Aktiviti Get Creative with iPad cetus kreativiti guru SK Juara Pulau Tioman
PULAU TIOMAN, 11 Oktober 2026 – Teknologi digital bukan sekadar alat bantu mengajar, sebaliknya mampu menjadi pemangkin kreativiti pendidik dalam mencipta pengalaman pembelajaran lebih menarik dan interaktif.
Menerusi aktiviti Get Creative with iPad, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membawa guru Sekolah Kebangsaan (SK) Juara meneroka potensi teknologi digital bagi menghasilkan bahan pengajaran yang lebih kreatif menerusi Program Eksplorasi Lingua Komuniti (ELK) Tioman 2026.
Aktiviti anjuran Unit Khidmat Komuniti, Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan itu berlangsung sepanjang program ELK Tioman 2026 dari 8 hingga 11 Oktober lalu dengan memberi peluang kepada guru meneroka penggunaan iPad sebagai medium untuk mengembangkan idea, imaginasi dan kemahiran menghasilkan karya digital.
Sesi berkenaan dikendalikan pensyarah yang juga Apple Professional Learning Specialist, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim, dengan bantuan Dr. Nor Yazi Khamis dan Dr. Mohammad Musab Azmat Ali.

Menerusi pendekatan pembelajaran secara praktikal, guru diperkenalkan kepada aplikasi Keynote dan fungsi kamera iPad untuk menghasilkan ilustrasi digital berasaskan gambar dengan penambahan elemen lukisan kreatif.
Pendekatan itu membolehkan guru bereksperimen dengan elemen visual, meneroka pelbagai idea dan menghasilkan karya mengikut imaginasi masing-masing, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan teknologi secara lebih kreatif dalam bilik darjah.
Pengalaman tersebut turut memberi pendedahan kepada guru tentang bagaimana bahan visual digital boleh dimanfaatkan bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih dinamik, menarik serta bersesuaian dengan keperluan pembelajaran masa kini.
Usaha memperkenalkan pendekatan berasaskan teknologi ini juga diharap dapat meningkatkan keyakinan guru untuk mengintegrasikan peranti digital dalam penyediaan bahan pengajaran, tanpa mengetepikan kreativiti dan peranan guru dalam membimbing pembelajaran murid.
Program ELK Tioman 2026 turut mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Tioman (TDA), Reef Check Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).
Kerjasama pelbagai pihak itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas akses kepada pengalaman pembelajaran yang inovatif serta memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti setempat.
Aktiviti Get Creative with iPad memperlihatkan usaha berterusan UMPSA untuk membawa pendekatan pendidikan berasaskan teknologi lebih dekat kepada komuniti, di samping memperkasa kreativiti pendidik sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti PdP.
Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni, Dr. Azwin Arif Abdul Rahim, Dr. Nor Yazi Khamis dan Dr. Mohammad Musab Azmat Ali, Fakulti Pengajian Bahasa Gunaan
- 16 views
Reports by: