UMPSA Gemilang Cipta. Cinta. Citra Sejarah Tercipta
Universiti merupakan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang menyediakan pelbagai program akademik dan penyelidikan dalam pelbagai bidang ilmu. Selain daripada pengajaran dan pembelajaran, universiti juga terlibat dalam aktiviti penyelidikan ilmiah dan kegiatan perkembangan pengetahuan.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang ditubuhkan pada tahun 2002 merupakan salah sebuah universiti awam di Malaysia. Bermula sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) kemudian dinaik taraf kepada status universiti sepenuhnya dan dinamakan semula sebagai Universiti Malaysia Pahang (UMP). Pada tahun 2023, UMP dijenamakan semula kepada UMPSA.
Bertempat di dua lokasi iaitu Pekan dan Gambang, UMPSA terus menjadi peneraju utama dalam melahirkan teknokrat-teknokrat mahir khususnya dalam bidang Kejuruteraan. UMPSA menyediakan pelbagai khusus pembelajaran dalam bidang Kejuruteraan seperti Elektrik dan Elektronik, Mekanikal, Kimia, Mekatronik, Awam dan sebagainya.
UMPSA juga sentiasa memastikan sistem pembelajaran yang diterapkan kepada pelajar universiti sentiasa mengikut arus pemodenan yang sedang berkembang pesat. Hal ini dilakukan supaya mahasiswa UMPSA tidak ketinggalan malah sentiasa akan diberikan bahan dan cara pendidikan yang terbaik.
UMPSA juga turut aktif dalam menyertai pertandingan dan program di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk menambah pengetahuan. Bukan sahaja menjadi tambah nilai kepada para pelajar malah pertandingan dan program yang disertai juga dapat menjadi medium untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari semasa berada di dalam kelas. Dengan lambakan program dan aktiviti yang disediakan, tidak hairanlah UMPSA dilihat sebagai medan melahirkan belia yang berkebolehan tinggi.
Namun begitu, UMPSA tidak menerapkan nilai akademik semata-mata kepada para pelajar. Banyak juga program-program lain yang disediakan daripada aspek-aspek lain seperti sahsiah, sukan dan sebagainya. Program ini disediakan supaya para pelajar UMPSA mempunyai kemahiran-kemahiran lain yang juga membantu mereka untuk membina kerjaya pada masa hadapan. Ini jelas menunujukkan UMPSA juga menitikberatkan kemahiran pelajar mereka agar tidak bergantung dengan akademik semata-mata.
Sebagai pelajar UMPSA, tidak dinafikan lagi bahawa mereka akan tinggal berkomuniti terutama bagi pelajar tahun pertama dan kedua. UMPSA memanfaat ruang tersebut sepenuhnya dengan pelbagai program tidak kira daripada sudut rohani mahupun sahsiah. Bermula daripada sekecil-kecil perkara seperti aktiviti rumah ke rumah sehingga ke program berskala besar yang melibatkan pelajar-pelajar yang menetap di residen pelajar.
Aktiviti di kolej kediaman atau lebih dikenali sebagai residen pelajar bukan sahaja mengisi masa lapang pelajar malah ia dapat memupuk semangat bekerjasama dan bermuafakat dalam sesuatu komuniti masyarakat. Jelaslah bahawa program-program sebegini menjadi jambatan antara pelajar dengan UMPSA bagi memenuhi teras misi dan visi universiti.
Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman (PEKA) yang merupakan antara organisasi utama yang mengadakan dan menjayakan program-program kepada warga UMPSA khususnya bagi para pelajar. Organisasi ini bertanggungjawab dalam memacu kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar serta menjadikan kebajikan pelajar sebagai keutamaan. Organisasi ini rata-ratanya terdiri daripada para pelajar UMPSA sendiri.
Baik dari segi pengurusan mahupun penyertaan, kesemua aktiviti di residen pelajar kebanyakannya melibatkan pelajar UMPSA. Selain mengeratkan hubungan dalam kalangan pelajar, aktiviti-aktiviti sebegini juga dapat membina kemahiran komunikasi yang baik kepada diri para pelajar sekali gus dapat memberikan kebaikan kepada para pelajar semasa berada di luar kuliah.
Mungkin akan timbul persoalan, apakah aktiviti-aktiviti seperti ini memberi kebaikan kepada para pelajar dalam kerjaya mereka pada masa akan datang? Itu sudah semestinya. Menjadi seorang graduan bukan sahaja perlu menghadap komputer selama 24 jam. Sikap pandai mengurus masa, berdisiplin, bekerjasama dan nilai-nilai positif yang lain turut penting bagi melahirkan insan yang produktif.
UMPSA juga sangat menitikberatkan kebajikan para pelajar. Pantri yang disediakan merupakan salah satu inisiatif untuk membantu para pelajar dalam memenuhi keperluan harian mereka.
UMPSA juga menyediakan sebuah Kolej Kediaman Mawaddah untuk penempatan mahasiswa dalam kalangan anak yatim atau asnaf. Ia dibangunan atas sebidang tanah seluas 2.0 ekar di UMPSA Pekan.
Segala usaha yang dilakukan oleh pihak UMPSA adalah bertujuan memberikan manfaat dan keselesaan yang terbaik kepada para pelajar. Bermula daripada ruang fakulti sehinggalah ke ruang kolej, kesemua aspek yang disediakan kepada para pelajar diambil cakna oleh pihak UMPSA. Tanpa meninggalkan rohani, sahsiah, sukan dan aspek-aspkel yang lain, akademik terus dikekalkan dan menjadi teras kepada para pelajar.
Misi dan visi UMPSA sangat jelas. Berdiri megah sebagai satu komuniti terbilang yang terdiri daripada pakar, penyelidik, pegawai, pelajar dan alumni yang berusaha bersama dalam satu semangat dan daya usaha inovasi. UMPSA juga tekad menjadi asas kepada sebuah universiti unggul berteraskan pendidikan berkualti tinggi, sains asas, teknologi bantu dan daya usaha berwawasan, dalam memberikan khidmat kepada negara dan masyarakat.
Akhir nukilan ini, dapatlah diungkapkan bahawa UMPSA telah mencipta satu institusi yang akan memacu Malaysia dan bakal melakar sejarah sebagai negara yang produktif serta inovatif khususnya dalam bidang Kejuruteraan. Bukan sahaja berdaya saing dalam negara malah juga pada peringkat global.
Penulis ialah pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel : aimannasriq2002@gmail.com
- 289 views