2,000 bongkah cendawan nanas diagihkan untuk manfaat masyarakat Tuaran
TUARAN, 2 Mac 2024 - Seramai 200 orang penduduk sekitar Tuaran mengikuti bengkel menghasilkan cendawan nanas hasil penyelidikan pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli dengan mengguna pakai sisa buangan dari pertanian nanas sebagai substrat utama bagi bongkah cendawan.
Sebanyak 2000 bongkah cendawan diagihkan kepada penduduk di Kampung Batangan, Roun dan Labuaya.
Menurut Dr. Aizi, idea penyelidikannya tercetus apabila melihat potensi sisa buangan nanas yang banyak.
“Malah, sisa nanas tersebut mempunyai potensi yang besar untuk digunakan dalam penghasilan produk lain seperti bongkah cendawan tiram.
“Pada kali ini, pihak UMPSA berpeluang berkongsi kepakaran teknik penanaman cendawan menggunakan sisa nanas ini kerana ia lebih mudah dilaksanakan, lebih murah, dan sesuai untuk dikomersialkan dalam skala serta pasaran yang lebih meluas,” katanya yang hadir bersama penyelidik lain di bawah penyelarasan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi.
Produk inovasi ini menyasarkan komuniti khususnya golongan berpendapatan rendah B40 dengan membantu mereka menjana pendapatan dalam industri perusahaan cendawan di Malaysia selain memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha pertanian nanas di Malaysia.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengharapkan agar bengkel ini dapat dimanfaatkan oleh penduduk tempatan sebagai salah satu inisiatif bagi membantu golongan sasar untuk menambahkan pendapatan mereka.
Katanya, antara inisiatif UMPSA untuk membantu pembangunan kapasiti komuniti adalah melalui pemindahan ilmu dan teknologi yang dihasilkan oleh ahli akademik UMPSA bagi menghakupayakan komuniti melalui konsep inovasi sosial dalam membantu peningkatan sosioekonomi komuniti di samping membina jalinan kerjasama berterusan di antara universiti dan komuniti,” ujarnya yang hadir menyantuni masyarakat di sini.
Turut sama hadir Pegawai Kebajikan Masyarakat (CDO), Roger Aloysius Jounoh dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd. Jamil Ja'afar.
Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan sempena Program Kembara Prihatin@Negeri di bawah Bayu 2.0.
Program itu melibatkan 55 sukarelawan UMPSA Kilau daripada Skuad Yayasan UMPSA bersama rakan kerjasama iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Politeknik Kota Kinabalu menyantuni masyarakat di Tuaran dengan program berkaitan teknologi, program pendidikan dan program komuniti sejak 26 Februari dan berakhir pada 3 Mac 2024.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat