Skip to main content
Sudah Tiba Masanya Pendidikan Integriti Diperkenalkan Di Sekolah

Sudah Tiba Masanya Pendidikan Integriti Diperkenalkan Di Sekolah

Dalam kesibukan negara kita memfokuskan kepada pembangunan sains, teknologi dan perindustrian, tanpa disedari nilai-nilai integriti telah dipandang sepi dan dilihat tidak mempunyai tempat dalam usaha pembangunan modal insan. Melihat kepada timbulnya kes yang melibatkan  rasuah yang semakin tinggi tanpa mengira pangkat dan darjat, sudah sampai masanya kita memandang ke bawah dan melihat kembali di manakah kesilapan dalam mendidik generasi yang bakal mewarisi pemerintahan dan pembangunan negara sebelum ini. Integriti tidak boleh dijadikan isu politik atau isu sensitif di negara ini. Ia merupakan isu yang perlu ditangani agar tidak terus menjadi barah kepada masyarakat Malaysia sehingga boleh menghancurkan tamadun bangsa Malaysia pada masa hadapan.

Berdasarkan statistik tangkapan rasuah oleh pihak SPRM Malaysia bermula Januari hingga Ogos 2018 sudah jelas memperlihatkan bahawa masyarakat Malaysia semakin longgar integritinya. Berdasarkan statistik tersebut, paling banyak tangkapan adalah berlaku dalam kalangan sektor perkhidmatan awam dan orang awam. Bagi sektor perkhidmatan awam kebanyakan mereka yang terlibat adalah dalam kalangan golongan pengurusan dan professional. Manakala bagi sektor awam pula, golongan yang paling banyak tertangkap adalah dalam kalangan orang awam berbanding dengan pekerja swasta. Secara kasarnya, jika dilihat pada statistik tangkapan yang dibuat pada bulan Mei sahaja sebanyak 70 peratus penjawat awam yang ditangkap berbanding dengan 30 peratus tangkapan dalam kalangan orang awam. Bagi bulan Ogos pula memperlihatkan sebanyak 55.65 peratus tangkapan telah dibuat dalam kalangan penjawat awam berbanding 44.35 peratus tangkapan bagi orang awam. Secara umumnya, terdapat kenaikan dan penurunan peratus tangkapan bagi kedua-dua sektor tersebut, walau bagaimanapun, golongan pengurusan dan profesional serta orang awam banyak yang terlibat dengan isu yang melibatkan integriti ini iaitu rasuah.

Persoalannya bagaimanakah untuk mengatasi dan mengurangkan masalah integriti ini dari terus menular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini dan pada masa akan datang? Dalam hal ini, kita perlu berbalik semula kepada sistem pendidikan di negara ini. Tidak dinafikan negara ini sedaya upaya mahu agar rakyatnya celik teknologi agar tidak ketinggalan dalam arus globalisasi yang melanda dunia hari ini. Walau bagaimanapun, pendidikan integriti seharusnya diperkemaskan dan dinilai semula agar ia menjadi nilai penting yang perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan di negara ini. Justeru itu, nilai bersih dan amanah perlu dinilai semula agar ia menjadi sebahagian dari pendidikan memupuk sikap integriti dalam kalangan generasi muda.

Pemupukan nilai-nilai murni seperti ini sebenarnya telah dilancarkan pada pertengahan April 1982, oleh Y.A.B. Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad yang memfokuskan kempen Bersih, Cekap dan Amanah sebagai satu dasar yang menjadi amalan kepada semua masyarakat di negara ini khususnya kakitangan awam. Konsep ini adalah selaras dan sebagai asas kepada Kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 19hb. Mac,1983. Jika dahulu nilai seperti Bersih, Cekap dan Amanah telah dijadikan sebagai wadah atau asas dalam membangunkan integriti sektor awam di negara ini, maka ia perlu diperhalusi semula sesuai dengan keperluan negara pada masa kini. Di sini diterangkan semula apakah yang dimaksudkan dengan nilai Bersih, Cekap dan Amanah tersebut.

