Skip to main content

118 Pegawai Muda PALAPES UMPSA ditauliah dalam Istiadat Pentauliahan PALAPES Kali Ke-43 Tahun 2025

SERDANG, 13 September 2025 - Seramai 118 orang Pegawai Muda PALAPES dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditauliahkan semasa Majlis Istiadat Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat, Laut dan Udara Kali Ke-43 Tahun 2025 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Mereka terdiri daripada 32 orang PALAPES Darat, 32 orang PALAPES Laut dan 54 orang PALAPES Udara serta sebahagian daripada 1,972 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) daripada 20 universiti awam (UA) seluruh negara yang ditauliahkan pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-43.

Majlis turut menyaksikan pengiktirafan kepada pegawai kadet terbaik mengikut kategori iaitu Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Darat dianugerahkan kepada Wan Muhammad Hilmi Wan Ismail, Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Laut disandang oleh Mohamad Azrol Aziman Azizon dan Pegawai Kadet Terbaik PALAPES Udara pula dianugerahkan kepada Muhammad Aqid Danish Nor Rizani.

118 Pegawai Muda PALAPES UMPSA ditauliah dalam Istiadat Pentauliahan PALAPES Kali Ke-43 Tahun 2025

Penganjuran istiadat ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha, komitmen dan disiplin tinggi mahasiswa UMPSA dalam melengkapkan latihan ketenteraan di samping mengekalkan kecemerlangan akademik.

Istiadat penuh bersejarah itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. 

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, serta Naib Canselor UPM, Kolonel Kehormat Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

118 Pegawai Muda PALAPES UMPSA ditauliah dalam Istiadat Pentauliahan PALAPES Kali Ke-43 Tahun 2025

Turut hadir menyaksikan istiadat tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Lt. Kol. Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri