Teknik Mudah Belajar Sejarah
Pendidikan mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah memperlihatkan ada pelajar yang mendapat pencapaian yang cemerlang, lulus dan ada yang gagal. Tinjauan secara ringkas mendapati pelajar yang gagal kebanyakannya kurang berminat dengan mata pelajaran Sejarah disebabkan mereka merasakan ia memerlukan pembacaan yang banyak dan merasa sukar untuk menghafal fakta-fakta sejarah. Sebenarnya, mata pelajaran Sejarah sangat menarik seumpama kita menonton sesebuah filem. Konsepnya adalah sama iaitu sejarah adalah rakaman sesuatu peristiwa. Terdapat lima perkara atau unsur penting yang perlu diberi perhatian untuk memudahkan kita menguasai mata pelajaran Sejarah iaitu apa, mengapa, siapa, di mana dan bila. Pelajar boleh melakarkan persoalan-persoalan ini untuk setiap bab yang mereka pelajari.
Apa?
Persoalan yang pertama adalah apa. Sememangnya seseorang itu perlu tahu apa yang mereka pelajari. Sesetengah pelajar tidak memahami apa yang mereka telah atau sedang pelajari. Bila pelajar tidak memahami dan tidak mengetahui apa yang mereka belajar sememangnya pelajar akan hilang fokus. Ini memandangkan jika pelajar memahami jalan sesuatu cerita maka secara tidak langsung pelajar akan lebih berminat untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya. Sebagai contoh ambil sahaja tajuk tentang Malayan Union 1946. Dalam hal ini, pelajar seharusnya memahami apa itu Malayan Union, apa itu peristiwa 13 Mei 1969, apa itu Kampung Baru, apa itu komunis dan sebagainya. Pendek kata jika filem, apa di sini merujuk kepada tajuk filem tersebut.
Mengapa?
Unsur kedua dalam mata pelajaran Sejarah adalah mengapa. Persoalan ini sangat penting dalam kita memahami sesuatu peristiwa sejarah. Sememangnya dalam setiap penulisan sejarah, persoalan mengapa tidak boleh dipisahkan dalam usaha memahami kejadian sesuatu peristiwa. Semua yang berlaku adalah bersebab. Kita ambil satu contoh peristiwa penubuhan Persekutuan Malaysia 1963. Para pelajar perlu tahu mengapa Persekutuan Malaysia 1963 diperkenalkan oleh Tunku Abdul Rahman pada ketika itu? Jika berkaitan dengan Malayan Union 1946, mengapa Malayan Union itu hendak dilaksanakan oleh British? Mengapa Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia 1965? Secara amnya, semua topik berkaitan Sejarah Malaysia mempunyai faktor-faktor tertentu mengapa ia berlaku.
Siapa?
Para pelajar juga perlu mencatat siapakah yang terlibat dengan sesuatu peristiwa. Ini disebabkan dalam apa jua kejadian sejarah, pasti ada individu yang terlibat yang kita namakan sebagai orang penting. Di samping ada individu tertentu, ada juga beberapa individu lain yang juga terlibat sama dalam peristiwa atau kejadian tersebut. Saya percaya dalam setiap bab sejarah mesti ada beberapa individu yang telah mencorakkan sesuatu peristiwa pada masa itu.
Di mana?
Sesuatu peristiwa sejarah pastinya berlaku di sesuatu tempat tertentu. Tidak ada peristiwa sejarah yang diceritakan tanpa tempat di mana ia berlaku. Mengenal pasti tempat sangat penting dalam pendidikan Sejarah kerana setiap peristiwa sejarah yang berlaku adalah berkaitan dengan tempat tersebut. Sebagai contoh, Rundingan Baling di adakan di Baling, Kedah kerana pada waktu itu ia menjadi pusat kegiatan Komunis di Kedah.
Bila?
Persoalan bila biasanya berkaitan dengan tarikh sesuatu peristiwa. Rasanya ramai yang tidak suka dengan mata pelajaran Sejarah kerana mereka tidak mampu mengingati tarikh-tarikh tertentu di dalam sesuatu peristiwa sejarah. Sememangnya mengingati tarikh adalah satu kewajiban kerana tarikh itulah nadi atau nyawa bagi sesuatu perisitiwa sejarah. Tanpa tarikh maka tiadalah sejarah. Dalam hal ini, pelajar perlu mahir tentang tarikh-tarikh penting dalam sejarah negara. Apabila pelajar mahir dengan tarikh-tarikh penting maka tiada masalah untuk mereka mengingati sesuatu peristiwa. Dalam hal ini, pelajar tidak perlu menghafal cuma perlu membiasakan diri dengan tarikh-tarikh tersebut. Bila sudah biasa maka tidak perlu menghafal lagi. Sebagai contoh, semua orang sudah maklum dengan tarikh sambutan kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos 1957, penubuhan Persekutuan Malaysia 1963, peristiwa 13 Mei 1969 dan beberapa tarikh lagi yang mana kesemua tarikh-tarikh ini tidak dihafal oleh rakyat Malaysia tetapi sudah terbiasa. Justeru, pelajar perlu terbiasa dengan tarikh-tarikh penting yang menjadi trademark kepada sesuatu peristiwa.
Membuat nota ringkas
Pelajar harus sedar bahawa mereka belajar mata pelajaran Sejarah yang banyak bermain dengan fakta dan adalah menjadi kesalahan yang besar jika kita tersalah mengemukakan fakta. Justeru, pelajar perlu mengambil tindakan untuk membuat nota ringkas bagi memudahkan mereka memahami sesuatu peristiwa tanpa perlu merujuk kepada penceritaan yang panjang bagi sesuatu peristiwa. Walau bagaimanapun, kebanyakan pelajar tidak mengambil serius perkara ini untuk mencatat huraian ringkas setiap bab.
Elakkan menghafal tetapi menguasai cerita sejarah tersebut
Ramai yang beranggapan sejarah perlu banyak menghafal. Ini adalah tanggapan yang salah dan ramai yang mempraktikkan teknik menghafal ini apabila mempelajari mata pelajaran Sejarah. Keadaan ini menyebabkan pelajar merasa sukar untuk belajar sejarah kerana mereka telah memaksa diri sendiri untuk menghafal. Ini seolah suatu paksaan dalam etika pembelajaran. Cara yang betul adalah mereka perlu menguasai dan menghayati sesuatu peristiwa sejarah tersebut. Pelajar perlu memahami jalan cerita sesuatu peristiwa sama juga konsepnya dengan kita memahami jalan cerita sesebuah filem yang kita tonton.
Lakarkan nota ringkas dalam bentuk Gantt Chart, smart graphic atau carta alir
Secara amnya, untuk memudahkan pelajar mempelajari Sejarah, pelajar perlu menggariskan unsur-unsur di atas seperti apa, siapa, mengapa, di mana dan bila dengan menggunakan teknologi canggih pada masa kini. Terdapat banyak teknologi yang boleh digunakan bagi membantu pelajar sama ada dengan menggunakan Gantt Chart, smart graphic atau carta alir bagi menceritakan keseluruhan tentang sesuatu peristiwa sejarah.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Oleh : Dr. Hasnah Hussiin
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 2340 views