Wajarkah Malaysia adakan Sambutan Hari Etnik?
Sejarah telah mentakdirkan negara ini sebagai sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik, bangsa, agama, kepercayaan, budaya dan juga adat. Lipatan sejarah telah menceritakan bagaimana wujudnya masyarakat pelbagai di negara ini.
Ia bermula dengan kedatangan bangsa asing ke Tanah Melayu seawal abad ke-13. Zaman Kesultanan Melayu Melaka, memperlihatkan begitu banyak pedagang asing yang berdagang dengan negeri Melaka seperti pedagang dari India, China, Jepun, Arab, Acheh, Kemboja, Thailand dan banyak lagi. Perlu dinyatakan di sini bahawa kedatangan bangsa asing pada masa ini adalah lebih bertumpu kepada perdagangan tetapi tidak dinafikan ada di antara para pedagang ini yang berkahwin dengan penduduk tempatan.
Sejarah kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran untuk bekerja di Tanah Melayu hanya berlaku setelah penjajahan British. Keamanan dan kedamaian mencari rezeki di sini telah menarik perhatian orang Cina dan India untuk terus menetap di Tanah Melayu. Hasil tolak ansur dengan orang Melayu, akhirnya mereka diterima menjadi warganegara Tanah Melayu pada waktu itu dengan syarat-syarat tertentu. Dari sinilah mula wujudnya masyarakat majmuk yang terdiri dari orang Melayu sebagai kaum majoriti dan orang Cina dan India sebagai kaum minoriti. Lain-lain kaum adalah seperti Sikh, Siam, Serani dan kaum-kaum minoriti di Sabah dan Sarawak.
Kini, masyarakat majmuk telah mewarnai peradaban negara Malaysia. Sememangnya, jika bercerita tentang negara Malaysia, sudah pastinya pengenalan tentang Malaysia akan dimulakan dengan Malaysia terdiri dari pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Sikh dan golongan minoriti di Sabah dan Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Melanau, Dusun dan lain-lain lagi. Dalam hal ini, mengapa Malaysia tidak meraikan kepelbagaian ini dengan mengadakan sambutan khas sebagaimana kita menyambut Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia dan beberapa sambutan khas yang lain.
Sambutan Hari Etnik juga memerlukan cuti khas seperti cuti peristiwa yang lain bagi memberikan penghormatan kepada sambutan ini. Mengapa selama ini kita terlupa untuk memperingati sejarah wujudnya kepelbagaian yang telah mencorakkan negara Malaysia pada hari ini? Justeru, sambutan Hari Etnik adalah perlu bagi menghargai jasa dan sumbangan setiap etnik kepada pembangunan negara. Dengan ini, setiap etnik akan rasa dihargai dan dapat menilai sendiri betapa pentingnya mereka kepada negara. Antara aktiviti yang dirasakan sesuai bagi sambutan hari etnik adalah ekspo makanan pelbagai etnik di Malaysia, pasar malam terbesar yang menghimpunkan pelbagai etnik, pertandingan puisi dalam pelbagai bahasa, konsert kebudayaan, pidato etnik, pertandingan menulis esei etnik, pertandingan video pendek berkaitan etnik dan perpaduan, ceramah perpaduan dan lain-lain aktiviti yang difikirkan sesuai dengan perpaduan dan etnik di Malaysia.
Meraikan Hari Etnik Malaysia akan memberi ruang kepada generasi baru hari ini mengetahui tentang sejarah kewujudan kepelbagaian etnik dan masyarakat di Malaysia. Ini secara tidak langsung akan menyedarkan etnik masing-masing akan asal usul diri mereka, keluarga mereka dan negara mereka. Kesedaran tentang asal usul diri dan bangsa adalah sangat penting agar setiap etnik menghargai kedudukan dan nikmat yang didapati hasil menjadi penduduk negara ini. Apabila sesuatu etnik itu mengetahui asal usul mereka maka tidak akan timbul sikap tidak puas hati serta mempersoalkan kedudukan pihak-pihak yang lain.
