata-mata untuk menyiapkan video-video yang akan dimuat naik di saluran Youtube.
Budaya atau bekerja keras demi mendapatkan hasil yang terbaik ini tersemat dengan begitu jitu di dalam diri beliau.
Sebagai contoh, beliau teringat kembali bagaimana beliau terus berkhemah walaupun diserang penyakit pneumonia.
Tambahan pula, beliau berkongsi bagaimana beliau berusaha keras untuk menyiapkan kabin walaunpun mengalami kecederaan fizikal ketika itu.
Masalah utama budaya bekerja keras ini ialah akan menghasilkan ‘burnout’ atau keletihan yang melampau dan mampu menjejaskan kesihatan mental individu.
Atas sebab-sebab berikut, beliau mengambil keputusan untuk berhenti buat seketika dari menjadi pempengaruh.
Walau bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk menjadi mentor kepada anak-anaknya kerana mereka juga berhasrat untuk menjadi pempengaruh di masa hadapan.
Kerjaya pempengaruh mempunyai pelbagai kebaikan dan keburukan, bergantung kepada kandungan yang dimuatnaik di media sosial.
Walau bagaimanapun, apa yang pasti ialah kerjaya pempengaruh merupakan kerjaya yang pendek dan tidak mampu dilakukan dalam jangkamasa yang panjang.
Oleh itu, pempengaruh perlu menyiapkan diri dengan rancangan jangka masa panjang untuk beralih kepada kerjaya baharu yang lebih baik.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Disediakan Oleh : DR. AHMAD MAHFUZ BIN GAZALI
E-mel : mahfuz@umpsa.edu.my
- 109 views