11 Aspirasi fokus hala tuju baharu KPT lonjak pendidikan tinggi negara
PUTRAJAYA, 30 Januari 2023 - Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menggagas 11 aspirasi yang bakal menjadi tonggak dalam usaha dan panduan melonjakkan sektor pendidikan Malaysia agar lebih berkualiti dan diiktiraf.
Segala perancangan, agenda dan hala tuju baharu ini disampaikan sempena Majlis Amanat Tahun 2023 Menteri Pendidikan Tinggi yang berlangsung di Dewan Za'ba Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan dihadiri warga kementerian, barisan pengurusan tertinggi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan wakil mahasiswa itu turut disertai secara maya oleh warga Universiti Awam (UA) dan Politeknik seluruh negara.
Menurut YB Dato' Seri Mohamed Khaled, pertamanya memastikan agar agenda dan dasar KPT selari dengan aspirasi nasional iaitu membangunkan negara yang madani melalui beberapa pelarasan dasar yang akan dilaksanakan melalui penubuhan segera satu Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (National Review Committee).
“Keduanya, KPT akan bersikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal dalam menguruskan sektor pendidikan tinggi dengan menekankan kepentingan kepimpinan yang baik dalam institusi pendidikan tinggi negara dan memperkemaskan fungsi dan peranan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).
“KPT juga akan turut menilai semula kedudukannya secara keseluruhan dari segi kemampuan, prestasi pencapaian mahu pun misi masa depan dengan memperkasa Jawatankuasa Pembangunan KPT yang akan menumpukan terhadap pembangunan prasarana digital.
“Dalam memperkukuh kekuatan sumber intelektual Malaysia, pemerkasaan bakat akan dilipatgandakan melalui penambahan pelaburan dalam latihan pasca siswazah, kedoktoran dan kepakaran khusus,” ujar beliau.
“IPT mesti mengemukakan Pelan Pengekalan dan Asuhan Bakat Terbaik bagi menghentikan aliran keluar bakat terbaik kita ke luar negara dan KPT akan mengadakan perbincangan dengan Talent Corp bagi menarik kedatangan bakat-bakat terbaik dari luar ke Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, bagi membuat persediaan mengurus perubahan dan ledakan teknologi, pihaknya turut mencadangkan penyediaan satu Kertas Putih (a white paper) tentang ‘A New Horizon for Science, Technology and Innovation - A Strategy for Malaysia’ bagi menilai strategi dalam menguruskan ‘current and future technological disruptions’ terhadap pengajaran, pembelajaran dan tata kelola institusi pendidikan tinggi negara.
Turut diberi tumpuan, memperkukuh peranan Malaysia bagi menarik kedatangan pelajar, penyelidik dan bakat global, universiti perlu menjadi hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat.
Menyedari keperluan negara memerlukan lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran dan kecekapan teknologi yang bersifat ‘kalis masa depan’, pihak kementerian akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap sistem dan ekosistem TVET nasional dengan melihat data dan megatrends yang ada serta membangun sinergi pelbagai sektor dan lapangan.
Ujar beliau, kepentingan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam sektor pendidikan tinggi turut diberi tumpuan dengan membantu IPTS melebarkan pengaruh pendidikan tinggi ke seluruh dunia melalui pembukaan pelbagai cawangan dan kampus luar pesisir.
“KPT amat menekankan kualiti dan kecemerlangan akademik termasuklah pelajar dilengkapkan dengan kepintaran mengurus manusia dan kebijaksanaan mengurus teknologi.
“Selain itu, KPT akan meneroka ruang pendidikan anjal dan mengkaji kesesuaian menjadikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebuah tabung amanah nasional dan memperbaiki akses dan rejim pembiayaan pendidikan.
“Dalam proses ‘memanusiakan manusia’, mahasiswa akan diberikan lebih banyak kuasa, kebebasan, tanggungjawab dan ruang membuat keputusan melalui gerakan pelajar dan student union seperti membuka perniagaan, menguruskan kewangan persatuan dan merencana sendiri cara bekerja dan memperjuangkan agenda mahasiswa,” katanya.
Turut diberi penekanan adalah pemerkasaan mahasiswa dengan mempromosikan pengambilan tahun senggang atau gap year agar mahasiswa dapat meneroka minat diri dan menyumbang kepada masyarakat.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Mohammad Yusof Haji Apdal, Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohammad Zabri Yusoff.
Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang hadir bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Naib Canselor Universiti Awam yang lain.
Program itu turut berlangsung secara dalam talian dan sesi interaktif bersama warga universiti serentak di 20 buah UA.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 1167 views