Nilai Bersih

Jika berdasarkan kepada teras nilai bersih yang diutarakan oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, bersih itu bermakna mempunyai nilai moral yang tinggi, bertatatertib dan berdisiplin, tidak menyeleweng dan tidak rasuah. Secara amnya ada tiga perkara yang ditekankan iaitu berkecuali dan tidak memihak ke mana-mana atau berat sebelah, tidak mementingkan diri sendiri dan tidak khianat, hasad dan dengki.

Penerapan nilai bersih dalam diri pelajar ini bukan sahaja membawa maksud bersih dari segi penampilan dan pakaian, malahan bersih dari pelbagai elemen negatif yang boleh merosakkan diri, agama, bangsa dan negara. Para pelajar harus disedarkan tentang pengamalan nilai bersih semasa menjadi mahasiswa lagi. Pelajar perlu didisiplinkan dengan penampilan yang sentiasa kemas semasa menghadiri kuliah atau kelas, pengamalan kebersihan di bilik asrama, kampus dan juga kelas. Itu penerapan nilai bersih secara fizikal. Manakala penerapan nilai bersih dari aspek rohani pula adalah pelajar perlu didisiplinkan dari aspek tidak mengamalkan budaya “copy paste” iaitu menciplak hak orang lain tanpa kebenaran, tetapi mempraktikkan hasil kerja original dan membentuk paten sendiri dalam penghasilan sesuatu kerja. Selain itu, pelajar juga tidak boleh terpengaruh dengan budaya negatif yang boleh merosakkan akhlak dan sahsiah seperti perjudian, lepak, dadah, gangster, pergaulan bebas, seks bebas, vandalism, berpuak-puak, dan memihak kepada pihak tertentu. Pelajar juga tidak boleh mementingkan diri sendiri justeru itu diperkenalkan gerak kerja secara berkumpulan, serta mengikis sikap iri hati dan dengki sesama sendiri.

Nilai Cekap

Remaja masa kini perlu mempunyai semangat berani dalam membuat sesuatu keputusan. Justeru itu, penerapan nilai cekap adalah tepat sekali. Berdasarkan kepada nilai yang dikemukakan melalui Cekap adalah membawa maksud berani dan cepat membuat keputusan dalam beberapa perkara seperti:

a. Menghadapi krisis dengan tenang

b. Bersikap tegas kepada prinsip.

c. Mempunyai produktiviti yang tinggi dan kualiti dalam kerja.

d. Mempunyai keyakinan diri.

e. Berpandangan jauh - proaktif dan bukan reaktif.

f. Berpengetahuan, berpengalaman dan mahir dalam bidang-bidang tertentu.

Kesemua elemen di atas dilihat kurang dipraktikkan oleh generasi muda hari ini. Disebabkan pengaruh digital dan teknologi dapat dilihat generasi kini kurang berdaya saing, berkeyakinan,kurang jatidiri dan sebagainya. Diharap apa yang dinyatakan tidak hanya tercatat di atas kertas dan ia perlu dijelmakan melalui perbuatan. Justeru itu, pengamalan di dalam dan luar kelas adalah perlu. Dalam hal ini, pendidik harus memainkan peranan bagi memastikan elemen-elemen tersebut dipraktikkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Amanah

Manakala nilai Amanah membawa maksud rela dan cuba menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa yang ditentukan dengan penuh gigih dan ikhlas bagi mencapai objektif yang ditetapkan. Mempunyai sifat luhur dan murni, jujur kepada diri sendiri, rakan dan organisasi. Oleh itu dalam menggapai hasrat ini, pihak kerajaan telah mempraktikkan nilai-nilai tersebut bagi memperbaiki perkhidmatan awam melalui langkah-langkah tertentu seperti menggunakan kad perakam waktu, fail meja, dan sebagainya. Pelaksanaan nilai Amanah dalam kalangan pelajar IPT pula adalah pada kehadiran ke kelas, menggalakkan pelajar menghasilkan karya asli yang bermutu dan terbaik sama ada di kampus dan luar kampus.

Walaupun pada hakikatnya, penerapan nilai-nilai integriti dilihat memfokuskan kepada pembentukan peribadi secara total, namun secara halusnya, ia cuba mendidik pelajar atau generasi baru akan pentingnya nilai amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam apa jua tindakan yang dilakukan termasuklah tidak mengamalkan rasuah.

Artikel ini disediakan oleh Dr Hasnah Hussiin, Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang. Emel: hasnah@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri