Tahun baharu, semangat baharu: 10 cara menguatkan iltizam dan keyakinan
Pejam celik hanya berbaki beberapa hari sebelum menjelang tahun baharu dan 2024 bakal melabuhkan tirainya. Sudah tentu pelbagai iltizam, niat dan perancangan yang sedang dirangka atau dirancang dalam mendepani tahun baharu. Tahun baharu lazimnya dipenuhi dengan harapan, peluang dan perubahan. Permulaan tahun baharu merupakan satu titik permulaan kepada perubahan yang dirancang, juga sebagai sinar dan harapan dalam meningkatkan prestasi diri dan memotivasikan diri ke arah yang lebih baik.
Antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia selepas nikmat iman dan Islam adalah nikmat waktu, kerana itu Allah SWT mengingatkan manusia akan kepentingan waktu melalui Firman-Nya di dalam Surah al-Asr, ayat 1-3, bahawa sesungguhnya manusia akan berada di dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Di dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa seorang Arab Badwi pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, siapakah manusia yang terbaik? Lalu, baginda Rasulullah SAW bersabda, Sesiapa yang panjang usianya dan baik amalnya. (Hadith Riwayat at- Tirmizi). Di dalam satu hadith lain, Rasulullah SAW mengingatkan kita agar menguruskan masa lapang dengan sebaiknya. Baginda bersabda, “Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu waktu sihat dan waktu lapang.” (Hadis Riwayat al- Bukhari).
Oleh itu, jelaslah bahawa masa sentiasa bergerak dan kita sebagai manusia sama ada bersedia atau tidak bersedia tetap perlu melalui fasa-fasa perubahan masa di dalam kehidupan kita sama juga seperti setiap tahun kita akan memasuki tahun baharu dan meninggalkan tahun semasa. Dalam menghadapi tempoh perubahan ini sudah tentu banyak pengalaman dan pengajaran yang telah kita hadapi dan lalui yang menjadi sebahagian daripada pembentukan diri dan pengalaman hidup kita. Segala pengalaman sama ada suka duka mahupun cabaran boleh dijadikan sebagai pengajaran dan panduan untuk kita terus mendepani hari-hari akan mendatang.
Berikut adalah sepuluh tip memanfaatkan nikmat masa dan mendepani cabaran tahun baharu:
1. Muhasabah tahun 2024 yang telah berlalu dengan melihat kembali ruang dan peluang yang boleh diperbaiki, belajar daripada kesilapan agar mampu menjadi insan yang lebih kuat dan cekal. Mengimbas kembali kejayaan dan kegagalan sepanjang tahun lalu akan membantu kita menyedari betapa pentingnya setiap keputusan yang kita telah ambil. Muhasabah akan memberikan peluang kepada kita untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri serta meningkatkan keupayaan untuk menjadi seorang yang lebih cekal dan memperbaiki diri dalam perjalanan hidup seterusnya.
2. Berubah ke arah yang lebih baik sedikit tetapi konsisten. Perubahan yang berterusan walaupun kecil, akan memberikan kesan yang besar dalam jangka masa yang panjang. Kunci kejayaan bukanlah perubahan yang besar dan drastik tetapi adalah melalui langkah-langkah kecil yang dilakukan secara konsisten. Setiap perubahan dan usaha walaupun dianggap remeh sudah tentu akan membuahkan hasil. Fokus pada kemajuan yang stabil seperti perumpamaan ‘usaha tidak akan mengkhianati hasil’. Hal ini bermakna kita tidak perlu takut untuk melakukan sesuatu perubahan walaupun dimulai dengan perubahan kecil.
3. Bertindak, bukan hanya berangan sebagai manusia kita sudah tentu mempunyai impian sebagai salah satu titik penting dalam kehidupan kita dan impian hanya akan dapat di capai sekiranya kita berani mengambil tindakan. Bermula dengan menetapkan tujuan yang kecil yang boleh dicapai seterusnya diikuti dengan pelan tindakan sudah pasti impian tersebut dapat di capai. Kita tidak boleh hanya berangan tetapi perlu mengambil langkah-langkah praktikal untuk merealisasikan matlamat. Kita juga tidak perlu berasa takut untuk memiliki impian yang besar, tindakan yang kita ambil lama-kelamaan akan membantu kita mengatasi rasa takut dan memberikan keyakinan diri kepada kita.
4. Berfokus dalam mencapai matlamat memerlukan disiplin dan kesedaran yang jelas untuk sentiasa bergerak ke arah yang benar. Kita perlu sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan kita, meningkatkan kemahiran diri, mengimbangi kesejahteraan fizikal dan emosi agar kehidupan menjadi seimbang. Hal ini demikian kerana kehidupan yang seimbang akan membantu kita meningkatkan keupayaan untuk fokus. Dengan ilmu pengetahuan, kemahiran diri, dan keseimbangan hidup kita dapat menjalani hidup dengan memfokuskan matlamat kita tanpa rasa dibebani sesuatu aspek.