Meraikan Hari Etnik Malaysia juga akan memberikan gambaran kepada masyarakat di negara lain akan keunikan negara Malaysia. Ia juga secara tidak langsung akan menjadi ‘trademark’ kepada negara Malaysia yang sememangnya sudah dikenali di mata dunia sebagai negara yang bermasyarakat majmuk tetapi dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Malahan, sambutan sebegini juga boleh dijadikan sebagai acara tahunan yang akan menarik pelancong asing ke negara ini. Mengapa kita mempersiakan peristiwa yang boleh menjana kewangan negara Malaysia dari aspek pelancongan?.
Sambutan Hari Etnik juga berperanan memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk menghargai keamanan dan perpaduan kaum yang dikecapi kini. Perlu disedari bahawa keamanan, kedamaian, kemakmuran negara yang dinikmati oleh semua kaum di negara ini adalah hasil kerjasama semua kaum tidak kira bangsa atau agama.
Negara ini tidak boleh maju hanya dengan sumbangan satu kaum sahaja. Sejak sebelum merdeka sehingga kini, Malaysia membangun hasil tangan-tangan pelbagai bangsa yang ada di sini. Walaupun ada yang terlebih atau terkurang, perlu diterima seadanya kerana bukan mudah untuk menyamakan penglibatan semua kaum dalam pelbagai aspek kehidupan disebabkan perbezaan budaya, kepercayaan dan pemikiran.
Sambutan Hari Etnik Malaysia juga akan menjadi agenda besar negara kerana pembentukan masyarakat majmuk merupakan salah satu episod penting dalam sejarah negara ini. Jika diteliti dalam sejarah negara, antara episod penting sejarah negara Malaysia adalah tentang Zaman Prasejarah, Zaman Kedatangan Islam ke Alam Melayu, Kesultanan Melayu, penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun, Pembentukan Masyarakat Majmuk, Kemerdekaan, Penubuhan Malaysia dan banyak lagi.
Oleh itu, meraikan sambutan hari etnik merupakan satu langkah yang sangat baik kerana ia merupakan sejarah penting dalam pembentukan negara bangsa Malaysia. Ia juga menunjukkan apa yang dipelajari dalam sejarah negara itu tetap relevan sehingga kini. Ia sama pentingnya dengan Hari Kemerdekaan yang disambut bagi mengingati negara ini dijajah dan akhirnya merdeka pada tahun 1957, Hari Malaysia bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 dan Hari Etnik adalah hari memperingati sejarah kewujudan masyarakat pelbagai di negara ini.
Sambutan Hari Etnik merupakan wadah untuk kerajaan menghargai etnik-etnik di Malaysia. Sambutan Hari Etnik adalah perlu bagi menunjukkan keprihatinan dan penghargaan kerajaan terhadap kepelbagaian etnik di negara ini. Ini memandangkan corak pemerintahan negara ini juga adalah hasil sokongan padu pelbagai etnik. Merekalah yang menjadi penyokong kuat kepada segala dasar-dasar kerajaan yang berkaitan. Maka, sudah tiba masanya, pihak kerajaan negara ini meneliti semula agar kepelbagaian kaum yang ada di negara ini diraikan pada hari yang khas bagi memperingati segala jasa setiap kaum yang telah mewarnai negara bangsa Malaysia dari pelbagai aspek kehidupan pada hari ini.
Agama menyatukan seluruh masyarakat
Cadangan saya adalah institusi pengajian tinggi (IPT) boleh memainkan peranan ini dengan mengadakan pameran dan pertunjukan budaya setiap etnik di universiti masing-masing. Bukan sahaja mempamerkan budaya setiap kaum, malahan perlu didedahkan juga tentang sejarah asal usul kewujudan masyarakat pelbagai di Malaysia serta perkongsian sistem kepercayaan, pantang larang dan ajaran setiap agama. Ini bertujuan memberi informasi yang sahih untuk setiap kaum supaya mereka dapat hidup dalam suasana harmoni, bertolak ansur, saling memahami dan menerima keberadaan etnik-etnik lain di Malaysia.
Penulis ialah pensyarah kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
e-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 397 views