Takwa dalam Pemakanan Syubhat
Pengurusan halal di negara kita diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Walakin itu, dengan pendedahan kartel daging haram yang mengimport daging yang diragui statusnya, imej pengurusan halal di negara kita sedikit tercalar. Ditambah pula dengan fitnah yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, selain beberapa undang-undang dan penguatkuasaan yang perlu dinilai semula, isu ini terus menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.
Dewan Negara baru-baru ini telah membahaskan usul tergempar mengenai isu ini yang dibawa oleh Yang Berhormat Senator Asmak Husin, mewakili suara rakyat yang menantikan pencerahan daripada pihak bertanggungjawab. Hasil penjelasan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, banyak perkara yang sebelum ini dibahaskan secara samar-samar, akhirnya diperjelaskan kepada rakyat.
Isu pemakanan halal merupakan sebahagian isu asasi kemanusiaan. Sejak penciptaan Adam dan Hawa di syurga, isu yang sering diperingatkan ialah larangan memakan buah dari sebatang pokok di syurga yang dikenali oleh iblis sebagai pokok khuldi. Akhirnya, Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga. Selepas bertaubat dan diampunkan dosanya, Adam meneruskan legasi arahan Tuhan yang menyatakan bahawa kebanyakan makanan di dunia ini adalah halal. Cuma sebahagian kecil sahaja yang diharamkan sebagai ujian dan manfaat kepada manusia.
Sedar atau tidak, negara kita berhadapan dengan cabaran jaminan keselamatan makanan. Agak pelik, setelah 63 tahun negara yang subur menghijau ini merdeka, mengapa industri pertanian dan penternakan, atau industri yang mengeluarkan makanan tempatan masih berada di takuk lama, bahkan tidak dibangunkan oleh pihak bertanggungjawab. Penjenamaan industri atas nama pertanian pernah dianggap sebagai langkah mundur. Natijahnya, beras pun terpaksa diimport dari negara jiran. Begitulah juga dengan daging import, sedangkan lembu, kambing dan kerbau di negara kita, berada di mana-mana termasuklah di atas jalan raya.
Dengan kebergantungan kepada daging yang diimport, rantaian perbekalan untuk sampai ke Malaysia, agak panjang. Mungkin bermula dari ladang ternak pekan kecil di Brazil, kemudian disembelih di abatoir di bandar. Dibungkuskan dan disejuk beku sebelum dimasukkan ke dalam kontena. Kemudian dihantar dengan kapal laut. Sampai di pelabuhan Malaysia, dikeluarkan daripada pembungkusan, kemudian dibungkuskan semula atas jenama tempatan, sebelum dipasarkan dan dijual di rak pasar raya. Rantaian ini terlalu panjang, dan memungkinkan berlakunya pengkhianatan pada mana-mana titik transit rantaian.
Senario ini membuktikan betapa pentingnya pihak bertanggungjawab membuat tinjauan semula ke atas jaminan keselamatan makanan penduduk Malaysia. Inisiatif supaya menyokong industri pemakanan lokal perlu dilakukan. Di negara maju, pasar raya utama akan sentiasa mengutamakan bekalan makanan daripada sumber terdekat, kalau boleh dari daerah yang sama. Ini akan menggalakkan industri tempatan, selain mengelakkan monopoli. Yang lebih penting, rantaian perbekalan makanan akan lebih pendek dan kemungkinan berlakunya pengkhianatan adalah rendah.
Isu ini juga mengajar kepada kita bahawa industri halal bukan membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sahaja. Bekalan import banyak pemegang taruh lain yang terlibat seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Tetapi yang paling kritikal adalah syarikat pemegang lesen dan pembekal. Sekiranya pemain industri lebih mengutamakan keuntungan dan mengabaikan integriti, maka yang menjadi mangsa adalah pengguna. Oleh itu, kesungguhan pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan ke atas kartel yang mungkin sudah bertahun-tahun ‘rasa sedap’ dengan monopoli dan kekuasaan pemasaran yang dimiliki, amat dinantikan oleh rakyat. Integriti dapat dipertingkat. Permintaan boleh dipenuhi. Bekalan daging semakin segar dan berkualiti. Harga boleh dilaraskan kembali.
Walau apa pun situasinya, yang terus menjadi mangsa adalah pengguna. Sementara menanti langkah tuntas daripada pihak bertanggungjawab, pengguna perlu memainkan peranan kerana akhirnya yang akan menghidangkan dan menghadap juadah daging atas meja makan adalah pengguna sendiri. Pada waktu inilah pesanan Nabi Muhammad SAW perlu diteladani. Nabi pernah menyatakan bahawa yang halal dan haram itu adalah jelas, cuma antaranya, ada syubhah. Maka jauhilah perkara yang syubhah. Sekiranya pengguna menggunakan kuasa kepenggunaan dengan mengelakkan daging syubhah, kembali mengutamakan ajaran sunnah dan mengutamakan produk tempatan, maka tiadalah peluang lagi kepada kartel untuk berterusan menikmati kuasa pasaran yang mereka miliki sebelum ini, sehingga kelabu mata demi keuntungan.
Isu ini juga mendidik umat Islam agar lebih berhati-hati daripada memanjangkan fitnah. Tuduhan bahawa daging kanggaru dan kuda turut terlibat dan tempoh 40 tahun amalan ini berleluasa adalah salah satu contoh fitnah yang sengaja dipanjangkan demi kepentingan tertentu.
Penulis ialah Pensyarah Kanan dan Ketua Program Sains Kemanusiaan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh: Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham
e-mel: irfan@ump.edu.my
- 180 views