5. Beroleh keberkatan dengan memanfaatkan dan menghidupkan waktu pagi. Waktu pagi merupakan waktu yang dipenuhi dengan keberkatan dan sangat dianjurkan untuk memulakan sebarang aktiviti. Oleh itu, kita dapat mengelakkan rasa terburu-buru atau keletihan mengejar sesuatu akibat tidak cukup masa. Memanfaatkan sebaik-baiknya waktu pagi adalah tindakan terbaik dalam meraih keberkatan dalam hidup. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah mendoakan khusus buat umatnya keberkatan pada waktu pagi, “Ya Allah, kurniakanlah keberkatan kepada umatku pada waktu paginya”. (Hadis Riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah)
6. Berani bangkit dan tidak berputus asa, merupakan salah satu prinsip yang perlu kita pegang dalam hidup. Kita perlu ingat kejayaan tidak akan datang dengan mudah. Kita jangan sesekali menyerah kalah, terutama jika sesuatu yang berharga untuk diperjuangkan atau dilakukan. Kita tidak pernah tahu betapa dekatnya kita dengan sesuatu yang ingin dicapai. Semakin kita berusaha semakin dekat kita dengannya Kita hanya perlu terus berusaha, berdoa dan bertawakal sehingga beroleh kejayaan. Jangan pernah menyerah kerana sesuatu yang baik memerlukan waktu. Kejayaan adalah hasil usaha yang tak kenal lelah.
7. Bertindak segera kerana dalam kehidupan ini kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku esok, atau beberapa jam ke depan. Ramai dalam kalangan kita menetapkan matlamat atau resolusi baharu dalam hidup tetapi menangguhkan tindakan kita sehingga kadang-kadang langsung tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memulakan. Hakikatnya, kita hanya perlu bermula tanpa menunggu waktu yang sempurna. Peluang tidak selalu hadir dalam hidup kita dan menunda sesuatu tindakan akan menyebabkan kita terlepas peluang-peluang yang wujud. Walaupun setiap tindakan yang diambil tidak sempurna tetapi ketekunan dan usaha yang konsisten akan membuka banyak peluang kepada kita.
8. Bertahan dan berusaha apabila berhadapan dengan halangan. Dua aspek yang akan menjadikan kita kekal positif ialah menerima dengan reda dan bersyukur. Ketahuilah bahawa apa sahaja yang berlaku kepada kita adalah yang terbaik untuk diri kita. Jauhi rasa serba salah, kasihan dan andaian yang tidak bertempat kerana perasaan ini hanya akan membuang emosi dan masa yang berharga. Rasa kasihan dan serba salah terhadap diri sendiri hanya akan melemahkan semangat diri kita untuk terus maju. Fokus untuk terus memajukan diri dan membuat keadaan jadi lebih baik. Terima dengan hati yang terbuka dan curahkan tenaga dan emosi pada hal yang lebih baik.
9. Betulkan niat dalam melakukan sesuatu perkara. Setiap usaha sama ada kecil atau besar memerlukan niat yang betul. Niat merupakan asas kepada segala tindakan agar usaha kita tidak menjadi sia-sia. Apabila kita mempunyai niat yang betul, kita akan fokus dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan sesuatu perkara. Niat yang ikhlas akan mendatangkan kesan positif kepada diri sendiri dan orang lain. Sentiasa ingat dalam segala apa yang kita lakukan untuk siapa kita lakukannya. “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
10. Bantu mempermudah urusan orang lain dengan tindakan kita yang memudahkan urusan orang lain bukan sahaja mempercepatkan proses mereka, tetapi juga mencipta suasana yang lebih harmoni dan berkasih sayang.
Membantu memudahkan urusan orang lain sama ada kecil atau besar merupakan satu tindakan mulia dan mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat secara keseluruhannya. Dengan sentiasa memudahkan urusan orang lain kita bukan sahaja mengurangkan beban kehidupannya tetapi kita juga membentuk diri kita agar boleh mendatangkan manfaat kepada orang lain. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ الناسِ أَنفَعُهُم لِلنَّاسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani) dan dalam sebuah hadis lain:
وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ
“... dan barangsiapa (yang bersedia) membantu keperluan saudaranya, maka Allah (akan sentiasa) membantu keperluannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kedua-dua hadis ini memotivasi kita untuk sentiasa berusaha menjadi yang terbaik dengan bersedia berkhidmat dan menabur bakti kepada orang lain. Sebagai contoh, sentiasa menjaga kebersihan untuk pengguna tandas seterusnya dan ini seharusnya diperluaskan kepada semua aspek kehidupan. Jalan awam adalah awam, bukan tempat untuk membuang sampah. Ini bermakna, niat dan tindakan kita memberi kesan kepada orang lain. Apabila membuat resolusi untuk kehidupan dan tingkah laku yang lebih baik, ia tidak semestinya hanya tentang diri kita sendiri.
Sebagai rumusan, kita sebagai manusia merupakan khalifah di muka bumi ini iaitu sebagai pemimpin dan penjaga bumi yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri, masyarakat dan alam sekitar. Sebagai khalifah, manusia diberi tugas untuk memanfaatkan masa dengan bijak, membuat keputusan yang baik, serta berusaha memperbaiki diri dan memberi manfaat kepada orang lain. Dalam konteks tahun baharu, beberapa tip yang diberikan, seperti muhasabah diri, perubahan yang konsisten dan memberi manfaat kepada orang lain adalah sebahagian daripada cara kita untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini.
Melalui tindakan yang ikhlas, penuh kasih sayang dan berusaha mendatangkan manfaat kepada orang lain akan memperlihatkan sifat kepimpinan kita sebagai seorang khalifah yang tidak hanya berfokus kepada kepentingan diri sendiri tetapi juga mengambil berat akan kesejahteraan orang lain dan persekitaran. Kita harus ingat bahawa setiap tindakan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Setiap perbuatan, niat, dan keputusan yang kita ambil, baik atau buruk, akan dipersoalkan kelak. Semoga tahun baharu akan menjadikan kita insan yang lebih baik dari sebelumnya.
Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM)
E-mel: jamilahbebe@umpsa.edu.my
Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM)
E-mel: mardhiyyah@umpsa.edu.my
Pensyarah Pusat Bahasa Moden (PBM)
E-mel: jumani@umpsa.edu.my
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 20 views