Transformasi Digital dalam PdP beri manfaat buat masyarakat
Pembelajaran online learning ataupun pembelajaran dalam talian menjadi satu cabaran dan dilema kepada semua warga pendidik dan juga pelajar sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia pada awal tahun 2020.
Selama tempoh setahun tersebut pelbagai isu berkaitan dengan pembelajaran dalam talian timbul yang meliputi masalah liputan rangkaian internet, pengetahuan berkaitan teknologi, pengurusan masa, kaedah pengajaran, dan platform pembelajaran. Tambahan pula, pembelajaran dalam talian di Malaysia boleh disifatkan belum matang ketika itu menyebabkan kerajaan dan institusi pendidikan buntu dalam mencari pendekatan yang efektif dan holistik. Di sebalik kepayahan itu, pandemik ini telah mempercepatkan transformasi digital di peringkat institusi pendidikan yang mungkin memakan masa yang panjang sekiranya pandemik tidak berlaku.
Pembelajaran dalam talian didefinasikan sebagai pengajaran menggunakan internet dan teknologi berkaitan untuk pembangunan dan penyediaan bahan pengajaran, penyampaian dan juga pengurusan kursus menggunakan platform bersesuaian. Di Malaysia, pembelajaran dalam talian melalui Massive Open Online Course (MOOC) adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 bagi menyokong agenda Lonjakan 9: Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global. Usaha ini juga boleh dilihat sebagai salah satu inisiatif pihak kerajaan dalam menjayakan transformasi digital yang diusahakan sejak 2017 dan mula mendapat perhatian serius dan meluas dengan pengambilalihan stesen tv NTV7 dengan penjenamaan semula sebagai Didik TV untuk menjadikannya saluran pendidikan perdana dalam talian.
Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut mengorak langkah ke hadapan dalam menjayakan transformasi digital untuk proses pembelajaran dan pengajaran melalui pembangunan Sistem Pengurusan Pembelajaran atau Learning Management System yang dinamakan sebagai ILMU. Sistem ILMU ini umumnya menggunakan platform Moodle yang mengandungi kursus dari pelbagai bidang disiplin dan juga kemahiran untuk pelajar akses, melaksanakan aktiviti-aktiviti pembelajaran serta berinteraksi dengan tenaga pengajar. Secara asasnya, sistem ini adalah sistem yang sama dengan semua platform pembelajaran dalam talian di luar sana iaitu mengandungi maklumat kursus, komunikasi interaktif antara pendidik dan pelajar, dan penilaian atas talian. Namun terdapat beberapa perbezaan ketara yang dapat dikenalpasti berbanding dengan sistem konvensional.
Antara profil baharu sistem ini adalah pelajar boleh mendapatkan e-sijil yang boleh dijana daripada kursus-kursus tertentu. Justeru, sistem ini amat sesuai diadaptasikan dengan kursus bersifat modular dan boleh diambil sepanjang tahun mengikut masa pelajar. Sistem ini juga akan menggunakan pelayan awan bagi memudahkan akses dan juga mengurangkan kos penyelenggaraan.
Selain itu, menariknya sistem ILMU yang dibangunkan ini juga dilengkapi dengan fungsi yang membenarkan akses pengguna luar UMP bagi melihat kursus-kursus yang ditawarkan yang membezakan sistem ini dengan sistem terdahulu UMP, iaitu Knowledge and Learning Management System (KALAM). Malahan, ILMU juga ditambah dengan ciri yang membolehkan pengguna luar mendaftar kursus yang diminati tetapi dengan bayaran kos yang ditetapkan. Ciri tambahan ini dinamakan sebagai ILMU+ dan ia menyediakan medium kepada organisasi luar UMP untuk menggunapakai platform ILMU/ILMU+ sebagai saluran pembelajaran dalam talian oleh komuniti sekitar.
Justeru, usaha ini akan merancakkan peranan UMP sebagai peneraju teknologi dan memantapkan kolaborasi berterusan bersama industri berkaitan.
Sistem ILMU/ILMU+ ini dijangka akan dilancarkan pada umum selewat-lewatnya pada awal tahun 2022 dan pada masa ini dalam fasa akhir pembangunan dan pengujian bagi memastikan sistem berfungsi pada tahap optimum untuk kegunaan semua pelajar UMP dan juga pengguna luar.
Semoga sistem ILMU/ILMU+ yang dibangunkan ini dapat memberi manfaat berterusan kepada masyarakat sekeliling menepati slogan UMP ‘Teknologi Untuk Masyarakat’. Dari UMP untuk semua.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Kolej Kejuruteraan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan merupakan Pengurus Jabatan Teknologi Maklumat dan Pengurusan Ilmu, UMP Advanced Education.
Disediakan Oleh: Profesor Madya Ts. Dr. Hamzah Ahmad
emel: hamzah@ump.edu.my
- 1920 views