Skip to main content

Bera pilihan destinasi Kembara Promosi TVET UMPSA

BERA, 28 Julai 2024 – Daerah Bera menjadi pilihan kali ini bagi destinasi Kembara Promosi TVET Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Sesuai dengan slogan UMPSA iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’, universiti terus komited untuk terus menyantuni masyarakat melalui pelaksanaan program seperti Program Kembara Promosi TVET UMPSA ini. 

Seramai 50 orang staf dan pelajar UMPSA turut serta dalam program yang berlangsung selama dua hari itu. 

Program Kembara Promosi TVET UMPSA ini melibatkan banyak aktiviti dan inisiatif yang bertujuan untuk membantu dan meringankan beban komuniti di Felda Rentam. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, sebagai sebuah universiti berasaskan Advanced TVET (TVET Termaju), UMPSA menyediakan ruang dan peluang untuk pembelajaran kemahiran TVET aras tinggi. 

Bera pilihan destinasi Kembara Promosi TVET UMPSA

“UMPSA merupakan universiti dalam jaringan Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bersama-sama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Selaras dengan Agenda Pemerkasaan TVET Negara, UMPSA kini bergerak lebih aktif dalam mempromosikan pembelajaran TVET aras tinggi dengan menumpukan perhatian dalam penyediaan pembelajaran kemahiran berasaskan teknologi terkini dalam bidang Teknologi dan Kejuruteraan. 

“Bagi tujuan ini, UMPSA terus membina jaringan kerjasama antarabangsa dengan universiti luar negara seperti China, Jerman dan Kazakhstan melalui program ijazah dual," ujarnya yang mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk hadir ke UMPSA.

Beliau juga turut mempelawa kakitangan Felda, guru-guru, ibu bapa dan belia yang ingin menyambung pengajian atau meningkatkan kemahiran teknikal terutamanya untuk melaksanakannya di UMPSA bolehlah melanjutkan pengajian sama ada melalui UMPSA atau UMPSA Advanced. 

 "UMPSA Advanced merupakan anak syarikat UMPSA yang menyediakan pelbagai latihan kemahiran terutamanya bagi golongan yang telah bekerja untuk tujuan upskilling," ujarnya lagi. 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat ADUN Kemayan, Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dalam memberikan ruang dan peluang kepada pihak UMPSA bagi pelaksanaan program ini juga buat semua pihak yang telah terlibat sepanjang menjayakan program itu. 

Beliau berharap program ini akan terus memberi manfaat kepada masyarakat Felda Rentam dan menjadi inspirasi untuk inisiatif seterusnya. 

“Kami di UMPSA juga membuka peluang buat semua pihak dan mempelawa pihak sekolah untuk hadir ke universiti bagi melihat secara dekat kaedah pembelajaran, makmal dan kemudahan yang terdapat di sini

“Malahan pameran yang ada pada hari ini hanya sebahagian kecil sahaja yang mampu dibawa ke Felda Rentam berbanding dengan kemudahan yang ada di kampus UMPSA,” katanya. 

Antara aktiviti yang diadakan bagi menyantuni warga Felda Rentam termasuklah Sumbangan Bantuan Bakul Rahmah UMPSA, sumbangan solar oleh UMPSA Advance dan pameran serta Mini Karnival Pendidikan UMPSA. 

Lain-lain aktiviti melibatkan pensyarah dan penyelidik UMPSA, Sesi Motivasi bersama Pegawai Psikologi UMPSA, Nur Atiqah Mohd Nor, Taklimat Akademik UMPSA oleh Abdul Qayyum Zulkifli, Taklimat Ijazah Dual UMPSA oleh Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Profesor Mayda Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab, Taklimat Akademik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta perkongsian dari sukarelawan UMPSA.

Bera pilihan destinasi Kembara Promosi TVET UMPSA

Turut berlangsung Kuliah Maghrib oleh Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said di Masjid Annajah, Felda Rentam. 

Program ini dihadiri lebih 600 orang yang terdiri daripada warga Felda Rentam, para pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembangau, SMK Bera Bandar, SMK Kemayan dan SMK Triang 3 serta penduduk setempat.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Naqiah Puaad